Friday, February 7, 2014

Pengurusan Kewangan Dengan Pelan Takaful


Pelan perlindungan kewangan membantu disaat memerlukan.

Pengurusan dana kewangan dengan menyediakan pelan kecemasan seperti pelan perlindungan Takaful dapat membantu disaat-saat anda memerlukan. Walaupun pelan perlindungan kewangan seperti insurans konvensional mahupun takaful telah lama berada di pasaran namun tahap kesedaran dan pendidikan masyarakat umum mengenai pelan-pelan ini masih lagi di tahap yang asas.

Pelan kewangan seperti ini sebenarnya bertujuan membantu anda sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini dan mengelakkan anda daripada berhadapan dengan krisis kewangan yang tidak terduga. Ia juga mungkin mengakibatkan masalah berlanjutan kepada para pewaris, perniagaan atau anda sendiri.

Pelan perlindungan kewangan Takaful mematuhi beberapa prinsip dalam urusniaganya. Ini menjadikan ianya sedikit berbeza daripada insurans konvensional. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:

Takaful Ikhlas antara syarikat terawal menawarkan pelan perlindungan Takaful.

1) Anda mestilah mempunyai kepentingan kewangan yang sah dalam subjek yang berkenaan untuk menyertai pelan Takaful. Ini merupakan prinsip asas pelan perlindungan.

2) Kontrak Takaful adalah berdasarkan prinsip penuh percaya mutlak (amanah) yang memerlukan anda mendedahkan semua maklumat semula yang berkaitan. Anda perlu jelas mengenai perkara ini kerana perlindungan anda boleh dibatalkan sekiranya maklumat yang diberikan adalah tidak lengkap/tidak tepat.

3) Anda hanya boleh memporolehi nilai kerugian kewangan anda dan bukan mendapat keuntungan berikutan sesuatu kerugian yang boleh ditentukan nilainya. Sebagai contoh nilai kenderaan anda hanya akan dibayar mengikut nilai kerosakan atau jumlah harga semasa dan bukan melebihi daripada nilai tersebut. Katakan nilai kereta anda adalah RM 30,000.00, maka jumlah kerugian maksima yang akan ditanggung hanyalah RM 30,000.00 dan tidak boleh melebihinya.

4) Dalam menentukan pampasan, pengendali Takaful akan mengenal pasti punca kerugian tersebut. Iaitu satu siasatan akan dijalankan bagi membuktikan tiada unsur-unsur penipuan dalam pampasan yang dilakukan.

5) Setelah anda menerima pampasan bagi kerugian tersebut, pengendali Takaful berhak menuntut daripada pihak ketiga yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut. Ini berlaku di antara syarikat-syarikat yang menguruskan pelan Takaful tersebut.

6) Sekiranya sesuatu kerugian ditanggung oleh lebih daripada satu pelan Takaful atau polisi insurans, pengendali Takaful yang telah membuat pembayaran kepada anda boleh meminta pengendali Takaful atau syarikat insurans lain yang terbabit untuk menyumbang mengikut kadar bahagian masing-masing. Ini berlaku sekiranya anda mengambil pelan perlindungan daripada dua pihak pengendali Takaful berlainan untuk sesuatu perlingdungan (contoh: rumah/kenderaan/kedai dll.)

Kefahaman Asas Takaful ini tidak jauh bezanya daripada prinsip asas insurans biasa yang lebih dahulu diperkenalkan sebelum ini. Maka dengan itu, pelan Takaful juga dipelbagaikan memenuhi semua keperluan sama seperti insurans tersebut iaitu merangkumi;

MAA Takaful antara pengendali Takaful yang terbaik.

- Pelan Keluarga

- Pelan Berkaitan Pelaburan

- Pelan Pendidikan Anak

- Pelan Perubatan dan Kesihatan

- Pelan Anuiti

Manakala di bawah Takaful AM pula menyediakan perindungan termasuklah;

- Pelan Kebakaran/Empunya/Isi Rumah

- Pelan Motor

- Pelan Kemalangan Diri

Kesedaran mengenai pelan perlindungan kewangan semakin mendapat perhatian masyarakat samada melalui pelan insurans mahupun pelan Takaful. Namun begitu kefahaman mengenai bagaimana ia bekerja masih lagi di tahap yang umum dan ianya hanya difahami oleh mereka-mereka yang mengendalikan pelan-pelan tersebut secara professional.

Namun begitu, keperluan gaya hidup hari ini menjadikan pelan perlindungan ini juga sebagai salah satu keperluan dalam mengelakkan anda daripada menampung kerugian akibat perkara-perkara yang tidak diduga.

Seperti pelan perlindungan kesihatan misalnya berikutan perbelanjaan kos perubatan yang disediakan oleh badan-badan kerajaan atau swasta hari ini adalah jauh lebih tinggi. Maka dengan itu anda tidak perlu berhadapan dengan keseluruhan perbelanjaan tersebut dan apa yang lebih baik bila ianya berlaku secara mengejut.

Berikut adalah senarai pengendali-pengendali Takaful di Malaysia yang diluluskan daripada Bank NegaraMalaysia.

Institusi perbankan juga turut menawarkan pelan Takaful.

- AIA AFG Takaful Bhd.

- AIA PUBLIC Takaful Bhd.

- AmFamily Takaful Berhad

- Etiqa Takaful Berhad

- Great Eastern Takaful Berhad

- HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Sdn. Bhd.

- Hong Leong MSIG Takaful Berhad

- MAA Takaful Berhad

- Prudential BSN Takaful Berhad

- Sun Life Malaysia Takaful Berhad (CIMB Aviva Takaful Berhad)

- Syarikat Takaful Malaysia Berhad

- Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Great Eastern turut menawarkan pelan Takaful.
HSBC juga tidak ketinggalan.

Secara umumnya kesemua syarikat pengurusan insurans dan Takaful adalah di bawah selengaraan dan pemantauan Bank Negara kerana ianya melibatkan jumlah wang yang besar. Selain itu juga ia mengawal dan meluluskan jumlah premium yang dikenakan bagi jumlah perlindungan yang ditawarkan.

Walaubagaimanapun terdapat banyak pelan insurans dan Takaful yang berbeza dan anda perlulah mendapatkan penjelasan yang tepat sebelum membuat keputusan untuk sesuatu pelan yang ditawarkan. Anda juga digalakkan menambah pengetahuan mengenai pelan-pelan ini bagi mengelakkan wakil-wakil penjual yang cuba mengaut keuntungan yang lebih dengan menawarkan perlindungan yang kurang tepat daripada yang anda perlukan.


Diharap ini dapat sedikit sebanyak dapat membantu anda mendapat kefahaman mengenai perlindungan Takaful sepertimana yang biasa kita dengar dari wakil-wakil penjual pelan perlindungan tersebut. Semoga kita semua menjadi pengguna yang bijak dalam membuat pilihan.

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.


No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...