Saturday, February 1, 2014

Kaedah Pembelajaran Bersistematik Memudahkan Pencapaian Cemerlang (UPSR/PMR/SPM/STPM)


Pencapaian cemerlang adalah bergantung kepada perancangan yang betul.

Kecemerlangan dalam pembelajaran sememangnya menjadi fokus utama dalam bidang pendidikan. Dari segi subjek yang dipejari di sekolah-sekolah di Malaysia, masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki – ini bermakna potensi untuk para pelajar mencapai kecemerlangan adalah tinggi. Sistem yang bergantung kepada peperiksaan boleh dihadapi dengan berkesan melalui perancangan pelajaran yang bersistematik.

Persekitaran Pendidikan


Rata-ratanya para pelajar menghadapi masalah yang sama dalam pembelajaran iaitu persekitaran. Pendedahan kepada persekitaran yang positif adakalanya sukar dalam majoriti pelajar yang kurang berminat dalam pelajaran mereka. Terdapat juga pelajar yang terhimpit dalam persekitaran yang pesimis yang menyebabkan usaha untuk mencapai kecemerlangan menjadi sukar.

Persekitaran negatif berada di mana-mana. Adalah penting bagi pelajar mengenalpasti persekitaran yang boleh memberikan mereka impak untuk terus mengekalkan emosi yang cemerlang – iaitu persekitaran yang dapat membantu mereka untuk terus berfikiran positif dalam mencapai keputusan yang cemerlang. Faktor emosi ini amat penting bagi membantu pelajar tetap berada dalam landasan kecemerlangan.

Kaedah Pembelajaran


Berbalik kita pada perbincangan utama iaitu sistem pembelajaran kerana adalah penting para pelajar mengusai sistem pembelajaran mereka bagi membolehkan mereka membuat penilaian tentang pencapaian mereka sendiri. Membuat analisa tentang keupayaan mereka dalam sesuatu subjek dapat membantu para pelajar mencari jalan penyelesaian yang betul seterusnya pencapaian yang cemerlang dapat dirangkul.

Pengukuran yang tepat untuk seseorang pelajar perlu dilakukan sendiri bagi memastikan ianya lebih berkesan. Langkah awal membuat penilaian dan sedikit usaha yang berterusan akan membantu pelajar lebih bersedia menjelang peperiksaan yang biasanya dilakukan pada penghujung tahun. Kaedah yang serupa juga boleh dilakukan bagi pelajar-pelajar di peringkat tinggi – namun perjalanan subjek mungkin akan berlaku dengan lebih pantas.

Pengasingan Subjek


Langkah pertama dalam membuat penilaian adalah pengasingan subjek. Subjek-subjek berbentuk penguasaan Bahasa berada dalam satu pengkelasan yang sama iaitu subjek seperti;

- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Bahasa Arab
- Bahasa Cina dan sebagainya

Subjek-subjek Sains;

- Sains
- Biologi
- Kimia
- Fizik

Subjek-subjek Matematik;

- Matematik Moden
- Matematik Tambahan
- Matematik Tulen

Subjek-subjek lain;

- Sejarah
- Geografi
- Lukisan Kejuruteraan
- Subjek Kejuruteraan (Elektrik/Elektronik/Automotif dan sebagainya).

Perlu diingat pengasingan ini adalah kerana subjek-subjek ini mempunyai perbezaan dalam kaedah penguasaannya. Walaupun ada di antaranya mempunyai kaitan yang rapat. Ini kerana kebiasaanya pelajar-pelajar yang menguasai subjek bahasa dengan baik mendapati sukar dalam penguasaan subjek-subjek sains dan matematik. Namun sekiranya keseimbangan dalam kesemua pengkelasan matapelajaran dapat dikuasai ini bermakna usaha anda untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang adalah lebih mudah.

Subjek-subjek sains pula mempunyai kaitan dengan subjek matematik. Kebiasaannya pelajar yang dapat menguasai subek sains ini dapat menguasai subjek matematik dengan mudah. Sekiranya pelajar menunjukkan keputusan yang berbeza – ini menunjukkan terdapat faktor luaran yang mengganggu tumpuan pelajar (gangguan daripada rakan-rakan/guru/ibubapa/dll).

Pengkelasan Topik


Apa yang menjadikan keputusan anda berbeza adalah penguasaan sesuatu topik di dalam sesuatu subjek. Adakalanya pelajar terlepas pandang akan kesediaan mereka di dalam topik tersebut sebelum menjalani peperiksaan. Adalah lebih baik sekiranya masalah ini dapat diatasi sedari awal. Jadi pengkelasan topik perlu dilakukan pada awal tahun pepriksaan bagi memastikan anda dapat membuat pengukuran yang tepat.

Senaraikan setiap topik di dalam sesuatu subjek dan lakukan latihan di dalam topik tersebut bagi mengukur kemahiran anda mengenainya. Pencapaian yang kurang daripada 80% menunjukkan anda perlu berhati-hati dalam topik tersebut. Buat semakan tentang bentuk soalan yang mana anda rasakan masih lemah untuk difahami.

Pastikan anda memberikan tumpuan dalam topik yang mana pencapaian anda kurang daripada 60%. Kebiasaannya anda akan melihat sendiri kelemahan anda di dalam topik tersebut. Anda masih lagi mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan tersebut sehingga anda boleh menguasai kemahiran pencapaian 80% ke atas dalam kesemua topik di dalam sesuatu subjek.

Penilaian Sendiri


Penilaian sendiri memberikan pelajar kebebasan dalam membuat keputusan tentang pencapaian mereka. Malah ianya lebih tepat kerana pelajar tidak perlu merasa malu tentang pencapaian mereka diketahui oleh orang lain (rakan-rakan/ guru/ ibubapa). Ia juga melatih pelajar dalam membentuk kaedah penyelesaian masalah dalam menghadapi situasi yang lebih besar kelak.

Ia bukan bertujuan untuk pelajar merahsiakan pencapaian mereka atau merasa malu dengan kemampuan diri. Tetapi kebiasaanya kesemua pelajar mempunyai tahap kemahiran yang hampir sama – kebanyakan mereka berharap dapat diberikan peluang dalam membuktikan kemampuan tersebut. Di sinilah sokongan semua pihak (rakan-rakan/ guru/ ibubapa/ masyarakat) dapat memastikan potensi tersebut dapat dikembangkan.

Apa yang lebih penting adalah kefahaman pelajar dalam sesuatu pelajaran dapat diaplikasikan di dalam kehidupan. Di sinilah membezakan antara pelajar cemerlang dan pelajar yang hanya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Hubungkait di antara ilmu dan amali memerlukan pemerhatian yang lebih kritikal.

Setelah kita membuat penilaian tersebut barulah kita akan membincangkan kaedah penguasaan sesuatu subjek. Ianya mungkin akan dibincangkan dalam artikel yang lain. Namun begitu proses pengukuran ini merupakan langkah utama yang perlu dilakukan pelajar dalam usaha memperbaiki pencapaian. Ini kerana kefahaman awal mengenai kekuatan dan kelemahan diri pelajar dapat membantu mereka membuat keputusan mengenai tahap kecemerlangan yang ingin dicapai.


Artikel Oleh: Math&Brain Malaysia


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...