Saturday, November 23, 2013

Cara Mudah Memastikan Kulit Sihat

Penjagaan kulit memastikan kulit sihat can dantik.

Penjagaan kulit sememangnya penting sebagai penampilan utama seeorang kepada dunia luar. Selain daripada menjadi pelindung kepada kulit juga boleh menunjukkan tahap kesihatan seseorang disamping memberikan gambaran tentang keperibadian diri kita.

Industri kecantikan sepatutnya tidak dipandang serong atau mungkin adakalanya ianya diberikan perhatian yang berlebihan. Untuk memastikan kulit yang sihat tidak semestinya kita berbelanja lebih melainkan kita hanya perlu memahami antara keperluan dan pembaziran. Gunakan produk yang tepat untuk kegunaan yang bersesuaian. Jadi anda perlu mengetahui beberapa perkara sebelum membuat keputusan membeli sesuatu produk penjagaan kulit.

Pastikan Jenis Kulit Anda


Memastikan jenis kulit dapat menjimatkan masa anda menentukan produk yang sesuai. Malah ia juga dapat memberikan kesan yang lebih efektif. Kulit yang sihat biasanya lebih tahan kepada bahan-bahan penjagaan kulit. Ini bermakna anda juga perlu mengekalkan kesihatan badan. Adalah mustahil kulit yang sihat datang daripada badan yang bermasalah, sakit dan sebagainya. Pastikan anda melakukan senaman dan mengekalkan kesihatan badan dengan bersenam dan pemakanan yang seimbang.

Kulit Kering/ Amat Kering


Bagi yang memiliki kulit jenis ini permukaan kulit biasanya berasa agak tegang dan adakalanya kelihatan berkeping (flakey). Kulit anda juga sukar untuk dilembabkan dengan pelembab biasa dan sekiranya terlalu kering ia akan berasa gatal. Kulit anda akan berasa lebih kering selepas mencuci muka kesan kehilangan lembapan yang berlebihan.

Kulit Biasa/ Kombinasi


Kulit anda boleh menjadi sangat mudah diurus atau adakalanya sukar untuk diatasi kerana bagi kulit kombinasi masalah mungkin timbul di sekitar kawasan T iaitu dahi dan pada kawasan hidung. Ini adakalanya menimbulkan jerawat dan sesekali agak berminyak. Masalah utama mungkin dalam menentukan produk penjagaan kulit yang sesuai.

Berminyak/ Jerawat


Samada kulit anda sentiasa berminyak atau mungkin pernah mengalami masalah jerawat semasa meningkat dewasa. Kulit anda akan kelihatan terlalu berminyak (shiny) dan ini menimbulkan masalah semasa mengenakan make-up kerana adakalanya ia mudah tanggal. Pemilihan pelembab juga agak sukar kerana anda merasa kuathir yang ini akan menambahkan lagi kesan berminyak pada kulit anda.

Apa Dan Bila Untuk Menggunakan

Anda tidak perlu membeli semua produk penjagaan kulit.

Anda juga tidak semestinya menggunakan jenama yang mahal.

Pencuci Muka


Gunakan pencuci muka dua kali sehari semasa bangun pagi dan sebelum masuk tidur (sekurangnya). Kotoran yang tinggal pada kulit ataupun kesan make-up boleh mengganggu kulit dan ini boleh mengakibatkan masalah. Gunakan pencuci muka yang bersesuaian dengan jenis kulit anda - yang tidak menyebabkan kulit merasa terlalu kering selepas menggunakannya. Bagi yang mempunyai kulit kering boleh gunakan pencuci dari jenis krim yang melembabkan kulit.

Toner (Penyegar)


Toner digunakan selepas proses mencuci dan selelum proses melembab. Anda mungkin pernah terbaca mengenai fungsi toner. Selain daripada membantu proses pembersihan selepas proses mencuci ia juga akan mengimbangi semula kesimbangan dan kesegaran kulit. Adalah terbaik sekiranya anda menggunakan toner setiap selepas proses pencucian namun sekiranya anda tidak keluar rumah atau mengenakan make-up anda boleh meninggalkan proses ini.

Mask


Mask menyediakan rawatan yang lebih mendalam untuk kulit anda. Anda boleh menggunakan mask sekali dalam seminggu bagi membantu proses pembersihan permukaan kulit. Terdapat pelbagai jenis mask dan kegunaannya, jadi pastikan anda membaca terlebih dahulu tentang fungsi dan kaedah penggunaan yang betul. Anda juga mungkin boleh menyediakan mask sendiri sekiranya anda tahu cara untuk membuatnya.

Penyental (Exfoliators)


Penyental juga adalah penting untuk memastikan kulit mati dapat betul-betul dibuang dari permukaan kulit. Sel kulit mati boleh menjadi sebahagian masalah kulit kasar, kegatalan dan jerawat. Jangan gunakan penyetal secara kasar (biasanya bagi lelaki) kerana ia juga boleh merosakkan kulit sebaliknya gosok dengan lembut pada bahagian yang memerlukan. Gunakan penyental ini 2 kali seminggu atau untuk penyental yang lembut anda boleh gunakan setiap hari.


Anda boleh menggunakan bahan semulajadi.

Kebanyakan bahan semulajadi mudah didapati.

Pelembab


Semua jenis kulit memerlukan pelembab termasuk kulit berminyak. Sel-sel pada kulit memerlukan lembapan bagi memastikan proses regenerasi yang optimum. Sekiranya anda bimbang kulit anda terlalu berminyak anda boleh menggunakan pelembab dari jenis bebas minyak (oil-free). Manakala untuk kulit kering pelembab yang diperkaya krim adalah sebaiknya. Anda juga harus mencuba menggunakan minyak seperti rose hip oil, cocoa oil, vitamin E dan seumpamanya pada waktu malam untuk membantu kulit membaikpulih semula. Ia juga berkesan menghilangkan pigmentasi dan kesan parut.

Serum


Serum menyediakan rawatan tambahan untuk masalah-masalah kulit tertentu. Ianya digunakan pada kawsan-kawasan tertentu atau pada keseluruhan muka. Serum adalah lebih mudah diserap oleh kulit dan membantu proses pembaik pulihan yang lebih cepat namun digunakan pada kuantiti yang sedikit (sebagai penggalak). Adakalanya serum digunakan sebagai pengganti kepada pelembab. Namun ia boleh digunakan sebelum anda menggunakan pelembab.

Krim Malam


Krim malam amat penting bagi yang memiliki kulit yang kering atau terlalu kering. Anda boleh menggunakan krim ini selepas mencuci muka dan sebelum tidur. Krim malam lebih kaya dengan pelembab jadi bagi yang memiliki kulit berminyak penggunaan krim biasa adalah memadai bagi mengkalkan lembapan pada kulit.

Krim Mata


Kulit disekitar mata adalah lebih tipis dan ia memerlukan krim yang bersesuaian bagi mengelakkan kerosakan. Ini kerana kesan keletihan seperti lingkaran hitam dan sembab mudah kelihatan pada mata. Jadi krim mata perlu digunakan sekiranya anda mempunyai masalah seperti ini. Sapukan krim mata dengan lembut kerana kulit sekitar mata amat nipis dan mudah cedera. 

Penjagaan Kulit Lelaki

Produk penjagaan kulit lelaki juga semakin banyak di pasaran.

Sudah pasti kulit lelaki juga memerlukan penjagaan sekiranya anda mahu mempunyai kulit yang sihat. Memandangkan keadaan pencemaran yang tinggi masalah ini menjadi lebih penting untuk diberikan perhatian. Mungkin ia tidak seperti penjagaan kulit perempuan yang lebih nipis dan sensitif tetapi sekadar mengekalkan kulit untuk kekal sihat. Penjagaan yang penting seperti pencuci, penyental dan penyegar adalah rutin harian yang perlu dilakukan. Anda sendiri boleh melihat perbezaan sekiranya anda boleh melakukan beberapa perkara asas ini.

Beberapa Tips Tambahan;


1) Adakalanya anda perlu menukar rangkaian penjagaan kulit anda terutama apabila berlaku perubahan cuaca atau keadaan persekitaran anda. Musim, tempat kerja atau kediaman (adakalanya pemakanan juga mempengaruhi).

2) Jangan gunakan jumlah pelembab yang terlalu banyak, semasa menyapu jumlah sebesar kacang peas adalah cukup untuk melembabkan keseluruhan kulit muka anda.

3) Berhati-hati sekiranya anda perlu menyentuh pelembab terus dari bekasnya. Pastikan tangan anda betul-betul bersih bagi mengelakkan pembiakan bakteria. Anda juga perlu menyimpannya dengan baik disamping tidak menggunakan pelembab yang telah lama disimpan (tidak  digunakan).

4) Sekiranya menggunakan sesuatu produk yang baru anda perlu menggunakannya sekurang-kurangnya sebulan sebelum dapat melihat perubahan. Namun begitu sekiranya timbul kesan seperti kegatalan dan kerosakan pada kulit, pastikan anda tidak meneruskannya.

5) Rangkaian produk penjagaan juga boleh bertukar mengikut usia anda. Ini kerana keadaan kulit berubah mengikut perubahan hormon badan dan usia seseorang. Jadi anda tidak semestinya menggunakan jenama yang sama semasa anda remaja di ketika usia yang lebih matang.

Jadi begitulah antara perkara penting yang anda perlu ketahui mengenai produk penjagaan kulit yang asas. Tidaklah menjadi kerugian sekiranya anda mengetahui kaedah yang betul dalam memastikan kulit anda tetap sihat. Mungkin ia boleh menjimatkan perbelanjaan anda dalam jangka masa panjang berbanding sekiranya kulit anda bermasalah dan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan tentu lebih besar. Diharap ini dapat membantu.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...