Khamis, 10 April 2014

Jalan-jalan ke Kedah, Langkawi Pulau Lagenda

Dataran Helang
Mercu tanda Langkawi di Pekan Kuah.

Pulau Langkawi atau juga sinonim dengan gelaran Pulau Lagenda merupakan antara destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Setiap hari pulau ini sentiasa dibanjiri oleh pelancong dari dalam dan luar negara untuk menjelajah keistimewaan pulau yang menyimpan 1001 keajaiban ini.

Pulau Langkawi yang terletak di Utara Malaysia menyediakan kemudahan pengangkutan yang dapat memudahkan para pelancong datang ke sini samada dengan perkhidmatan feri, bot dan juga pengangkutan udara. Kemudahan yang terdapat di pulau ini juga memudahkan para pengunjung bagi sebarang keperluan semasa di sini. Pulau Langkawi juga merupakan destinasi perbelanjaan bebas cukai di Malaysia. Jadi sekiranya anda berhasrat untuk berbelanja leih semasa berada di sini, ia merupakan antara pilihan yang tepat.

Perkhidmatan Feri

Jeti Kuah, Langkawi
Jeti Kuah dengan feri-feri pembawa penumpang.

Bagi yang memilih untuk menaiki feri, perkhidmatan feri disediakan daripada Kuala Kedah bagi setiap jam dari jam 7:00 pagi hingga ke 6:00 petang. Perjalanan dari Kuala Kedah akan mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Perkhidmatan feri juga disediakan daripada jeti Kuala Perlis dan Satun, Thailand dengan perjalanan yang akan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Perkhidmatan Udara


Perkhidmatan udara juga disediakan di sini. Penerbangan dari Kuala Lumpur dari syarikat-syarikat penerbangan Malaysian Airlines dan juga Air Asia boleh digunakan dengan mudah. Penerbangan turut disediakan daripada Pulau Pinang dan Singapore. Perjalanan udara dari KLIA akan mengambil masa kira-kira 45 minit. Jadi anda akan mempunyai masa yang lebih untuk berehat dan mejelajahi pulau ini nanti.

Pengangkutan di Langkawi


Semasa berada di Langkawi anda boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang disediakan antaranya bas, teksi, kereta sewa dan juga motorsikal. Perkhidmatan ini boleh ditempah awal atau sebaik sahaja anda menjejakkan kaki ke Pulau ini. Jadi tidak ada apa yang perlu di risaukan sekiranya anda ingin melawat ke serata pulau peranginan ini nanti.

Tempat-tempat Menarik


Dataran Helang – merupakan mercu tanda Langkawi yang dikatakan berasal dari sebutan ‘Helang’ atau ‘Lang’ dan ‘kawi’ bermaksud merah. Mercu tanda ini berukuran 12 meter tinggi menghadap ke arah laut di mana feri-feri yang menuju ke Langkawi akan berlabuh bersebelahan dengan pelabuhan feri di pekan Kuah. Di pelabuhan ini juga anda akan mendapat kemudahan-kemudahan asas lain semasa berada di Langkawi.

Kampung Kristal – terletak di Pulau Rebak dan diusahakan oleh syarikat Langkawi Crystal Sdn. Bhd. Merupakan syarikat pengeluar barangan Kristal yang terulung di Malaysia. Selain daripada untuk pasaran Malaysia ia juga turut mendapat pasaran luar yang menggalakkan terutama China dan Eropah. Selain daripada melihat proses penghasilan Kristal di sini anda juga mungkin berpeluang untuk membawa pulang cenderahati sebagai kenangan atau hadiah.


Gunung Mat Chincang
Keindahan puncak Gunung Mat Chincang.

Gunung Mat Chincang – gunung Mat Chincang merupakan kawasan pergunungan yang mencapai ketinggian sehingga 713 meter (2,339 kaki) dari paras laut. Selain daripada kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna ia juga menyediakan kemudahan kereta kabel bagi memudahkan pengunjung mengunjungi puncak Gunung Mat Chincang. Dari puncak gunung ini anda akan berpeluang untuk melihat pemandangan sekitar Pulau Langkawi yang indah.

Pekan Kuah – pekan yang dinamakan sempena kejadian ‘kuah’ yang tertumpah di kawasan ini. Peristiwa pergaduhan antara Mat Chincang dengan Mat Raya ini telah memberikan nama gelaran setiap lokasi di Langkawi. Ia merupakan lagenda lama yang menjadikan Pulau Langkawi mempunyai keunikan tersendiri.

Selain itu Pekan Kuah merupakan kawasan Bandar di Langkawi yang membolehkan para pelancong mendapatkan segala kemudahan. Sebagai sebuah destinasi pelancongan yang ternama ia dilengkapi dari kemudahan asas seperti penginapan sehinggalah kemudahan membeli belah yang setaraf dengan Bandar-bandar utama yang lain.


Langkawi Westin
Kemudahan percutian yang lengkap di Langkawi.

Pulau Dayang Bunting – merupakan pulau terbesar selepas Langkawi di dalam gugusan kepulauan tersebut. Terletak kira-kira 17.6 km dari pekan Kuah dan mengambil masa sekitar 15 minit perjalanan daripada jeti pekan Kuah. Kadar sewaan bot ke Pulau Dayang Bunting adalah RM45.00 seorang. Apa yang menarik di pulau ini terdapat tasik air tawar yang dikelilingi oleh laut dengan air masin.

Makam Mahsuri – merupakan tempat di mana Mahsuri Binti Pandak Maya dimakamkan. Kisah lagenda mahsuri merupakan antara lagenda tersohor di pulau ini. Makam Mahsuri juga terletak di mana lokasi Rumah Mahsuri dan Telaga Mahsuri di tempatkan yang dikatakan merupakan tempat asal kediaman wanita tersebut. Kisah Mahsuri boleh di baca dengan lebih lanjut melalui pautan ini: Lagenda Mahsuri.

Telaga Air Hangat – terletak kira-kira 14 km daripada pekan kuah komplek ini juga dikenali sebagai ‘Air Hangat Village’ yang juga menyediakan kemudahan-kemudahan lain untuk para pengunjung. Bagi meraikan para pengunjung beberapa bahan pameran lain turut disediakan termasuk tarian kebudayaan dan permainan tradisi.


Langkawi
Langkawi dengan keindahan semulajadi.

Beras Terbakar – bagi yang ingin mengetahui kisah silam Pulau Lagenda ini bolehlah melawat ke lokasi ‘Beras Terbakar’ semasa peristiwa Datuk Kerma Wijaya dikalahkan olen tentera-tentera dari Siam. Kisah ini boleh diikuti dengan lebih lanjut daripada kisah Mahsuri di atas. Jadi untuk memastikan anda benar-benar mendapat pendedahan yang lebih lengkap mengenai kisah-kisah ini maka pastikan lawatan anda nanti turut ke lokasi ‘Beras Terbakar’.

Underwater World – selain daripada bahan berunsur lagenda dan tempat-tempat bersejarah Langkawi juga turut menyediakan bahan pameran yang moden seperti ‘Underwater World’ ini. Ia merupakan pusat pameran marin seperti juga ‘Aquaria KLCC’ dan mula dibuka sejak 26 Ogos, 1995 lagi. Turut dilengkapi dengan terowong gergasi 15 meter melalui aquarium dengan kapasiti 500,000 liter air laut. Dibuka daripada jam 10:00 pagi sehingga 6:00 petang dengan bayaran: Dewasa, RM30.00 dan Kanak-kanak, RM28.00


Pantai Chenang, Langkawi
Keindahan pantai di Langkawi.

Perkampungan Buku – perkampungan buku menyediakan pelbagai buku daripada pelbagai bahasa terdiri daripada buku-buku yang baru dan lama. Malah terdapat juga buku-buku terpakai untuk dikongsi bersama dengan peminat-peminat buku. Terletak kira-kira 10 minit daripada lapangan terbang Langkawi dan kira-kira 15 minit daripada pekan Kuah. Sekiranya anda peminat buku pastikan anda tidak ketinggalan melawat lokasi ini nanti. Dibuka daripada  jam 9:30 pagi hingga 5:30 petang dan masuk adalah percuma.

Kereta Kabel Langkawi – perkhidmatan Kereta Kabel Langkawi jugak terletak di kawasan Pergunungan Mat Chincang yang terkenal dengan keunikan flora dan faunanya. Perjalanan yang merangkumi jarak 2.2 km menuju ke puncak gunung yang mencapai ketinggian 708 meter dengan sudut mencapai 42 darjah. Sekiranya anda tidak berani – mungkin ada baiknya anda tidak menaikinya. Berada di atas puncak Gunung Mat Chincang banyak lagi kemudahan disediakan untuk anda menikmati keindahan pemandangan keseluruhan Pulau Langkawi.

Pantai Pasir Hitam – Pantai Pasir Hitam merupakan satu lagi lokasi yang menyimpan pelbagai misteri di pulau lagenda ini. Ia merupakan tinggalan daripada pergaduhan di antara Burung Garuda dan juga Jentayu. Ia juga dikenali sebagai pantai tengkorak kerana terdapat tinggalan tulang atau serpihan kapal dibawa ke pantai. Ia juga dikatakan tinggalan kapal yang tenggelam di perairan utara kepulauan ini yang juga menempatkan pusaran air. Misteri dan menarik!

Jadi banyak lagi perkara yang perlu anda ketahui dan mungkin anda akan mengetahuinya dengan lebih lanjut apabila melawat ke pulau peranginan popular ini nanti. Selain daripada lagenda, misteri dan keindahan pulau ini mungkin adakalanya apa yang anda perlukan di sini adalah tempat yang aman untuk berehat.

Anda juga boleh mendapatkan brochure pelancongan Langkawi di sini: Download

Peta Langkawi: Download



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog