Monday, March 31, 2014

Bantuan Untuk Pelajaran Matematik Merangkumi Semua Topik

Mathematics
Matematik bukanlah sukar sekiranya dipelajari secara bersistematik.

Matematik mungkin menjadi masalah bagi sesetengah orang apatah lagi apabila telah lama meninggalkan zaman persekolahan. Adakalanya anda memerlukan sedikit rujukan untuk mengingatkan kembali apa yang telah dipelajari dahulu. Bukan itu sahaja bagi mereka yang mengikuti sebarang kursus di pusat pengajian tinggi ia mungkin boleh mendatangkan masalah – terutama yang mengikuti kursus kejuruteraan.

Walaupun anda seorang peminat matematik, rujukan dan ulangkaji matematik amat penting bagi memastikan kemahiran anda dalam menguasai matematik dengan baik. Bidang matematik yang merangkumi pelbagai bahagian bukanlah mudah untuk diingati sepanjang masa – adakalanya bahagian matematik pun tidak lagi diingati dan ini menyukarkan kerja-kerja membuat rujukan.

Khan Academy





*di atas adalah contoh video daripada Khan Academy

Bagi yang biasa dengan blog saya MyRokan mungkin pernah menjumpai artikel mengenai institusi pengajian yang menawarkan kursus secara online dengan percuma (link di simi). Antara laman yang menyediakan kursus tersebut adalah Khan Academy. Khan Academy yang pada asalnya memang menumpukan kepada tajuk-tajuk yang berkaitan dengan matematik hari ini telah meluaskan lagi tajuk mereka dan turut merangkumi sains (biologi, fizik, kimia,dll.), sejarah, ekonomi dan beberapa bahagian lagi yang disediakan khusus untuk membantu para pelajar dalam menghadapi peperiksaan.

Walaupun isi asal disampaikan menjurus kepada silibus di U.S. tetapi ia masih boleh digunakan di mana-mana di serata dunia. Tambahan pula dalam rujukan anda tidak perlu mengaitkan dengan apa-apa peperiksaan tetapi hanya pada topic yang ingin anda kuasai.

Terdapat bahan rujukan disediakan dalam bentuk video yang mudah difahami dan kaedah yang juga lebih mudah untuk dikuasai. Anda juga akan diberikan sedikit latihan yang berkaitan dengan video yang disampaikan. Melalui sistem yang disediakan anda dapat menilai sendiri kemahiran yang telah dikuasai, yang ingin dikuasai serta merancang keseluruhan pelajaran anda sendiri.


Khan Academy logo
Khan Academy bermula dengan video tutorial untuk membantu pelajar.

Video disampaikan di dalam Bahasa Inggeris – maka sebab itulah mengapa kita perlu belajar matematik di dalam Bahasa Inggeris seperti yang dilaksanakan di dalam PPMSI. Ini kerana lambat laun anda perlu berhadapan subjek ini di dalam Bahasa Inggersi juga. Bagi yang berminat untuk membantu membuat proses pengalihan bahasa juga disediakan – jadi anda tak perlulah menunggu untuk semua itu berlaku.

Bagi mereka yang mempunyai masalah di dalam pembelajaran matematik (memerlukan bantuan) samada di peringkat sekolah menengah untuk SPM, STPM ataupun yang berda di pusat pengajian tinggi, Khan Academy sesuai untuk dijadikan tempat rujukan berkaitan matematik. Malah bagi mereka yang hanya berminat untuk membuat rujukan sahaja pun boleh menggunakan platform ini untuk menambahkan lagi ilmu dalam bidang matematik. Ia merupakan sebuah arkib yang menyimpan banyak tajuk berkaitan dengan matematik serta video penjelasan mengenainya.

Anda boleh mendaftar secara percuma di laman web Khan Academy secara percuma dan boleh terus menggunakannya secara percuma juga. Jangan sia-siakan kemudahan yang disediakan ini – semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya. 


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga laman Facebook kami.

Pelaris Perniagaan Yang Perlu Dimiliki

Cafe premise
Premis perniagaan yang bersih sentiasa menjadi pilihan pelanggan.

Pelaris bukanlah asing dalam dunia perniagaan samada dalam dunia perniagaan klasik ataupun dunia perniagaan moden. Sebenarnya apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah mengenai pelaris yang boleh dilakukan oleh semua peniaga dan tiada kaitan dengan penggunaan sihir ataupun ilmu hitam.

Dunia perniagaan sememangnya penuh dengan cabaran namun begitu terdapat 1001 cara untuk kita melariskan perniagaan. Terdapat kaedah yang boleh dilakukan walau dimana sekalipun tahap kemampuan perniagaan anda. Bagi kemudahan semua, di sini kita akan lihat dari sudut perniagaan makanan dimana ia merupakan perniagaan yang paling ramai diceburi oleh peniaga-peniaga Melayu Bumiputra.

Produk Berkualiti


Perkara yang paling utama dalam semua perniagaan tentulah berkaitan dengan produk yang baik. Untuk mencapai ke tahap ini peniaga perlulah memastikan barangan yang dihasilkan dalam keadaan yang selamat untuk pengguna. Barangan yang berkualiti memastikan pelanggan datang semula ke premis perniagaan kita. Penggunaan bahan yang sentiasa dipantau bagi mengelakkan kualiti barangan yang rosak. Jangan ambil risiko dengan memberikan pelanggan barangan yang kurang berkualiti – peliharalah/hargailah kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada anda.

Produk berkualiti juga merujuk kepada produk yang menjadi ‘trademark’ perniagaan anda. Jagalah kualiti produk anda dari segi kualiti dan rasa. Elakkan anda hanya menghidangkan produk yang sama seperti 10 kedai lain yang sebaris dengan anda. Namun begitu juga produk anda berkualiti ia masih boleh mengatasinya. Anda juga bertanggungjawab memastkan segala bahan dan produk yang dihasilkan mengikut standard anda sendiri. Jadi jangan abaikan tanggungjawab utama ini.

Kebersihan

clean cafe
Premis yang bersih menambahkan keselesaan.

Pastikan kebersihan premis anda sentiasa dalam keadaan baik. Sediakan kemudahan untuk pekerja membuat kerja-kerja pembersihan setiap beberapa jam. Gunakan kaedah yang tidak mengganggu pelanggan. Pastikan juga troli, penyapu, baldi atau bekas yang digunakan pekerja untuk kerja-kerja pembersihan itu juga bersih. Pelanggan amat menyukai premis yang bersih. Mereka juga merasa lebih dihargai.

Gunakan pembersih yang sesuai dengan keadaan di premis anda. Bahan pembersihan untuk premis perniagaan biasanya berbeza dengan yang digunakan di rumah. Gunakan juga bahan pembunuh kuman bagi mengelakkan jangkitan ke dalam makanan serta serangga perosak. Amalkan kerja-kerja pembersihan untuk keseluruhan premis setiap kali membuka dan menutup perniagaan dan anda akan mendapati kerja-kerja pembersihan akan menjadi lebih mudah berbanding sekiranya hanya dilakukan sekali-sekala.

Kebersihan Pengendali


Kebersihan para pekerja juga penting samada yang berada di bahagian hadapan ataupun melakukan kerja-kerja memasak di bahgian belakang premis. Pastikan para pekerja mengenakan pakaian yang bersih semasa datang ke tempat kerja. Adalah lebih baik sekiranya anda menyediakan baju seragam kerana ia melambangkan kesungguhan perniagaan anda. Bekalkan juga apron yang bersih bagi pekerja-pekerja di dapur bagi mengelakkan pakaian menjadi kotor.

Pastikan pekerja mengamalkan penjagaan kebersihan sepanjang masa dan mengetahui kaedah pengendalian makanan yang betul. Sediakan tempat dan pencuci tangan khas bagi pekerja membersihkan tangan sebelum menyentuh apa-apa bahan makanan.  Pastikan juga kuku pekerja yang mengendalikan proses memasak sentiasa pendek dan bersih. Sekiranya perlu tekankan aspek-aspek kebersihan diri menyeluruh seperti penjagaan rambut, kumis dan sebagainya.

Layanan

layanan customer
Senyuman kepada pelanggan menjalinkan hubungan baik, juga sebagai tanda terima kasih.

Layanan merupakan perkara yang utama dinilai pelanggan. Ini mungking kerana mereka tidak berpeluang untuk melihat keadaan di dapur tempat memasak makanan. Malah ia merupakan sebab utama mengapa ramai pelanggan memilih untuk ke kedai mamak kerana layanannya yang cepat – walaupun kualiti makanan dan layanan tidaklah begitu istimewa.

Pastikan anda menyediakan pekerja yang cukup untuk memberikan layanan yang pantas. Elakkan pelanggan menunggu terlalu lama untuk membuat pesanan ataupun menerima tempahan makanan. Masa adalah penting bagi semua orang jadi mereka amat menghargai sekiranya anda menghargai masa mereka.

Latihlah perkerja untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan. Jangan bergaduh dengan pelanggan dan sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik apabila terdapat sebarang krisis. Gunakan bahasa yang baik semasa berada di premis. Ini akan melatih pekerja untuk sama-sama menggunakan bahasa yang baik kepada pelanggan.

Ambil inisiatif untuk mengenali pelanggan anda dengan lebih rapat. Pelanggan amat berbesar hati apabila anda mengenali mereka dan mungkin akan terkejut sekiranya anda boleh mengingati nama mereka. Hubungan inilah yang menjalinkan hubungan yang baik antara anda dan pelanggan-pelanggan setia.

Keceriaan


Hiaslah premis anda dengan baik sesuai dengan tema premis anda. Selain daripada memberikan ketenangan kepada pelanggan, ia juga memberikan keyakinan bagi pelanggan-pelanggan baru. Adakalanya perhiasan ini tidaklah memerlukan perbelanjaan yang besar, cuma elakkan keadaan yang berserabut.

Bagi menambahkan seri premis, anda mungkin juga boleh menambah sedikit muzik yang sesuai atau tontonan seperti TV (sekiranya bersesuaian). Namun begitu muzik adalah lebih baik – kerana ia akan memberikan suasana yang aman kepada para pelanggan dengan pilihan muzik yang betul.

Periksa juga kerusi dan meja anda supaya bersih dan dalam keadaan yang selamat. Ini kerana anda tentu tidak mahu pelanggan anda tercedera semasa menikmati hidangan mereka.

Servis Tambahan

Jangan takut untuk memberikan sedikit kelebihan kepada pelanggan anda.

Servis tambahan boleh memberikan anda sedikit kelebihan berbanding dengan premis-premis yang lain. Jadi sekiranya berkemampuan jangan takut untuk menyediakan servis tambahan seperti Wi-Fi, kemudahan surau, tandas dan sebagainya. Servis tambahan ini bergantung kepada kemampuan anda. Namun pada pelanggan sedikit kelebihan ini adalah amat penting.


Itu adalah beberapa pelaris mudah yang perlu ada kepada setiap premis perniagaan. Sekiranya anda tidak mengambil serius tantang perkara-perkara ini maka janganlah anda fikir pelanggan akan tertarik ke premis anda. Lebih malang lagi sekiranya berlaku kes-kes seperti keracunan makanan yang boleh mengakibatkan premis anda ditutup. Ambillah langkah awal dan kekalkan bagi kebaikan semua iaitu pelanggan dan perniagaan anda sendiri. Tunjukkan kesungguhan anda dan pastinya pelanggan akan menghargainya.

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Sunday, March 30, 2014

Keunikan Hidupan Laut, Ketam Kelapa


Ketam Kelapa
Saiz Ketam Kelapa boleh mencapai sehingga 1 meter.

Ketam Kelapa atau coconut crab (Cancer crumentus) juga digelar sebagai ketam pencuri, bukanlah tinggal di dalam laut seperti juga ketam merah, tetapi tinggal berhampiran kawasan pantai bagi memastikan ia tidak terlalu jauh dengan sumber air – iaitu laut.

Ketam Kelapa ini adalah dari jenis umang-umang dimana sewaktu ia kecil memerlukan cengkerang hidupan lain seperti siput bagi mendapatkan perlindungan daripada dimakan oleh pemangsa yang lain. Ini kerana ketam betina dewasa akan melepaskan telur-telurnya di pantai dan di laut jugalah anak-anak ketam ini akan menghabiskan masanya sehingga ia dewasa dan tinggal di darat pula. Namun begitu ketam-ketam ini perlu memastikan kelembapan badan mereka kekal bagi mengelakkan mereka daripada mati.

Kawasan di mana Ketam Kelapa boleh dijumpai.

Apa yang paling menarik mengenai ketam kelapa ini adalah satu kelebihannya berbanding dengan spesis-spesis ketam yang lain adalah kemahirannya memanjat pokok kelapa. Sebab itulah ia diberikan gelaran ‘Ketam Pencuri Kelapa’. Ini kerana ketam perlu memanjat kelapa tersebut apabila hari mulai sejuk  dan hari mulai gelap. Jadi sekiranya anda berada di tepi pantai pada waktu malam di bawah pohon kelapa mungkin anda tidak perlu merasa takut sekiranya ada sesuatu di atas pokok kelapa tersebut. Ia mungking ketam kelapa yang sedang menikmati makanan kegemarannya – iaitu kelapa.

Warna Ketam Kelapa
Warna Ketam Kelapa berbeza dari merah ke biru.

Habitat ketam kelapa adalah di persisir pantai biasanya di kepulauan-kepulauan kecil dari Timur Afrika hinggalah ke Selatan Pasifik. Ia merupakan haiwan yang amat digemari jadi ia kurang ditemui di kawasan-kawasan yang didiami manusia. Oleh kerana kadar tumbesarannya yang perlahan maka jumlahnya semakin berkurangan dari hari ke hari.

Saiz ketam kelapa dewasa boleh mencecah sehingga 1 meter (3 kaki) dari kaki ke kaki dengan berat sehigga 4.1 kg (9 lb). Ia juga boleh mencapai usia sehingga 60 tahun. Sekiranya anda masih ingat haiwan laut seperti kerang gergasi atau kima juga mempunyai umur yang panjang iaitu ratusan tahun.

Warna Ketam Kelapa
Ketam Kelapa dan kelapa yang mungkin akan menjadi makanannya.

Sebaik sahaja telur ketam ditetaskan di laut, larva-larva ketam akan tinggal di kawasan cetek di pinggir laut kira-kira 3 - 4 minggu dan kemudiannya ia akan tinggal di dasar laut dengan menggunakan cengkerang siput-siput sebagai perlindungannya. Ketam mencapai usia kematanganya apabila berumur 5 tahun.

Memandangkan ketam ini memerlukan masa yang panjang untuk mencapai usia yang matang dan mungki saiz yang sesuai sebagai hidangan hanya apabila mencapai usia belasan tahun. Maka adalah tidak berbaloi sekiranya ia dijadikan makanan kegemaran. Mungkin masyarakat dahulu tidak mempunyai banyak pilihan dan menjadikannya sebagai makanan kerana isi ketam secara lazimnya adalah biasa dan yang membezakan makanan tersebut adalah bahan rempah dan cara memasak.


Ketam memanjat
Ketam Kelapa memanjat pokok kelapa.

Ketam Kelapa masih boleh ditemui dikepulauan Pasifik  di mana hari ini ia lebih dihargai sebagai salah satu hidupan yang mempunyai fungsi untuk menjaga keseimbangan alam. Apa yang penting bagi kita mengenali sebahagian daripada keajaiban ketam yang bukan sahaja tinggal di darat ini malah boleh memanjat pokok kelapa yang kita rasakan mustahil bagi ketam. Adakah anda  ingin melihat ketam-ketam ini di habitat mereka nanti?


Free Download



Saturday, March 29, 2014

Sayuran Di Pinggir Halaman


Ikan puyu
Ikan puyu dahulu mudah dipancing di tali-tali air tepian sawah.

Adakalanya saya ditanya apakah keistimewaan tinggal di kampung? Sebelum menjawab soalan tersebut saya juga akan bertanya apakah keistimewaan tinggal di bandar? Ya, masing-masing mempunyai sebab tersendiri untuk samada tinggal di kampung ataupun di bandar. Mungkin ada keperluan yang menyebabkan seseorang perlu tinggal di bandar seperti pekerjaan, pendidikan, tempat tinggal dan sebagainya. Namun begitu, kampung halaman tetap merupakan tempat yang menyediakan seribu satu keistimewaan yang sentiasa tersedia untuk anda gunakan.

Masyarakat dahulu dan bagi mereka yang tinggal di kampung, sentiasa disediakan dengan sumber tanpa batasan. Dari sumber inilah penduduk di kampung memperolehi pendapatan mereka. Tetapi oleh kerana setiap usaha dilakukan hanya sebagai menampung keperluan keluarga maka sumber ini sentiasa kekal kerana ia digunakan dalam jumlah yang mampu digantikan semula oleh alam/hutan dalam masa yang singkat.

Mungkin anda tidak menyangka di kampung sayur-sayuran sentiasa tersedia untuk dipetik dan dimasak dengan percuma. Jadi apa yang perlu anda keluarkan adalah sedikit masa dan usaha untuk memetik sayur-sayuran ini. Sesetengahnya mungkin bermusim seperti buah-buahan dimana ia boleh juga dijual untuk menambah hasil pendapatan. Apa yang penting tumbuh-tumbuhan ini tumbuh dengan sendirinya di hutan dan kawasan di sekitar kampung.


jantung pisang hutan
Jantung dan daun pisang hutan selalu digunakan masyarakat Melayu.

Sayur-sayuran seperti pucuk paku, kangkung air, keladi, pucuk pegaga, ubi kayu, rebung, kundur dan labu adakalanya tumbuh meliar tanpa ada yang menghiraukannya. Mungking tidak ramai yang perasan beberapa tumbuhan yang boleh dijadikan makanan sehinggalah ianya dijumpai di pasar (mungkin anda tidak perasan pula dari mana ia dipetik). Saya yang membesar di kawasan kampung juga tidak dapat memastikan dengan tepat kesemua tumbuhan-tumbuhan yang boleh dijadikan sayuran ini sehinggalah ianya dipetik.

kangkung air
Kangkung air jauh lebih sedap berbanding kangkung darat.

Manakala di pinggir-pinggir kampung pula hasil hutan adakalanya boleh diperolehi yang terdiri daripada buah-buahan dan dedaunan yang boleh dimakan seperti jantung pisang hutan, pucuk cemperai, embut nibung, buah kelubi, petai, kerdas, buah tampoi dan macam-macam lagi. Oleh kerana banyak sekali bahan-bahan ini adakalanya kita terlepas pandang atau mungkin ada yang tidak menghiraukannya - mungkin disebabkan masa, kaedah untuk mendapatkannya adalah sukar seperti embut nibung dan buah petai.

Tidak lupa juga hasil yang boleh diperolehi daripada sungai seperti ikan, siput dan kijing (panggilan untuk sejenis hidupan air tawar seperti kepah). Apa yang membezakannya adalah kaedah dalam mendapatkan hasil ini samada menggunakan pancing, jala, jaring, lukah & bubu atau yang dipelihara di dalam kolam. Bagi siput dan kijing tentu anda perlu mengutipnya di gigi air di pinggiran sungai dan tali air.

siput sedut
Siput belitung adalah siput paya bakau, namun terdapat juga siput sungai yang boleh dimakan.

Begitulah kemudahan yang tersedia di sekeliling kawasan kampung. Sumber ini tetap tersedia selagi ianya tidak dicerobohi dengan aktiviti-aktiviti penebangan hutan dan pembuangan sampah yang merosakkan kualiti air sungai. Penebangan hutan menyebabkan lumpur masuk ke dalam sungai dan merosakkan habitat hidupan air. Sungai juga menjadi cetek serta kawasan tadahan hujan hilang menyebabkan air cepat kering apabila musim kemarau. Bukan itu sahaja hidupan air yang tinggal di dalam air tercemar ini juga boleh mendatangkan bahaya apabila dimakan (sekiranya pencemaran berlaku dengan serius).


petai
Petai masih lagi diminati sehingga hari ini.

Jadi hasil hutan dan tumbuh-tumbuhan yang hidup di persekitaran kampung adalah secara asalnya bebas pencemaran atau juga dipanggil 'organic'. Ia bukan sahaja bebas bahan kimia malah tumbuh di kawasan yang benar-benar membolehkannya untuk hidup dengan subur - melalui proses penyebaran benih semulajadi. Tumbuhan yang kurang subur biasanya akan mati atau tidak mencapai kematangan (kesan daripada proses 'survival' secara semulajadi).

Tujuan saya membuat pendedahan ini adalah untuk kita sama-sama menghargai fungsi alam sekitar yang sepatutnya kita dapat memeliharanya bersama. Mungkin dengan ini kita menyedari setiap hidupan memainkan peranan masing-masing kepada alam. Kita boleh menyumbang kepada alam dengan sekecil sumbangan samada dengan menanam pokok atau dengan tidak membuang sampah merata-rata. Apapun lakukan sedikit sumbangan kita sebagai tanda 'Terima Kasih'.




Free Download



Friday, March 28, 2014

Keunikan Dunia Serangga Mentadak Orkid

Mentadak Orkid
Mentadak Orkid kelihatan mirip seperti bunga orkid, menunggu serangga.

Seperti yang kita ketahui terdapat pelbagai spesis serangga dan sukar sekal bagi kita menentukan jumlah sebenar mereka – manakala spesis terbaru sentiasa ditemui. Mungkin kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang terlalu jauh daripada manusia atau mereka sendiri terlalu sukar untuk dikesan.

Mentadak orkid adalah sejenis serangga yang menyerupai bunga orkid iaitu tempat di mana ia akan meluangkan masa menunggu mangsanya – serangga pendebunga yang lain seperti rama-rama dan lebah. Oleh kerana rupa bentuk dan warnanya mirip dekali dengan persekitaran – bunga orkid, jadi mangsa dan pemangsa sukar sekali mengesan kehadiran Mentadak Orkid ini.

Mentadak Orkid (Hymenopus coronatus) mendiami kawasan persekitaran hutan hujan termasuklah Malaysia. Dalam ekspedisi untuk menkaji mentadak istimewa ini dua saintis James O’hanlon dan Marie Herberstein daripada Macquarie University, Australia mendapatkan khidmat penduduk tempatan (asli) bagi mengesan dan mendekati serangga ini dengan lebih dekat.

Mata serangga
Serangga dengan mata majmuk.

Melalui kajian mereka menggunakan peralatan yang mampu mengukur warna melalui jarak gelombang (spectrophotometer) untuk membezakan warna mentadak dan juga warna bunga-bungaan di mana mentadak ini biasanya menunggu mangsanya. Kajian mendapati adalah agak sukar bagi serangga membuat perbezaan kerana mata serangga adalah berbeza dengan mata manusia dan kelebihan inilah yang digunakan oleh mentadak orkid bagi mengelirukan mangsanya.

Penglihatan serangga
Perbezaan daya penglihatan serangga seperti yang digambarkan di kaca TV, penglihatan sebenar dan pengelihatan manusia.

Kajian saintis ini turut dimuatkan di dalam majalah ‘American Naturalist’ setelah menjayakan kajian ini melalui tajaan oleh National Geographic di kawasan hutan Borneo, Malaysia.


Maka dengan ini anda pasti akan terfikir berapa banyakkah lagi serangga-serangga yang masih belum lagi dikenal pasti dan apakah keunikan mereka? Adakalanya sifat-sifat istimewa inilah yang digunakan oleh manusia di dalam teknologi pembuatan, ketenteraan, reka bentuk dan sebagainya. Jadi jangan lepaskan peluang anda sekiranya mempunyai sedikit masa untuk memerhatikan haiwan atau serangga yang berada di sekeliling anda.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Keunikan Hidupan Laut Kima (Kerang Gergasi)

Kima-Chama gigantea
Keindahan kerang gergasi di kawasan terumbu karang.

Kima atau juga dikenali sebagai kerang gergasi adalah merupakan antara hidupan yang menghuni perairan turumbu karang Sabah (Borneo). Kima atau nama saintifiknya Tridacna gigas/Chama gigantea menghuni perairan turumbu karang pada kedalaman 20 meter yang mejangkaui perairan Selatan Pacific hingga ke Lautan Hindi. Selain daripada saiznya yang boleh menjangkau sehingga melebihi 1 meter ia juga boleh mencapai umur sehingga ratusan tahun.

Keunikan hidupan ini selain daripada saiznya yang menjangkau sehingga melebihi 1 meter adalah keupayaannya untuk menggunakan alga yang mampu hidup pada permukaan dalamannya dan mendapat sumber makanan daripada alga tersebut apabila ia menjalankan fotosistesis. Ini membolehkan kerang gergasi membesar dengan sempurna walaupun pada perairan yang kurang mengandungi plankton. Hubungan simbiosis seperti ini juga turut digunakan oleh hidupan lain seperti obor-obor (pada sebahagian spesis).

Saiz kerang gergasi yang pernah direkodkan adalah mencapai sehingga 137 cm (4.49 kaki) yang diperolehi pada tahun 1817 dipersisir pantar Sumatra Barat. Berat kulit kerang tersebut mencapai sehingga 230 kilogram dan dianggarkan berat semasa hidup boleh mencapai sehingga 250 kilogram. Kulit kerang gergasi tersebut kini disimpan di museum Ireland Utara.

Kulit kerang gergasi
Kulit kerang gergasi yang disimpan di Aquarium Finisterea, Spain.

Satu lagi spesimen yang diperolehi daripada kepulauan di Ishigaki, Jepun pula pada tahun 1956 menemukan kerang yang mencapai saiz sehingga 115 cm (3.77 kaki) dengan berat cengkerang mencapai 333 kilogram. Para saintis menganggarkan berat hidup kerang ini mungkin boleh menjangkau sehingga 340 kilogram.

Kerang gergasi yang mendiami kawasan terumbu karang akan membuka cengkerang dan mendedahkan bahagian dalamannya kepada cahaya matahari. Ini membolehkan alga yang hidup pada permukaan kulit dalaman tadi melakukan proses fotosistesis dan membolehkan ia juga mendapat hasil daripada alga tersebut. Permukaan kulit ini kelihatan amat cantik apabila terdedah kepada cahaya matahari – kesan daripada pantulan UV.

Kerang gergasi di dasar laut
Kerang gergasi di dasar laut.

Oleh kerana kerang gergasi akan berada pada suatu tempat untuk tempoh masa yang lama maka ia terdedah kepada bahaya musuh terutamanya manusia yang menjadikannya sebagai sumber makanan. Proses tumbesarannya yang lama menyebabkan jumlahnya turun secara mendadak. Proses pemuliharaan giat dilakukan oleh banyak negara termasuk Malaysia dan Australia. Di Malaysia usaha pemuliharaan dilakukan oleh Marine Ecology Research Center (www.merc-gayana.com) yang berpusat di Pulau Gaya, Sabah. Usaha ini dijalankan sejak 2007 dan telah berjaya melepaskan semula anak-anak kerang gergasi ke habitat yang sesuai.

Seperti juga spesis-spesis hidupan liar yang lain, kerang gergasi mengalami masalah kepupusan adalah disebabkan kadar tangkapan/buruan yang tinggi berbanding kadar pembiakan yang perlahan. Ini kerana kerang ini bukan sahaja menjadi sumber makanan masyarakat tempatan malah menjadi buruan mereka yang ingin memilikinya sebagai koleksi untuk dipelihara di dalam akuarium sebagai hiasan. Perkara yang lebih buruk mungkin boleh berlaku sekiranya habitat semulajadi mereka terganggu dan menyebabkan kematian hidupan unik ini.


Mungkin sekiranya mendapat peluang untuk merasa keunikan masakan kima ini saya juga ingin mencuba. Tapi apa yang lebih penting diharap usaha memelihara kelangsungannya juga patut diberikan perhatian. Adalah diharap kita sama-sama dapat membantu memelihara kerang gergasi ini daripada terus pupus.


Free Download



Thursday, March 27, 2014

Kereta Terpantas Di Dunia Bugatti Veyron Super Sport


Veyron Super Sport
Bugatti Veyron Super Sport.

Kereta merupakan lambang status kejayaan seseorang dalam budaya kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun ia lebih kepada pilihan masing-masing tetapi masyarakat umum masih mengaitkan kejayaan dan kereta sebagai salah satu lambang yang berkait rapat. Sehubungan itu memiliki kereta terpantas di dunia merupakan impian hampir setiap individu.

Sehingga pada tahun ini 2014 kereta terpantas di atas jalan raya masih lagi dipegang oleh Bugatti Veyron Super Sport yang menyandang gelaran ini sejak tahun 2010 lagi dengan keupayaan mencapai kelajuan maksima sehingga 267 mph (431 kmh). Ia juga mampu memecut dari 0 – 60 mph dalam masa 2.4 saat – satu pecutan yang boleh mengakibatkan anda terlekat pada kerusi pemandu ataupun penumpang.

Bagi memberikan Veyron kuasa yang mampu memberikannya pecutan yang begitu tinggi ia dilengkapi dengan engin ‘quad-turbocharged W16 engine’ atau bersamaan dengan dua engin V8 yang membentuk W berbanding ‘V’ – ini menjadikan ia dilengkapi dengan 64 valves (injap) untuk melengkapi 16 pistonnya.

Quad-turbocharged engines
Engin Bugatti Veyron Super Sport.

Engin Veyron yang unik ini mampu menghasilkan 1200 HP (kuasa kuda) – iaitu 200 HP lebih berbanding model sebelumnya. Kadar penggunaan minyak secara purata adalah 24.9 liter/100 km. tetapi penggunaan minyaknya amat tinggi bagi pemanduan di kawasan bandar. Tambahan pula engin kereta ini tergolong dalam kumpulan ‘G’ bagi kategori ‘Engine Efficiency’.

Sebagai penyandang kereta terpantas dunia Bugatti Veyron juga menjadi antara kereta termahal dengan harga mencapai USD 2.4 juta. Begitu juga kesemua servis seperti penukaran tayar hanya boleh dilakukan di Perancis. Satu set tayar adalah berharga USD 25,000 manakala kos penukaran tayar akan menelan belanja USD 70,000. Oh, saya hanya akan menggunakan kereta ini jika tinggal di Perancis!

Termasuk antara model-model lain dalam rangkaian Bugatti adalah Veyron, Grand Sport, Super Sport dan Vitesse. Kesemua kereta yang dihasilkan adalah mengikut kehendak pelanggan seperti model yang dihasilkan khas untuk Hermes – Bugatti Veyron Fbg par Hermes.


Itulah serba sedikit mengenai kereta pujaan ramai atau lebih dikenali sebagai Bugatti Veyron. Apa yang penting selain daripada mengenali kereta terpantas ini kita juga mengetahui tentang teknologi yang mampu menghasilkan mesin sehebat Veyron. Mungkin selain daripada memiliki Veyron ada lagi perkara yang lebih penting untuk kita ketahui – teknologi mampu menghasilkan segalanya.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Penanaman Pokok Tanpa Menggunakan Tanah

LECA system
LECA - kaedah penanaman yang mudah - hanya pastikan paras air mencukupi.

Tanah merupakan medium penting untuk penanaman pokok dimana selain menyediakan sokongan kepada pokok ia juga mebolehkan akar pokok menjalar masuk ke dalam tanah untuk mendapatkan air. Kajian yang dilakukan oleh para saintis, petani dan orang ramai kini memahami, tanah bukanlah merupakan faktor utama yang membantu pokok untuk tumbuh dan berbuah. Jadi bagaimana kita boleh menanam pokok tanpa menggunakan tanah?

Ada beberapa perkara yang penting bagi tumbuhan untuk terus hidup dengan subur dan berbuah. Faktor-faktor inilah yang membolehkan tumbuhan untuk terus membesar antaranya:
  • Air – kelembapan, bahan untuk mengangkut zat makanan dalam pokok.
  • Cahaya – membolehkan tumbuhan menjalankan fotosintesis.
  • Zat makanan – (baja) membolehkan tumbuhan terus hidup subur.

Jadi tumbuhan boleh terus hidup tanpa sebarang masalah selagi ketiga-tiga perkara di atas dapat dibekalkan kepadanya. Maka, tanah bukanlah merupakan perkara yang menyediakan keperluan asas tetapi adalah sebagai sokongan. Inilah yang membolehkan tanaman ditanam walaupun tanpa ketiadaan tanah.

Teknologi tanaman yang dinamakan ‘hydroponics’ bukanlah satu perkara yang baru dan kaedah-kaedah terbaru terus dihasilkan bagi memastikan kita dapat menanam tumbuh-tumbuhan walau di mana sekalipun kita tinggal. Kaedah penanaman ‘hydroponics’ yang diperkenalkan dahulu memerlukan sistem yang mengandungi ‘pam air’ serta penyambungan paip yang mungkin mendatangkan sedikit kesukaran bagi mereka yang sibuk untuk mencuba.

Bamboo in water
Lucky Bamboo yang ditanam di dalam air dan batu.

Kaedah penanam ‘hydroponics’ hari ini menggunakan bahan gantian kepada tanah seperti;
  • Serat – serat kelapa, serat-serat lain
  • LECA – bebola tanah liat
  • Perlite – sejenis serpihan batuan

Ketiga-tiga bahan ini dapat menggantikan tanah kerana ia menyediakan ruang-ruang untuk air mengalir dengan bebas disamping menyediakan sokongan kepada akar tumbuhan untuk menjalar bagi menyerap air dan zat makanan yang terkandung di dalam air. Di sini terdapat bahan yang boleh diperolehi secara semulajadi seperti serat kelapa atau serat lain daripada tumbuh-tumbuhan apabila tumbuhan mati misalnya. 
Bahan ini dapat menyimpan lembapan yang cukup untuk tumbuhan disamping aliran udara juga amat baik.

Bahan lain seperti LECA dan perlite juga berasal dari sumber semulajadi namun telah melalui proses untuk memastikan ia berfungsi sebagai gantian kepada tanah tanpa mengalami perubahan seperti menjadi padat, bertukar bentuk dan bertukar sifat.

Coco peat
Penggunaan 'coco peat' dalam teknik tanaman tanpa tanah.

Kaedah penanaman ‘hydroponics’ ringkas hanyalah menggunakan bekas yang digunakan untuk mengisi medium tanaman dan kemudiannya air yang mengandungi zat makanan (baja) di isikan bagi memastikan akar tumbuhan mendapat air secukupnya. Cara ini lebih mudah kerana anda hanya perlu memastikan air berada pada paras yang sesuai. Tiada pam air ataupun pemasangan elektrik diperlukan.

Kesesuaian pokok yang ditanam juga boleh disesuaikan dengan kaedah tanaman yang anda gunakan. Pokok yang tidak begitu tinggi mungkin lebih mudah untuk ditanam manakala pokok yang tinggi mungkin memerlukan sedikit sokongan – kerana medium tanaman ini tidak sekuat tanah dalam menyokong pokok yang tumbuh di dalamnya. Jadi tanaman kecil seperti sawi, kobis, bawang, lobak, salad adalah antara yangg baik ditanam. Pokok yang memerlukan sokongan adalah seperti cili, tomato, kacang panjang, terung, timun dan pokok yang mempunyai ketinggian yang lebih.


Penanaman tumbuhan tanpa menggunakan tanah ini telah membolehkan kita menanam tumbuh-tumbuhan walaupun kita tinggal di rumah flat misalnya ataupun menanam sedikit pokok sebagai hiasan di dalam pejabat. Apa yang penting sebelu anda mencuba kaedah ini, anda perlulah mempelajari serba sedikit mengenai kaedah penanaman pokok dan perkara-perkara asas yang diperlukan untuk poko hidup dengan sihat dan subur. Apa yang penting, teruskan mencuba.


Free Download



Komputer PC Terkecil Pelbagai Kegunaan

CuBox-i mempunyai saiz yang amat kecil
CuBox-i mempunyai saiz yang amat kecil.

Memandangkan kemajuan teknologi hari ini boleh memuatkan sebuah komputer ke dalam peralatan kecil seperti telefon bimbit, timbul tanda tanya bagi saiz bagi PC terkecil yang boleh kita miliki. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PC terkecil mungkin kita boleh melihat CuBox-i sebagai contoh terbaik.

CuBox-i mempunyai saiz sebesar 2” X 2” X 2” yang mampu mengendalikan pelbagai sistem operasi (OS) mengikut keperluan anda. Ia merupakan peralatan asas untuk mengenali sistem pengoperasian komputer yang amat baik samada anda ingin mengetahui mengenai pembinaan komputer ataupun sistem pengoperasian atau software (perisian). Malah dengan saiz yang kecil ia mudah dibawa kemana-mana.




CuBox telah dibangunkan lebih awal iaitu pada tahun 2011 lagi dengan model asal CuBox. Melalui beberapa pembaharuan untuk memenuhi pelbagai kegunaan dan keperluan pengguna ia dimajukan dengan beberapa model terbaru dalam rangkaian CuBox-i. Dilengkapi dengan keupayaan pemproses yang mampu memberikan anda keupayaan grafik video full-HD (1080) untuk tontonan video atau sebagai ‘Home Media’.

Apa yang penting sekiranya anda ingin lebih mengenali komputer secara lebih dekat dan mencuba sistem-sistem pengoperasian yang lain seperti Linux, Phyton, Pearl, Android dan sebagainya, CuBox merupakan peralatan yang sesuai digunakan. Jadi anda juga boleh menggunakannya untuk berlatih membangunkan aplikasi atau perisian anda sendiri. Terdapat juga forum untuk komuniti yang menggunakan CuBox dalam membincangkan perkara-perkara yang berkaitan.

Untuk mengenali CuBox-i dengan lebih lanjut anda bolehlah melawati lawan webnya melalui link yang disediakan. Mungkin melalui pengenalan CuBox-i, anda boleh memulakan sesuatu yang baru dan kreatif di dalam dunia perkomputeran.


Free Download




Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...