Sunday, March 2, 2014

Jalan-jalan Ke Melaka, Kompleks Muzium Rakyat

Red Buildings Melaka
Antara kawasan yang menjadi tarikan utama Bandar Melaka.

Baru-baru ini dalam lawatan ke Melaka untuk menghadiri kursus yang di jalankan di UTC, Melaka, saya sempat untuk singgah di beberapa tempat menarik di Melaka untuk mengambil gambar dan mendapat gambaran sebenar tentang tempat menarik tersebut. Ini kerana sebelum ini kami pernah menyenaraikan beberapa muzium yang terdapat di Melaka untuk tatapan semua.

Walaupun sebelum ini saya pernah beberapa kali melawat ke Melaka di sekitar kawasan Bandar Hilir namun dalam pengenalan mengenai muzium-muzium di Melaka lebih banyak perkara yang dapat saya pelajari mengenai tempat-tempat menarik yang lain. Tujuan saya adalah untuk mendapatkan gambar yang menarik di sekitar Bangunan Merah, Muzium Samudera, A’Famosa dan juga Muzium Kesultanan Melaka (kerana di dalam lawatan sebelum ini saya tidak berpeluang untuk membuat tinjauan khusus).

Old buildings Melaka
Deretan bangunan lama di Melaka.

Walaupun saya tidak berapa mengenali Bandar Melaka dan keadaan jalan di sana yang agak mengelirukan saya terlebih dahulu membuat tinjauan melalui peta yang disediakan melalui ‘Maps’ yang terdapat di dalam sistem iPad sebagai persediaan awal. Melalui peta dapat saya pastikan kawasan menarik berada di sekitar ‘Bandar Hilir’ dan kursus yang perlu saya hadiri akan diadakan di sekitar Jalan Hang Tuah iaitu di Bangunan UTC.

Kawasan yang mula saya singgah di Melaka kali ini adalah sekitar Bangunan Merah yang juga menempatkan Muzium Belia, Bangunan Jam dan air pancur (tidak beroperasi pada hari tersebut). Kawasan sekitar pada pagi tersebut amat menarik, kerana ia tidak begitu sibuk (bukan hujung minggu). Deretan beca yang menunggu para pelancong menambahkan lagi suasana yang berbeza dari kawasan-kawasan yang lain. 

Manakala keadaan lalulintas yang tidak sibuk membolehkan kerja saya untuk mengambil gambar lebih mudah. Saya bagaimanapun mengambil kesempatan untuk berjalan di sekitar kawasan tersebut untuk melihat dengan lebih lanjut bangunan-bangunan lama terebut. Memang ia satu kawasan yang menarik dan berbeza dari kawasan-kawasan yang lain.

Setelah melihat kawasan sekitar deretan bangunan lama, saya cuba untuk mendapatkan sudut untuk mendapatkan gambar yang lebih sesuai. Saya menuju ke arah Bangunan Penerangan Pelancongan kerana dari sana saya dapat melihat keseluruhan kawasan dengan lebih jelas. Keseluruhan Bangunan utama, menara jam dan dataran di mana pelawat singgah dapat dilihat dengan jelas. Lorong lalaun bangunan lama juga dapat dilihat dari sini. Jadi saya cuba merakamkan keunikan Panorama Bandar Melaka yang pertama di sini. Setelah membuat sedikit tinjauan di sekitar kawasan ini saya pun mengambil keputusan untuk terus ke destinasi seterusnya.

Kurang lima minit adalah destinasi lawatan berikutnya iaitu Muzium Samudera. Muzium unik yang berbentuk kapal lama ini telah lama dibina dan telahpun saya lawati sebelum ini. Tujuan saya kali ini adalah untuk mendapatkan gambar yang unik untuk muzium ini. Jadi saya hanya meluangkan masa berada di kawasan berhadapan muzium tersebut yang juga menempatkan deretan kedai-kedai cenderahati dan sebagainya. Jelas kelihatan bangunan muzium ini kelihatan agak lama dan tiada pembaharuan yang ketara dilakukan pada bangunan ataupun di sekitar muzium ini. Bersebelahannya pula adalah Muzium Kastam, Muzium Tentera Laut dan Menara Taming Sari.

Tempat-tempat lawatan yang lain juga berada di sekitar kawasan ini. Jadi adalah lebih mudah sekiranya saya terus berjalan berbanding mencari kawasan sesuai yang lain untuk meletakkan kenderaan. Perjalanan di sekitar Dataran Pahlawan tidak terasa memenatkan kerana ia dipenuhi dengan pohonan rimbun disamping banyak bahan yang dipamerkan untuk tontonan sepanjang perjalanan. Walaupun cuaca yang agak panas, taman ini dijaga dengan baik dimana rumput dan pokok-pokok yang ditanam kelihatan hijau dan segar. Saya kemudiannya berhenti di hadapan Kompleks Muzium Rakyat. Mungkin ini adalah peluang terbaik untuk saya singgah memandangkan saya belum pernah lagi melihat bahan yang dipamerkan di sini.

Walaupun saya tidak mengjangkakan apa-apa yang menarik dari Muzium ini tetapi mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh dipelajari di sini. Tedapat tiga aras yang menempatkan bahan pameran. Memang terdapat bahan menarik yang terdapat di muzium ini. Walaubagaimanapun ia tidak dipamerkan dengan penuh minat – terdapat ruang-ruang yang tidak digunakan dan ruang tingkap yang mengganggu fokus bahan yang dipamerkan. Sebagai seorang ‘photographer’ adalah sukar untuk saya mendapatkan gambar yang terbaik untuk ruangan pameran seperti ini. Walaupun harga tiket tidak begitu membebankan pengunjung, tetapi peluang untuk mempamerkan bahan dengan lebih menarik telah dipersiakan. Mungkin anda memahami apa yang saya perkatakan sebaik sahaja anda melihat tiket masuk ke muzium ini (perhatikan tiket tersebut dengan baik!)

Lawatan ringkas saya tidak dapat memerhatikan setiap perkara yang dipamerkan dengan terperinci. Saya masih ingin melawat ke Muzium Kesultanan Melaka. Bangunan istana lama tersebut amat unik dan saya tidak berpeluang melawatnya sebelum ini. Ia memang merupakan sebuah bangunan yang cantik. Berbeza dengan bangunan istana-istana lama yang lain. Semasa melangkah masuk ke perkarangan muzium tersebut apa yang menjadi tanda tanya pada saya adalah – bagaimana saya ingin mengambil gambar penuh istana ini nanti (kerana ruangan hadapan yang begitu kecil).

Muzium Kesultanan Melaka
Muzium Kesultanan Melaka yang unik.

Berada di dalam istana lama terebut memang satu pengalaman yang agak menarik. Ini kerana ia dibina sepenuhnya daripada kayu dan dipenuhi dengan ukiran yang unik. Terdapat juga bahan pameran yang memenuhi ruang dalaman istana tersebut yang sedikit sebanyak menambahkan lagi perkara yang perlu diketahui. Ruang istana juga agak besar berbanding dengan istana-istana lain di Malaysia (istana lama). Terdapat juga ruang-ruang kecil dan ruang atas disamping ruang utama atau lebih dikenali sebagai ‘Balai Mengadap’.

Dalaman Muzium Kesultanan Melaka
Dalaman Muzium Kesultanan Melaka.

Sebelum saya meninggalkan perkarangan istana tersebut saya cuba juga untuk mendapatkan gambar penuh ‘Muzium Kesultanan Melaka’. Mungkin tidak secantik yang saya harapkan, tetapi cukup sebagai kenangan lawatan. Sebelum beredar saya juga perlu mengabadikan gambar lawatan ke perkarangan tinggalan sejarah Kota A’Famosa satu lagi ikon menarik Bandar Melaka. Saya perlu beredar segera kerana, Bangunan UTC di Jalan Hang Tuah, saya tidak pasti bagaimana hendak ke sana.

A'Famosa tinggalan lama yang paling popular di Melaka
A'Famosa tinggalan lama yang paling popular di Melaka.

Memang unik sekali Melaka, Bandar Bersejarah ini, lebih menarik sekiranya bahan-bahan yang disajikan kepada pengunjung dapat dipamerkan dengan baik. Ya, mungkin tidak semua. Tetapi sebahagiannya perlu diperbaiki, dipelihara dan dipamerkan dengan penuh minat beserta penghargaan terhadap nilai sejarah bahan tersebut. Bagi yang diberikan tanggungjawab dan juga yang mendukung perlaksaan kerja-kerja tersebut diharap dapat melakukan yang lebih baik untuk masa-masa akan datang. Saya pasti akan datang lagi membuat kunjungan dan membuat tinjauan dari kacamata saya sendiri – begitu juga dengan yang lain.


Masa untuk ke program seterusnya. Ke bangunan UTC dan pulang semula ke Negeri Sembilan.

Artikel Oleh: Ibbyphotography

Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...