Monday, July 23, 2012

Ke Mana Perginya Semua Burung-burung Ini?

Seronok rasanya dapat pulang ke kampung halaman ni. Maklumlah dah lama merantau, balik pun sekejap-sekejap. Tapi kali ni saya balik untuk masa yang agak lama jadi dapatlah saya membuat lebih pengamatan tentang susana sekeliling. Memanglah banyak perkara yang dah berubah, walaupun tak kampung ni tak berubah menjadi sebuah bandar ada beberapa perkara yang mungkin saya lebih suka dalam keadaan sebelumnya. Timbul dalam persoalan saya, ke mana hilangnya burung-burung yang dulunya menjadi buruan saya?

Haha, mungkin keadaan ini kurang mendapat perhatian bagi kaum wanita (pendapat saya sahaja).. bukan apa, bagi kami yang lelaki ni, dulu-dulu suka merayau ke dalam semak-samun semata-mata untuk mencari burung-burung (apa sahaja yang boleh dilastik). Saya bukanlah pakar dalam melastik seperti kawan-kawan yang lain. Bagi saya burung merupakan haiwan yang cantik. Saya suka memerhatikan pergerakan haiwan ini. Macam-macam yang saya perhatikan, rupa bentuk, warna, cara kehidupannya, tabiat, bunyi, dan lain-lain lagi. Pernah saya mengumpulkan gambar burung-burung ini untuk dimasukkan ke dalam koleksi lukisan saya. Macam tu lah antara minat saya terhadap burung.

Kalau anda nak tahu antara burung-burung yang ketara berkurangan dan ada yang dibimbangi telah pupus dari bumi Bukit Rokan ini adalah seperti yang dinyatakan di bawah:

i) Burung Bayan;

Burung bayan merupakan burung yang paling saya minati kerana ianya menyerupai burung kakak tua. Malah burung ini turut berkelakuan seperti burung yang popular itu. Biasanya burung ini suka memegang makanannya dengan kaki untuk dikunyah dengan paruhnya yang kuat. Sebahagian besar badannya berwarna hijau. Tapi bagi burung bayan yang tua, warnanya akan bertambah cerah dan lebih menarik.

Burung bayan biasanya bergerak dalam kumpulan. Ini bagi menjamin keselamatan kumpulan tersebut. Biasanya burung bayan akan singgah di kawasan ini apabila tiba musim buah rambutan. Namun terdapat juga buah-buahan hutan yang biasanya menjadi makanan burung ini.

ii) Burung Tiong Batu;

Burung ini masih kelihatan sesekali terbang di kawasan ini. Tapi amat membimbangkan kerana tiada lagi tempat untuk burung ini membiak dan agak sukar baginya untuk mendapatkan makanan. Tiong batu kelihatan seolah-olah seperti burung tiong, namun sebenarnya ia amat jauh berbeza.

Tiong batu agak unik, paruhnya yang merah serta bulunya yang berkilat menjadikan ia lebih menarik berbanding tiong biasa. Saiznya juga adalah jauh lebih besar. Manakala cara ia terbang juga nampak berbeza daripada burung tiong. Suka bersarang di tempat yang tinggi dan mempunyai tabiat makanan yang cerewet menjadikan ianya sukar untuk dipelihara.

iii) Burung Kuning;

Burung Dendang Selayang, atau biasanya dipanggil burung kuning (nama bagi kami semasa kecil dulu) juga didapati semakin berkurangan. Walaupun masih terdapat burung ini beterbangan sesekali, namun jumlahnya terlalu sedikit berbanding semasa saya meninggalkan kampung dulu.

Makanan utama burung ini adalah serangga yang biasanya beterbangan di waktu senja. Biasanya burung ini akan membuat bunyi yang bising sewaktu makan di waktu senja. Jadi pastilah kehilangan burung ini mudah untuk dikenalpasti. Suaranya agak lantang tetapi merdu (kalau dibandingkan dengan suara manusia, burung ini mungki bertaraf penyanyi).. Oleh kerana burung ini merupakan pemangsa utama bagi serangga yang terbang pada waktu senja (terutamanya anai-anai), maka adalah dibimbangi jumlah anai-anai akan semakin bertambah.. huhu

Mungkin itu sebahagian daripada kehilangan spesis burung yang utama. Malah banyak lagi burung-burung lain yang tidak dapat dikesan seperti burung sepah, burung kelicap jantung, burung berek-berek (tetapi burung ini hanya singgah mengikut musim sahaja), burung layang-layang, burung helang, ruak-ruak dan lain-lain spesis lagi.

Walaupun kita tidak bergantung dengan haiwan-haiwan ini semua, namun fungsi mereka dalam keseimbangan ekosistem pelu diambil kira. Mungkin fungsi mereka kecil tetapi boleh menyebabkan kehilangan yang besar sekiranya mereka terus hilang dari kawasan kita. Apa yang dapat dilihat punca utama kehilangan spesis burung-burung ini adalah kerana pokok buah-buahan yang menjadi sebahagian punca makanan mereka telah ditebang. Manakala penebangan hutan berhampiran juga mengurangkan lagi sumber makanan bagi mereka. Mungkinkah suatu hari nanti burung-burung ini akan kembali semula?


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...