Jumaat, 25 April 2014

Cara Membasuh Tangan Dengan Betul Dan Mengelakkan Jangkitan

sakit perut
Sakit perut boleh mengganggu perjalanan hari anda, atau anak anda di sekolah.

Membasuh tangan adalah perkara paling penting di dalam penjagaan kebersihan apatah lagi sekiranya anda akan menyentuh makanan atau menyediakan makanan. Membasuh tangan perlu dilakukan dengan sempurna bagi mengelakkan bakteria merebak pada makanan yamg disentuh. Samada makanan masih mentah atau telah siap dimasak, bakteria akan mula membiak sebaik sahaja hinggap kepada bahan makanan seterusnya menyebabkan keracunan makanan.

Tangan merupakan bahagian anggota badan paling penting untuk menjalankan tugas-tugas seharian di mana kita akan menyentuh pelbagai benda yang telah dihinggapi bakteria. Semasa bersentuhan inilah bakteria dipindahkan dari seorang individu kepada individu yang lain. Kebiasaannya benda yang kerap disentuh seperti tombol pintu, butang lift, susur tangga, pemegang troli dan segala benda yang disentuh oleh ramai individu menjadi punca utama bakteria dapat merebak.

cara mencuci tangan
Cara mencuci tangan dengan betul perlu diamalkan.

Dalam kes keracunan makanan, bakteria dipindahkan daripada individu yang menyentuh bakteria dan memindahkannya kepada makanan yang disentuh tadi. Bakteria yang kini berada pada makanan akan membiak dan menghasilkan toksin yang menjadi punca kepada keracunan makanan. Apa yang membantu bakteria membiak dengan pantas adalah punca makanan, suhu dan kelembapan. Bakteria akan merebak pada suhu bilik dengan pantas. Oleh sebab itu makanan perlu sentiasa dalam keadaan sejuk atau panas untuk mengelakkan bakteria membiak.

Wabak penyakit yang melanda negara-negara membangun boleh dikurangkan sekiranya tahap kebersihan dapat dipertingkatkan dan ini bermula dengan tabiat mencuci tangan dengan betul samada semasa proses penyediaan makanan atau sebelum menyentuh makanan. Ini kerana bakteria lebih kuat apabila berada di dalam perumah yang menyediakan keadaan yang sesuai untuk ia merebak dengan cepat. Keadaan akan bertambah buruk sekiranya rawatan tidak dapat diberikan dengan cepat. Toksin yang dihasilkan oleh bakteria bukan sahaja dapat membunuh bakteria-bakteria lain malah boleh membawa maut kepada perumah sendiri.

Bakteria salmonella
Bakteria salmonella merupakan antara punca keracunan makanan.

Kaedah mencuci tangan yang betul bukan sahaja dapat mengurangkan bakteria malah membunuhnya sekali. Cucian tangan yang sempurna adalah dalam masa 15 saat - oleh sebab itu digalakkan kita mencuci tangan selama 30 saat menggunakan sabun dengan menyempurnakan cucian untuk semua bahagian tangan (tapak tangan, bahagian belakang tangan, jari-jemari serta kuku). Cucian tangan menggunakan sabun biasa dengan kaedah ini juga berkesan untuk membunuh kuman yang terdapat pada permukaan kulit tangan.

Anda juga perlu mengulangi proses mencuci tangan setelah menyentuh bahan-bahan yang berbeza contohnya setelah menyentuh bahan mentah (daging, ikan, sayur dan sebagainya) sebelum menyentuh bahan yang sudah dimasak. Ini kerana bahan mentah mungkin mengandungi bakteria yang tidak aktif dan boleh berpindah kepada bahan yang telah dimasak tadi. Malah bahan mentah dikatakan sumber utama bakteria di dapur.

sabun
Sebarang sabun boleh digunakan untuk mencuci tangan dan membunuh bakteria dengan berkesan. 
Perhatikan juga peralatan yang anda gunakan semasa proses memasak dan untuk menikmati hidangan. Peralatan seperti pisau, senduk, sudu dan garfu juga perlu menjalani proses pembersihan yang sama. Jangan gunakan pisau yang digunakan untuk memotong daging terus digunakan untuk memotong buah-buahan atau kek walaupun pisau tersebut kelihatan kering dan bersih. Sudu dan garfu pula perlu dicuci dan kering sebelum digunakan. Sebaiknya setelah dicuci rendamlah sudu-sudu dan garfu ini di dalam air panas selama 30 saat.

Ruang kerja-kerja di dapur juga perlu dipastikan sentiasa bersih dan keadaan lantai dapur juga sentiasa kering. Meja kerja serta sinki boleh dinyahkuman dengan menggunakan cecair peluntur seperti clorox setelah setiap kali selesai melakukan tugas-tugas memasak. Lantai juga boleh dicuci dan dikeringkan dengan sempurna bagi mengelakkan bakteria membiak serta terus kekal berada di dapur anda.

Akhir sekali simpan bahan-bahan makanan dengan selamat sesuai mengikut keperluan simpanan bahan makanan tersebut. Simpanlah bahan makanan mentah seperti ikan dan daging di tempat simpanan beku sehingga ia digunakan untuk memasak. Simpan pula bahan-bahan seperti sayuran dan makanan di dalam tin di dalam ruangan dingin sehingga untuk digunakan. Elakkan bahan ini dikeluarkan terlalu lama. Ambil apabila diperlukan dan simpan semula secepat mungkin - elakkan suhunya naik bagi mengelakkan bakteria aktif dan membiak.

Bagi makanan yang telah dimasak pula kekalkan suhunya dalam keadaan yang panas semasa dihidang. Manakala bahan-bahan yang sejuk seperti ice-cream dan kek tetap sejuk semasa dihidangkan. Perkara ini amat mudah jika anda sentiasa mempraktikkan amalan kebersihan dengan betul. Pertama pastikan tangan sentiasa bersih sebelum menyentuh bahan makanan. Kedua, elakkan makan makanan yang terdedah.

Adalah diharap artikel kali ini dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan dengan lebih baik. Semoga amalan kebersihan tersebut dapat dicontohi oleh anak-anak kita sehingga mereka dewasa. Kesihatan merupakan factor utama kecemerlangan mereka di sekolah. Terima kasih.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog