Tuesday, January 14, 2014

Kesan Pembiakan Silang Dalam Pertanian Moden

Belgian Blue spesis lembu yang terhasil dari pembiakan silang

Pembiakan silang bukanlah merupakan satu perkara yang baru dalam dunia pertanian. Malah pembiakan (pembakaan) ini adakalanya berlaku secara semulajadi pada alam – namun dalam keadaan yang lebih terkawal. Apabila manusia menguruskan kerja-kerja pembiakan silang dan pembakaan mungkin beberapa perkara boleh berlaku.

Pembiakan silang tradisional dilakukan dengan kaedah yang lebih ‘natural’ (semulajadi) melalui proses persenyawaan haiwan atau pendebungaan dalam keluarga yang sama tetapi berlainan sepsis. Keadaan ini dilakukan sejak ratusan tahun dahulu. Hasil dari pembiakan haiwan atau tumbuhan dari jenis ini akan mempunyai gabungan ciri-ciri kedua baka yang asal. Sekiranya pembakaan dari hasil baru dapat dikawal, maka satu spesis baru akan terhasil.

Berlainan hari ini pembiakan silang dilakukan dengan lebih agresif iaitu melalui pencantuman benih di dalam makmal atau lebih ekstrem lagi melalui pengubahan DNA. Walaupun tujuan asal pembiakan silang bertujuan menghasilkan baka haiwan atau tumbuhan yang lebih baik, tetapi banyak kesan yang timbul apabila ciri-ciri asal haiwan atau tumbuhan tersebut telah diubah. Jadi proses pembiakan silang ini perlulah dilakukan dengan lebih berhati-hati bagi mengekalkan keseimbangan ciri-ciri asal semulajadi tumbuhan dan haiwan.

Kebaikan Pembiakan Silang:


- Menghasilkan baka haiwan atau tumbuhan baru dengan ciri-ciri yang lebih baik dari segi penghasilan daging, telur, susu, buah, tempoh matang yang singkat, tahan penyakit, tahan cuaca dan sebagainya.

- Menghasilkan haiwan dan tumbuhan yang boleh disesuaikan dengan keadaan baru atau iklim yang berlainan dari tempat asal mereka.

- Menjimatkan kos penyelenggaraan penternakan atau penanaman dengan mengurangkan masalah penyelenggaraan penyakit serta nisbah pulangan.

- Menggiatkan lagi industri pertanian dalam menyediakan sumber makanan kepada penduduk dunia.

Pembiakan silang pada tumbuhan bagi menghasilkan bunga yang lebih menarik.

Keburukan Pembiakan Silang:


- Adakalanya hasil pembiakan silang menghasilkan penyakit baru berikutan spesis baru yang terhasil.

- Masalah ‘abnormal’ kerana ciri-ciri baru yang tidak sesuai bagi keadaan semulajadi haiwan – seperti masalah lebihan berat pada haiwan ternakan (ayam daging), sukar melahirkan anak (lembu - Belgian Blue) dan masalah penyakit baru pada tanaman.

- Masalah perubahan zat pada haiwan atau tumbuhan yang melalui proses pengubahan genetik DNA bagi tujuan penghasilan baka - dan ini merupakan perkara yang paling ditakuti dalam teknologi pertanian moden.

- Perlumbaan bagi mengejar keuntungan dalam industri pertanian menyebabkan pembiakan silang sukar dibendung memandangkan teknologi ini semakin meluas dilakukan oleh badan-badan kerajaan atau makmal persendirian.

- Menyebabkan mutasi kepada spesis baru yang kurang stabil dan adakalanya ia berkembang secara perlahan atau dipindahkan kepada pengguna!

Bagaimana tumbuhan jagung berubah dengan pembiakan silang.

Padi moden yang menghasilkan pengeluaran yang lebih baik.

Mungkin kita tidak menyedari aktiviti ini sentiasa berlaku dalam dunia pertanian. Sedari dulu lagi pertanian tradisional mebiak baka haiwan dan tanaman mereka melalui kacukan benih secara semulajadi. Namun keadaan ini agak terkawal kerana spesis kacukan adalah dalam famili terdekat sahaja bagi menghasilkan baka yang lebih sihat, tahan penyakit dan hasil yang lebih tinggi.

Mungkin anda masih ingat cubaan menghasilkan baka-baka seperti kacukan ayam dan puyuh atau lembu dan seladang. Begitu juga kacukan pada tanaman padi, buah-buahan dan kelapa sawit bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Adakah semua hasil benih baru ini betul-betul baik? Atau pembaikan baka lama masih boleh dilakukan?

Industri penternakan banyak menggunakan teknik pembiakan silang.

Binatang kesayangan juga merupakan hasil pembiakan silang.

Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dari hasil usaha dalam teknologi pembiakan silang namun ianya perlulah dilakukan dengan berhati-hati. Ini kerana kesan daripada baka baru yang dihasilkan mungkin hanya akan disedari dalam tempoh yang agak lama. Malah adakalanya ia akan turut membawa kesan kepada penguna. Apa pendapat anda mengenai fenomena ini?



Free Download




No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...