Isnin, 14 April 2014

Keunikan Bunga Terbesar Di Dunia

Bunga Rafflesia boleh mencapai saiz sehingga 1 meter.

Bunga terbesar di dunia mungkin tidak akan menjadi hiasan di halaman anda kerana ianya bukanlah dari jenis yang sesuai di tanam di halaman. Namun begitu keunikan bunga ini jauh berbeza dari bunga-bungaan yang lain dan mempunyai fungsi tersendiri dalam mengawal keseimbangan alam.

Terdapat 2 jenis bunga yang mencapai saiz yang jauh besar berbanding bunga-bunga yang lain. Selain daripada saiz bunganya yang besar itu, ia juga mempunyai ciri-ciri yang berbeza daripada tumbuhan-tumbuhan yang lain;

Rafflesia


Rafflesia adalah tumbuhan yang tumbuh di kawasan hutan hujan Khatulistiwa termasuk Borneo, Sumatra, Thailand dan Philipina. Terdapat juga spesis rafflesia yang hidup di kawasan hutan hujan di Semenanjung Malaysia seperti di Hutan Simpan Belum, Perak. Perbezaan yang paling ketara untuk Rafflesia ini adalah ianya tidak mempunyai batang ataupun daun. Ia merupakan tumbuhan parasit yang hidup di atas tumbuhan yang lain. Malah ia mempunyai ciri-ciri yang lebih mirip kepada kulat atau cendawan.

Saiz Rafflesia boleh menjangkau sehingga 1 meter (3 kaki) lebar dengan berat sehingga 10 kg (22 lb.). Disamping itu juga Rafflesia mengeluarkan bau yang kurang enak seperti daging busuk untuk menarik perhatian serangga-serangga di dalam hutan untuk membantu proses pendebungaan bunganya. Ini kerana Rafflesia juga mempunyai bunga jantan dan bunga betina.


Bunga Rafflesia tumbuh di atas tumbuhan lain.

Dari dekat bahagian tengah bunga Rafflesia.

Bunga Bangkai


Bunga bangkai mempunyai saiz yang menakjubkan.

Berbeza dengan Rafflesia, Bunga Bangkai (Amorphophallus titanum) lebih menyerupai bunga dari tumbuhan-tumbuhan yang lain kerana terdapat tumbuhan dari spesis yang sama di tanam sebagai hiasan di rumah-rumah. Namun begitu ia tidak sesuai sebagai tanaman hiasan kerana turut menghasilkan bau yang kurang enak seperti daging busuk – sebab itulah ianya dinamakan ‘Bunga Bangkai’ di kawasan asal mereka iaitu Sumatra.

Struktur bunganya yang menegak boleh mencapai sehingga 2.73 meter (8 kaki 11 inci) seperti sample yang dibesarkan di University of Bonn, Germany. Oleh kerana pokok ini sangat berbeza dari pokok-pokok yang lain ia banyak dibesarkan di taman-taman botani dan pengumpul tumbuhan dari seluruh dunia.


Bunga yang menjadi koleksi taman-taman botani di Eropah!

Bunga bangkai sentiasa mendapat perhatian para peminat tumbuhan.

Seperti juga bunga Rafflesia ia juga mempunyai bunga jantan dan bunga betina. Malah bunga betina akan hanya boleh didebungakan dalam masa 1 malam sahaja. Maka dengan itu ia perlu berjaya menarik perhatian serangga untuk memastikan proses pendebungaan dapat berjalan dalam masa yang ditentukan.

Itulah serba sedikit tentang dua bunga terbesar di dunia. Mungkin ia tidak akan menjadi hiasan di halaman rumah anda, tetapi ia tetap memainkan fungsi di dalam alam semulajadi dalam mengawal keseimbangannya. Malah ia mungkin mempunyai fungsi yang lain seperti perubatan. Terima kasih kerana membaca.

Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog