Sunday, July 22, 2012

Mengapa Perlu Susah-susah Untuk Juadah Ini; Dodol, Ketupat, Lemang dll.

Hi apa khabar? Awal-awal puasa ni kan semangat pastinya masih menyala-nyala untuk melalui sebulan ini dengan cemerlang sekali. Namun di sini saya ingin mengimbau kembali kenangan-kenangan lama yang biasanya begitu sinonim dengan bulan puasa. Seperti bermula awalnya puasa, kita dengan kesibukan sebolehnya menyediakan beberapa hidangan tradisi yang memeriahkan lagi susana berpuasa. Namun bila hampir kepenghujungnya nanti kemeriahan itu akan bertambah terasa dengan beberapa hidangan tradisi yang dahulunya hanya disediakan untuk menyambut hari raya sahaja.


Tahukah anda, dahulu beberapa juadah hanya dapat disediakan/ disimpan didalam bekas-bekas yang disediakan dengan menggunakan daun-daun atau buluh yang rasanya tidak terbanding dengan makanan yang disediakan di dalam bekas biasa (plastik, ayan, polystyrene, kertas dll..). Ini kerana bekas-bekas sedemikian bukan sahaja berfungsi sebagai bekas malah menambahkan aroma makanan tersebut. Selain dari itu ada beberapa perkara lain yang lebih menyeronokkan tentang penyediaan makanan ini. Mari sama-sama kita lihat.


Mungkin sebahagian kita masih ingat dodol yang disimpan di dalam bekas mengkuang. Hmm, seingat saya bekas tersebut biasa dianyam oleh arwah ibu. Mengkuang perlu melalui proses yang bukanlah mudah (kita hari ini takkan mampu melakukannya) dipotong, dilayur, dipotong mengikut saiz yang perlu, diremdam, dijemur, dilurut, dan dianyam. Haa, macam mana! sanggup ker nak buat bekas dodol dengan mengkuang ni?.. Begitulah kegigihan orang dahulu ya, untuk melakukan sesuatu perkara perlu melalui pelbagai rintangan. Mungkin itulah pendorong yang menjadikan orang tua kita kebanyakannya penyabar.

Selain itu ketupat juga merupakan makanan yang disediakan di dalam bekas menggunakan daun kelapa yang masih muda. Ketupat antara makanan yang sinonim dengan hari raya. Ketupat yang disediakan menggunakan daun kelapa pula mempunyai aroma tersendiri yang menjadikan ianya unik (berbeza sekali dengan ketupat segera yang dibungkus dengan plastik). Bagi menyediakan ketupat pula, seseorang perlu terlebih dahulu mempunyai kebolehan menganyam ketupat. Haa, bagus kan dulu-dulu bagaikan pepatah lama "kalau tak dipecah ruyung, mana nak dapat sagunya". Masakan sesuatu yang enak/ menarik dapat dinikmati tanpa terlebih dahulu mengusahakan sesuatu.

Berlainan pula dengan lemang (yang ini lebih popular). Penyediaan lemang memerlukan buluh sebagai bekas untuk memasak lemang. Jadi biasanya buluh ini perlu disediakan oleh kaum lelaki yang perlu mencari buluh ini di dalam hutan dalam masa yang sama akan mencari daun pisang. Kaum wanita pula akan menyediakan beras pulut, santan kelapa dan menyediakan lemang untuk di masak. Lemang akan dibakar dan dijaga bersama oleh lelaki dan perempuan. Isk! lain macam jer bunyinya kan.. tapi memang itulah yang berlaku ya. Secara tidak langsung penyediaan juadah-juadah sebegini perlu dilakukan secara bergotong-royong dan merapatkan lagi keakraban sesama ahli keluarga.

Selain dari makanan-makanan yang disebutkan di atas, banyak lagi makanan tradisi kita yang disediakan dengan cara yang sedemikian rupa. Bukan mudah bagi masyarakat dahulu untuk menikmati hidangan-hidangan seperti kita hari ini. Paling tidak kita akan membelinya dari kedai. Namun di situ banyak sekali pengajaran dan kebaikan yang kita perolehi kan! Di samping kesabaran dalam berusaha, kita juga merapatkan lagi hubungan seisi keluarga (malah masyarakat - bagi yang menyediakan dodol beramai-ramai misalnya).

Jadi macam mana dengan anda, apa kenangan anda mengenai juadah-juadah yang biasanya kita nikmati di bulan puasa dan juga menjelang hari raya ini.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...