Selasa, 29 Oktober 2013

Malu-malu Si Pokok Semalu

Semalu dengan bunga dan daun.

Bagi kita yang tinggal di kampung tentu tak asing lagi dengan pokok semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun pemalu, pokok semalu berduri dan bukan mudah untuk kita sebarangan merosakkan pokok yang istimewa ini.

Pokok semalu mudah tumbuh di halaman rumah. Bagi yang biasa berkebun atau membersihkan halaman tentu seringkali berhadapan dengan tumbuhan istimewa ini - oh, bagi saya ianya istimewa kerana tidak banyak pokok yang mempunyai tindakbalas seperti pohon semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun secara umumnya pokok semalu tetap dianggap sebagai rumpai yang merosakkan sebahagian daripada halaman rumah yang ditanam rumput.

Pokok semalu boleh mudah hidup subur di mana-mana sahaja kerana pada akar pokok ini terdapat bakteria yang mampu menukarkan nitrogen di dalam udara kepada sebatian yang boleh digunakan oleh tumbuhan. Ini membantu pokok semalu tetap subur walaupun pokok disekitarnya kekurangan baja. Hubungan antara bakteria dan pokok ini bukan hanya terdapat pada pokok semalu sahaja malah terdapat pada tumbuhan kekacang yang lain. Ya, anda boleh mencabut pokok ini untuk melihat sendiri terdapat butiran pada akarnya.

Pokok semalu hidup di merata tempat di serata dunia dari Amerika Selatan ke Amerika Tengah, Tanzania ke Selatan Asia dan Asia Tenggara serta Kepulauan Pasifik. Ia juga turut tumbuh di Australia, di Nigeria, Seychelles, Mauritius dan Timur Asia. Di Amerika pula pokok semalu tumbuh di sekitar Florida, Hawaii, Virginia, Maryland, Puerto Rico, Texas dan Virgin Island. Jadi tidak hairanlah kenapa pokok semalu ini begitu terkenal.

Khasiat Semalu

Pokok semalu dengan daun yang unik dan batang yang dipenuhi duri.

Bunga semalu dari dekat.

Daun semalu menguncup apabila disentuh.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita untuk mengenal dan menggunakan sebaik mungkin apa sahaja yang terdapat disekeliling kita. Maka dengan itu tentu terdapat beberapa khasiat dari pohon semalu untuk digunakan dalam kehidupan seharian antaranya:

1) Untuk kegunaan wanita bagi membantu mengecut, menguat dan membersihkan alat sulit kaum wanita terutama selepas bersalin ataupun haid.

Bagi tujuan ini beberapa batang pokok semalu digunakan bersama akarnya sekali (pastinya pokok yang tidak terlalu besar) dan dibersihkan. Kemudian ianya direbus di dalam periuk bersama dengan buah manjakani, garam kasar dan asam keping. Rebus sehingga ramuan sebati dan tunggu sehingga air agak suam sebelum digunakan untuk tujuan mandi.

2) Pokok semalu juga amat sesuai untuk merawat masalah kegatalan akibat 'makan air' atau Athlete's foot - keadaan di mana kaki merasa gatal dan berair.

Caranya adalah sama iaitu dengan menggunakan keseluruhan pokok semalu yang direbus sehingga mendidih dan di biarkan suam. Kaki direndamkan ke dalam air tadi bagi membersihkan bahagian yang mengalami masalah. Kaedah ini dikatakan dapat membantu mengekalkan kelembapan pada kulit disamping membantu masalah seperti di atas juga masalah cekam pada kuku tangan dan kaki.

Pokok semalu di dalam journal botani.

3) Pokok semalu juga dikatakan dapat membantu merawat masalah batu karang.

Menurut dua orang pengkaji tempatan iaitu Mostafa Ali dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia dan Zakaria M.A. dari Jabatan Kimia, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Mengabang Telipot, Terengganu - mereka mendapati ekstrak pokok semalu mengandungi dua bahan kimia utama yang mampu bertindak sebagai bahan perencat dan pemecah batu karang terutama kandungan kalsium oksalatnya. Ini kerana batu karang dalam pundi kencing manusia terdiri daripada 70 peratus garam organik tidak mudah larut, kebanyakannya kalsium oksalat.

4) Bagi merawat luka pula keseluruhan pokok digunakan dengan cara melumatkan pokok tersebut dan digunakan untuk menampal bahagian yang luka.

5) Air rebusan pokok semalu juga turut digunakan untuk merawat kanak-kanak yang gelisah dan tidak tenteram fikiran (mungkin juga hyper-active) dengan menggunakannya untuk mandi. Selain itu ia boleh diminum untuk merawat masalah insomnia dan kepenatan mental.


Wah hebat juga pokok semalu! Mungkin bagi kita yang tidak mengenali pokok ini tidak menjangka begitu banyak sekali manfaat pokok ini kepada masyarakat kita. Tapi saya akan berfikir dulu samada akan membuka ladang pokok semalu - kerana pokok ini dipenuhi duri. Apapun tahniah bagi mereka yang pernah menggunakan pokok ini untuk tujuan perubatan kerana anda telah menggunakan pokok ini untuk tujuan yang sepatutnya.




Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog