Tuesday, October 29, 2013

Malu-malu Si Pokok Semalu

Semalu dengan bunga dan daun.

Bagi kita yang tinggal di kampung tentu tak asing lagi dengan pokok semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun pemalu, pokok semalu berduri dan bukan mudah untuk kita sebarangan merosakkan pokok yang istimewa ini.

Pokok semalu mudah tumbuh di halaman rumah. Bagi yang biasa berkebun atau membersihkan halaman tentu seringkali berhadapan dengan tumbuhan istimewa ini - oh, bagi saya ianya istimewa kerana tidak banyak pokok yang mempunyai tindakbalas seperti pohon semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun secara umumnya pokok semalu tetap dianggap sebagai rumpai yang merosakkan sebahagian daripada halaman rumah yang ditanam rumput.

Pokok semalu boleh mudah hidup subur di mana-mana sahaja kerana pada akar pokok ini terdapat bakteria yang mampu menukarkan nitrogen di dalam udara kepada sebatian yang boleh digunakan oleh tumbuhan. Ini membantu pokok semalu tetap subur walaupun pokok disekitarnya kekurangan baja. Hubungan antara bakteria dan pokok ini bukan hanya terdapat pada pokok semalu sahaja malah terdapat pada tumbuhan kekacang yang lain. Ya, anda boleh mencabut pokok ini untuk melihat sendiri terdapat butiran pada akarnya.

Pokok semalu hidup di merata tempat di serata dunia dari Amerika Selatan ke Amerika Tengah, Tanzania ke Selatan Asia dan Asia Tenggara serta Kepulauan Pasifik. Ia juga turut tumbuh di Australia, di Nigeria, Seychelles, Mauritius dan Timur Asia. Di Amerika pula pokok semalu tumbuh di sekitar Florida, Hawaii, Virginia, Maryland, Puerto Rico, Texas dan Virgin Island. Jadi tidak hairanlah kenapa pokok semalu ini begitu terkenal.

Khasiat Semalu

Pokok semalu dengan daun yang unik dan batang yang dipenuhi duri.

Bunga semalu dari dekat.

Daun semalu menguncup apabila disentuh.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita untuk mengenal dan menggunakan sebaik mungkin apa sahaja yang terdapat disekeliling kita. Maka dengan itu tentu terdapat beberapa khasiat dari pohon semalu untuk digunakan dalam kehidupan seharian antaranya:

1) Untuk kegunaan wanita bagi membantu mengecut, menguat dan membersihkan alat sulit kaum wanita terutama selepas bersalin ataupun haid.

Bagi tujuan ini beberapa batang pokok semalu digunakan bersama akarnya sekali (pastinya pokok yang tidak terlalu besar) dan dibersihkan. Kemudian ianya direbus di dalam periuk bersama dengan buah manjakani, garam kasar dan asam keping. Rebus sehingga ramuan sebati dan tunggu sehingga air agak suam sebelum digunakan untuk tujuan mandi.

2) Pokok semalu juga amat sesuai untuk merawat masalah kegatalan akibat 'makan air' atau Athlete's foot - keadaan di mana kaki merasa gatal dan berair.

Caranya adalah sama iaitu dengan menggunakan keseluruhan pokok semalu yang direbus sehingga mendidih dan di biarkan suam. Kaki direndamkan ke dalam air tadi bagi membersihkan bahagian yang mengalami masalah. Kaedah ini dikatakan dapat membantu mengekalkan kelembapan pada kulit disamping membantu masalah seperti di atas juga masalah cekam pada kuku tangan dan kaki.

Pokok semalu di dalam journal botani.

3) Pokok semalu juga dikatakan dapat membantu merawat masalah batu karang.

Menurut dua orang pengkaji tempatan iaitu Mostafa Ali dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia dan Zakaria M.A. dari Jabatan Kimia, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Mengabang Telipot, Terengganu - mereka mendapati ekstrak pokok semalu mengandungi dua bahan kimia utama yang mampu bertindak sebagai bahan perencat dan pemecah batu karang terutama kandungan kalsium oksalatnya. Ini kerana batu karang dalam pundi kencing manusia terdiri daripada 70 peratus garam organik tidak mudah larut, kebanyakannya kalsium oksalat.

4) Bagi merawat luka pula keseluruhan pokok digunakan dengan cara melumatkan pokok tersebut dan digunakan untuk menampal bahagian yang luka.

5) Air rebusan pokok semalu juga turut digunakan untuk merawat kanak-kanak yang gelisah dan tidak tenteram fikiran (mungkin juga hyper-active) dengan menggunakannya untuk mandi. Selain itu ia boleh diminum untuk merawat masalah insomnia dan kepenatan mental.


Wah hebat juga pokok semalu! Mungkin bagi kita yang tidak mengenali pokok ini tidak menjangka begitu banyak sekali manfaat pokok ini kepada masyarakat kita. Tapi saya akan berfikir dulu samada akan membuka ladang pokok semalu - kerana pokok ini dipenuhi duri. Apapun tahniah bagi mereka yang pernah menggunakan pokok ini untuk tujuan perubatan kerana anda telah menggunakan pokok ini untuk tujuan yang sepatutnya.




Free Download



Thursday, October 24, 2013

Makanan Tradisi Malaysia, Ulam - Kacang Kelisa, Kacang Botol.

Seperti yang kita sedia maklum ulam-ulaman amat penting kepada masyarakat Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya. Bagaimanapun ulam-ulama ini mungkin kalau dibandingkan dengan masyarakat lain mungkin ianya seperti salad yang bersifat segar/mentah dan sebagai pembuka selera (appetizer). Hari ini kita akan melihat tentang ulaman kacang kelisa/ kacang botol.

Kacang kelisa mudah ditanam di sekitar rumah kerana penjagaannya yang tidak rumit. Kacang botol biasanya ditanam di tepi pagar dan melilit pada pagar. Penjagaannya yang mudah membolehkan kacang kelisa tumbuh subur dan kenghasilkan buah dengan banyak sepanjang musim. Adakalanya kacang kelisa ini tumbuh dan melilit pada pokok yang lain sekiranya tidak disediakan junjung yang khas. Pokok kacang kelisa juga boleh bertahan lama dan terus menghasilkan buah yang banyak.

Penanamnya juga amat mudah iaitu melalui benih yang diperolehi dari kacang tua yang akan bertukar menjadi hitam. Biji di dalamnya boleh disimpan sehingga sedia untuk ditanam. Anda boleh menanam beberapa biji, benih kacang kelisa dalam satu lubang cetek untuk memudahkan benih bercambah. Siram benih pagi dan petang dan bajai mengikut keperluan apabila ia mula tumbuh.

Ulaman kacang kelisa biasanya dinikmati secara mentah atau dicelur. Kacang kelisa yang muda amat enak dinikmati samada begitu sahaja atau dengan gandingan sambal belacan mahupun sambal-sambal yang lain. Ada juga yang mencelur terlebih dahulu kacang kelisa sebelum dinikmati dengan nasi disamping lauk-pauk yang lain. Selain itu kacang kelisa turut disediakan sebagai hidangan atau dicampur kedalam masakan lain seperti ikan dan ayam.

Selain kacang kelisa, kacang panjang juga boleh dijadikan ulam sama seperti kacang kelisa. Berbanding kacang panjang, kacang kelisa lebih mudah untuk ditanam dan penjagaannya juga lebih mudah. Bagi yang meminati ulam-ulaman ini bolehlah mencuba untuk menanam kacang kelisa di pinggir rumah anda nanti.



MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.


Thursday, October 10, 2013

Makanan Tradisi Malaysia, Ulam - Kerdas

Pokok kerdas hidup di pinggir-pinggir hutan, buahnya menjadi kegemaran penggemar ulam.

Ulam-ulaman sangat terkenal sebagai makanan pelengkap bagi masyarakat Melayu di Negara kita. Bagi masyarakat Felda Bukit Rokan pula yang memang rata-ratanya di kelilingi oleh kawasan hutan ulam-ulaman yang terdiri daripada buah-buahan hutan juga amat mudah didapati suatu masa dahulu. Mungkin hari ini buah-buahan hutan ini masih terdapat di kawasan sekitar tetapi tidak ramai yang mengenali pokoknya apatah lagi yang mampu membawa hasil hutan ini keluar dari kawasan hutan.

Kerdas walaupun tidak sepopular petai dan jering, namun masih menjadi antara ulam yang sering menjadi kegilaan peminat ulaman. Kerdas yang mempunyai rupa bentuk buah yang unik dan bau yang tidak kurang hebatnya adakalanya dijual di pasar-pasar malam dengan hara yang kian mahal. Terdapat beberapa biji kerdas di dalam sebuah, buah kerdas. Selaput biji ini bewarna kuning dan bertukar menjadi gelap apabila buah semakin matang.


Biji buah kerdas apabila dikeluarkan dari buahnya.

Kebiasaannya buah kerdas hanya dimakan sebagai ulam berbanding petai dan jering yang turut dijadikan sebagai bahan masakan seperti sambal petai dan gulai jering. Namun masih terdapat permintaan untuk kerdas menjadikan ianya masih diburu oleh peminat-peminatnya.

Pokok kerdas tidak setinggi pokok petai yang mempunyai buah hanya di bahagian pucuknya sahaja. Secara tidak langsung buah kerdas lebih mudah untuk diambil berbanding buah-buahan hutan yang lain. Apa yang menjadi punca buah ini sukar didapati di pasaran adalah kerana tidak ramai yang mengenali pokoknya.


Semoga buah kerdas akan mendapat perhatian semula di kalangan masyarakat dan dikenali sebagai sebahagian warisan masyarakat Melayu. Mungkin kerdas mempunyai khasiat sendiri yang dapat menjadikan popularitinya meningkat semula. 




Free Download




Makanan Tradisi Malaysia, Melaka – Cencaluk, Belacan

Udang geragau sebagai bahan utama penghasilan cencaluk dan belacan
Malaysia dipenuhi dengan makanan tradisi yang mempunyai pengaruh penting dalam masyarakat. Antara makanan tradisi yang terpenting bagi masyarakat Negeri Melaka contohnya seperti cencaluk dan belacan yang telah menjadi sebahagian daripada makanan budaya Rakyat Malaysia.

Walaupun cencaluk dan belacan popular di negeri Melaka, namun hari ini kesan penghijrahan dan kemajuan ekonomi kedua-dua makanan unik ini mudah didapati di serata tanahair. Ianya sering dijadikan sebagai hidangan tambahan di kedai-kedai makan terutamanya yang menyediakan makanan tengahari dan makanan tradisional. Walaubagaimanapun pengeluaran cencaluk dan belacan bukan sahaja tertumpu di negeri Melaka malah juga turut dihasilkan di negeri-negeri lain seperti di Kuala Kedah, Kota Tinggi dan mungkin di daerah-daerah lain di negara ini.

Apa yang menarik tentang cencaluk dan belacan adalah bahan asas yang digunakan iaitu daripada udang yang dikenali sebagai udang geragau. Udang geragau ini atau juga dipanggil sebagai acetes juga dari sepsis acetes japonicas merupakan sepsis yang digunakan untuk belacan dan cencaluk – sudah tentu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat. Malah makan seumpama belacan yang menggunakan udang geragau ini turut popular di negara-negara lain sekitar Asia.

Cencaluk


Proses pembuatan cencaluk adalah dengan mencapurkan garam, nasi dan udang geragau sebagai bahan utama. Proses mencampur dan menggaul inilah yang yang menjadikan cencaluk mempunyai kualiti yang sempurna. Manakala ada juga yang mencampurkan air didih nasi sebagai menambahkan lagi keenakan cencaluk. Seterusnya proses pemeraman cencaluk untuk memastikan cencaluk yang dihasilkan mempunyai kualiti dan mutu kebersihan yang sempurna – kerana cencaluk perlu diperam selama 3 hari sebelum boleh dimakan.

Cencaluk dinikmati dengan pelbagai cara dan kreativiti masing-masing. Walaupun ia biasanya disediakan bersama cili, hirisan bawang dan perahan asam limau. Terdapat juga variasi-variasi hidangan lain yang menggunakan asam jawa atau dicampur bersama nasi. Bagi penggemar cencaluk, mereka pasti tahu kaedah yang lebih sedap untuk menikmati makanan kegemaran mereka ini.

Belacan


Satu lagi makanan popular yang menggunakan udang geragau sebagai bahan utamanya adalah belacan. Menggunakan bahan yang sama tetapi proses yang berbeza maka terhasillah belacan. Ianya merupakan satu lagi kaedah kreatif bagaimana masyarakat menggunakan udang geragau bagi memastikan sumber ini digunakan sepenuhnya.

Proses bermula dengan proses penggaulan udang dengan garam dengan jumlah 5% ~ 10% daripada berat udang tersebut. Mungkin ini merupakan rahsia utama perbezaan mutu dan rasa belacan antara pengeluar. Setelah itu proses pengeringan pertama akan dilakukan. Apabila separuh kering, ianya akan ditumbuk untuk menghaluskan campuran udang dan garam tadi. Kemudian ianya dijemur semula untuk pengeriangan seterusnya.

Proses ini diulang sehingga udang tadi mencapai kehalusan yang sesuai (kelembapan yang sesuai juga). Campuran yang telah halus tadi akan menjalani proses pemadatan di mana ia akan dimasukkan ke dalam bekas dan ditekan untuk memadatkannya. Proses terakhir adalah belacan akan melalui proses pemeraman selama 3 hingga 8 minggu sebelum dipasarkan. Kemudian barulah ianya dibentuk sesuai untuk pemasaran.
Dari segi variasi terdapat belacan hitam dan belacan merah. Ini kerana belacan hitam adalah canpuran bahan udang geragau dan juga ikan manakala belacan merah adalah menggunakan udang geragau sepenuhnya. Mungkin akan datang terdapat lebih variasi dalam penghasilan belacan. Mungkin boleh terjadi!

Belacan digunakan dengan pelbagai cara, ini kerana selain dijadikan sambal seperti juga cencaluk ia turut boleh terus dicampur kedalam masakan seperti sayur goreng dan masakan lain. Jika sekali pandang ia tidak jauh berbeza seperti penggunaan perasa tambahan seperti perencah zaman moden hari ini. Jadi bergantung kepada tukang masak dalam mempopularkan makanan tradisi ini untuk mempelbagaikan lagi resepi masakan yang menggunakan belacan sebagai bahan perasa.



Begitulah antara dua bahan makanan tradisional yang popular yang dikatakan berasal dari negeri Melaka - walaupun kita boleh dapati makanan seumpama belacan ini turut disediakan di kawasan sekitar negara-negara berhampiran. Sebagai satu bahan makanan tradisi, di harap penggemar dan pengusaha bahan makanan ini akan terus memastikan ianya tetap terdapat di pasaran negara dan juga antarabangsa.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...