Saturday, January 18, 2014

Makanan Tradisi dari Buah-buahan dan Daun-daunan II


Bagi menyambung artikel yang terdahulu saya akan menyenaraikan pula tentang buah-buahan yang tergolong di dalam kategori sayur-sayuran. Oleh kerana ia terdiri dalam ketegori sayur-sayuran tentulah ianya akan digunakan dalam masakan. Namun begitu terdapat sebahagian buah yang digunakan lebih dari sekadar masakan biasa. Mari kita lihat.


Labu digunakan dalam pelbagai juadah.


Labu


Labu adalah sayuran yang agak popular juga dan adakalanya menjadi sebahagian hidangan di majlis-majlis kenduri. Genre yang paling popular bagi masakan labu adalah masak lemak labu yang menggunakan daun kunyit sebagai penambah perasa dan bau. Hidangan ini tentu tidak akan diketepikan jika dihidangkan bersama dengan ikan masin dan sambal (sambal belacan, sambal ikan bilis dll.). Terdapat juga jenis sayuran yang dipanggil ‘labu air’ yang lebih mirip kepada buah kundur berbanding labu. Ia juga sering digunakan dalam masakan.

Keunikan labu turut dijadikan pengat dan ada juga yang digunakan dalam penyediaan kuih-muih yang lain. Bingka labu misalnya agak popular sebagai hidangan sarapan pagi atau minuman petang.


Kundur mudah dimasak dan sedap sebagai halua.

Kundur


Kundur bagaikan pasangan rapat pada labu walaupun kedua buah ini jauh berbeza. Kundur biasanya digoreng sebagai ‘masakan manis’. Walaupun terdapat masakan kundur berkuah atau sebagai bahan campuran masakan lain.
Antara lain kundur juga dijadikan halua iaitu sejenis makanan kudapan seperti gula-gula. Mungkin anda tidak menyangka anda pernah menikmatinya kerana ia seakan gula-gula atau makanan kering lain (asam masin).


Pelbagai jenis terung dan masakan menggunakan terung.

Terung


Terdapat banyak jenis terung dan kesemuanya digunakan untuk masakan. Jadi sudah tentu ianya dimasak dengan pelbagai jenis penyediaan. Terung telunjuk adalah dari jenis terung kampong biasa yang ditanam di kampong-kampung. Ia juga boleh tumbuh dengan mudah di kawasan halaman atau di pinggir dapur.
Terung dari jenis yang ditanam komersil pula adalah terung yang berwarna ungu. Terdapat terung bulat atau yang berbentuk lonjong dan saiznya agak besar. Terung biasa digunakan sebagai bahan campuran masakan kari ikan tongkol. Hmmm, menyelerakan.

Jenis lain terung tempatan adalah ‘terung pipit’ atau ‘terung belimbang’. Terung ini juga boleh dijadikan bahan campuran masakan. Terung ini juga digunakan oleh kanak-kanak untuk kegunaan permainan senapang dimana buahnya digunakan sebagai peluru.

Peria


Peria adalah buah yang agak pahit namun masih sedap dijadikan bahan masakan terutama sebagai bahan campuran masakan ikan. Peria liar adalah bersaiz lebih kecil dan lebih pahit – ianya sesuai untuk dijadikan ulam. Ulam peria masih diminati secara segar atau dicelur dengan air panas.
Keluarga terdekat peria adalah kambas yang juga dijadikan sebagai bahan masakan. Kedua-dua buah ini digunakan dengan cara yang sama. Namun begitu saiz kambas yang agak besar dan jarang sekali dimakan sebagai ulaman.

Petola


Petola adalah dari jenis yang dijual secara komersil. Jarang petola hidup secara meliar. Jenis asal petola liar mungkin yang dikenali sebagai ‘petola licin’ yang berbentuk bulat tanpa jaluran di kelilingnya. Sayuran ini mempunyai serat yang lebih kasar berbanding petola yang biasa dijual dipasar dari jenis yang ditanam di ladang.

Petola biasanya dimasak manis seperti masak lemak, tumis air atau digoreng. Seperti biasa masakan ini akan dihidangkan bersama ikan masin dan sambal bagi menambah rasa masin dan pedas.


Kacang panjang sayur yang mudah digunakan.

Kacang Panjang


Kacang panjang merupakan sayuran yang biasa dan boleh ditanam di sekitar rumah. Ia mudah dimasak kerana boleh dipadankan dengan kebanyakan masakan dengan pelbagai kaedah masakan. Kacang panjang juga sesuai dijadikan ulaman secara mencah ataupun dicelur dengan air panas. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau dengan gandingan sambal kegemaran anda. Kancang panjang merupakan antara sayuran yang boleh digandingkan dengan segala hidangan segera seperti nasi goreng, mee goreng, mee segera dan sebagainya. Jadi kancang panjang antara sayuran yang perlu dipastikan berada dalam peti sejuk anda.

Kacang Buncis


Kacang buncis lebih pendek berbanding daripada kacang panjang dan ia kelihatan lebih bulat dan licin. Kacang buncis mempunyai rasa yang lebih manis dan mudah digunakan dalam masakan atau sebagai bahan campuran. Seperti kacang panjang juga ianya mudah ditanam dipersekitaran rumah.

Kacang Kelisa/Botol


Kacang kelisa mempunyai bentuk yang aga unik kerana ianya bersegi. Selain daripada sebagai bahan masakan dan campuran kepada masakan lain ia turut popular sebagai ulaman seperti juga kacang panjang. Ulaman kacang kelisa ini amat sedap samada mentah ataupun dicelur. Ia juga lebih enak jika digandingkan bersama-sama dengan sambal.

Antara kacang-kacang lain yang popular sebagai masakan adalah kacang peas dan kacang parang. Kesemua kacang-kacang ini digunakan dalam masakan. Berbeza daripada kacang soya, kacang hijau, kacang merah di mana ia digunakan sebagai hidangan berbentuk pemanis pulut seperti bubur, pengat. Manakala sebagai makanan yang telah diproses bagi kacang soya seperti tempeh, taufu atau kicap.

Bendi


Bendi juga merupakan sayuran yang mudah ditanam. Walaupun ia biasanya ditanam secara komersil, penanaman kecil-kecilan juga adalah sangat mudah untuk sayuran ini. Bendi yang mudah adalah amat sedap sebagai bahan campuran masakan terutama bagi masakan seperti ‘masak asam pedas’, ‘singgang’, kari ataupun digoreng. Oleh kerana sayuran bendi ini menghasilkan lendir ianya kurang sesuai dijadikan bahan campuran untuk masakan lemak. Bendi juga boleh dijadikan ulam samada mentah ataupun dicelur.


Petai ulam kegemaran Masyarakat Melayu/Rakyat Malaysia.

Petai


Petai adalah dari ketegori ulaman sering juga digunkan di dalam masakan dan ia juga amat digemari. Antara hidangan masakan yang popular menggunakan petai adalah sambal petai dan juga masakan lemak ikan dicampur dengan petai. Selain itu juga adakalanya ia dicampurkan dalam masakan ‘sambal daun kayu’ – sejenis masakan yang menggunakan pelbagai jenis daun-daunan dan tempoyak yang amat popular. Hari ini ianya telah digantikan dengan hidangan sambal – ‘acar buah’ (asam masin) yang menggunakan buah-buahan jeruk.


Jering bagi peminat ulaman yang lebih extreme.

Jering


Jering juga digunakan antara ulaman yang digunakan di dalam masakan. Terdapat pelbagai kaedah masakan jering sama juga seperti petai iaitu sambal atau campuran bahan masakan. Jering tua biasanya akan direbus bagi melembutkannya sebelum digunakan dalam masakan. Apapun kedua-dua buah ulaman ini amat menarik apabila digunakan di dalam masakan.

Mungkin terdapat banyak lagi buah-buah sayuran yang biasa digunakan di dalam masakan yang saya terlepas pandang. Ini kerana banyak lagi kawasan di negara kita yang menggunakan buah-buahan sebagai bahan masakan – terutama buah-buahan liar. Seperti kata pepatah “jauh perjalanan, luas pengalaman”, jadi sekiranya anda dapat membantu saya dalam melengkapkan lagi maklumat mengenai buah-buah yang biasanya digunakan dalam masakan ini bolehlah menyenaraikannya semula di bahagian komen.


Apa yang penting di sini adalah usaha memperkenalkan semula masakan tradisi kita yang menggunakan bahan-bahan yang adakalanya kita tidak terduga. Mungkin kita pernah terserepak dengan buah-buahan ini tetapi tidak menyangka yang ia boleh dimasak sebagai makanan yang menyelerakan. Mungkin di lain masa saya akan mencari pula sayur-sayuran tradisi yang saya percaya ia merupakan satu senarai yang lebih panjang. Terima kasih


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...