Sabtu, 29 Mac 2014

Sayuran Di Pinggir Halaman


Ikan puyu
Ikan puyu dahulu mudah dipancing di tali-tali air tepian sawah.

Adakalanya saya ditanya apakah keistimewaan tinggal di kampung? Sebelum menjawab soalan tersebut saya juga akan bertanya apakah keistimewaan tinggal di bandar? Ya, masing-masing mempunyai sebab tersendiri untuk samada tinggal di kampung ataupun di bandar. Mungkin ada keperluan yang menyebabkan seseorang perlu tinggal di bandar seperti pekerjaan, pendidikan, tempat tinggal dan sebagainya. Namun begitu, kampung halaman tetap merupakan tempat yang menyediakan seribu satu keistimewaan yang sentiasa tersedia untuk anda gunakan.

Masyarakat dahulu dan bagi mereka yang tinggal di kampung, sentiasa disediakan dengan sumber tanpa batasan. Dari sumber inilah penduduk di kampung memperolehi pendapatan mereka. Tetapi oleh kerana setiap usaha dilakukan hanya sebagai menampung keperluan keluarga maka sumber ini sentiasa kekal kerana ia digunakan dalam jumlah yang mampu digantikan semula oleh alam/hutan dalam masa yang singkat.

Mungkin anda tidak menyangka di kampung sayur-sayuran sentiasa tersedia untuk dipetik dan dimasak dengan percuma. Jadi apa yang perlu anda keluarkan adalah sedikit masa dan usaha untuk memetik sayur-sayuran ini. Sesetengahnya mungkin bermusim seperti buah-buahan dimana ia boleh juga dijual untuk menambah hasil pendapatan. Apa yang penting tumbuh-tumbuhan ini tumbuh dengan sendirinya di hutan dan kawasan di sekitar kampung.


jantung pisang hutan
Jantung dan daun pisang hutan selalu digunakan masyarakat Melayu.

Sayur-sayuran seperti pucuk paku, kangkung air, keladi, pucuk pegaga, ubi kayu, rebung, kundur dan labu adakalanya tumbuh meliar tanpa ada yang menghiraukannya. Mungking tidak ramai yang perasan beberapa tumbuhan yang boleh dijadikan makanan sehinggalah ianya dijumpai di pasar (mungkin anda tidak perasan pula dari mana ia dipetik). Saya yang membesar di kawasan kampung juga tidak dapat memastikan dengan tepat kesemua tumbuhan-tumbuhan yang boleh dijadikan sayuran ini sehinggalah ianya dipetik.

kangkung air
Kangkung air jauh lebih sedap berbanding kangkung darat.

Manakala di pinggir-pinggir kampung pula hasil hutan adakalanya boleh diperolehi yang terdiri daripada buah-buahan dan dedaunan yang boleh dimakan seperti jantung pisang hutan, pucuk cemperai, embut nibung, buah kelubi, petai, kerdas, buah tampoi dan macam-macam lagi. Oleh kerana banyak sekali bahan-bahan ini adakalanya kita terlepas pandang atau mungkin ada yang tidak menghiraukannya - mungkin disebabkan masa, kaedah untuk mendapatkannya adalah sukar seperti embut nibung dan buah petai.

Tidak lupa juga hasil yang boleh diperolehi daripada sungai seperti ikan, siput dan kijing (panggilan untuk sejenis hidupan air tawar seperti kepah). Apa yang membezakannya adalah kaedah dalam mendapatkan hasil ini samada menggunakan pancing, jala, jaring, lukah & bubu atau yang dipelihara di dalam kolam. Bagi siput dan kijing tentu anda perlu mengutipnya di gigi air di pinggiran sungai dan tali air.

siput sedut
Siput belitung adalah siput paya bakau, namun terdapat juga siput sungai yang boleh dimakan.

Begitulah kemudahan yang tersedia di sekeliling kawasan kampung. Sumber ini tetap tersedia selagi ianya tidak dicerobohi dengan aktiviti-aktiviti penebangan hutan dan pembuangan sampah yang merosakkan kualiti air sungai. Penebangan hutan menyebabkan lumpur masuk ke dalam sungai dan merosakkan habitat hidupan air. Sungai juga menjadi cetek serta kawasan tadahan hujan hilang menyebabkan air cepat kering apabila musim kemarau. Bukan itu sahaja hidupan air yang tinggal di dalam air tercemar ini juga boleh mendatangkan bahaya apabila dimakan (sekiranya pencemaran berlaku dengan serius).


petai
Petai masih lagi diminati sehingga hari ini.

Jadi hasil hutan dan tumbuh-tumbuhan yang hidup di persekitaran kampung adalah secara asalnya bebas pencemaran atau juga dipanggil 'organic'. Ia bukan sahaja bebas bahan kimia malah tumbuh di kawasan yang benar-benar membolehkannya untuk hidup dengan subur - melalui proses penyebaran benih semulajadi. Tumbuhan yang kurang subur biasanya akan mati atau tidak mencapai kematangan (kesan daripada proses 'survival' secara semulajadi).

Tujuan saya membuat pendedahan ini adalah untuk kita sama-sama menghargai fungsi alam sekitar yang sepatutnya kita dapat memeliharanya bersama. Mungkin dengan ini kita menyedari setiap hidupan memainkan peranan masing-masing kepada alam. Kita boleh menyumbang kepada alam dengan sekecil sumbangan samada dengan menanam pokok atau dengan tidak membuang sampah merata-rata. Apapun lakukan sedikit sumbangan kita sebagai tanda 'Terima Kasih'.




Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog