Thursday, April 17, 2014

Sudahkah Anda Bersedia Untuk Samsung Galaxy S5

Samsung Galaxy S5
Samsung Galaxy S5 dengan skrin 5.1" Ultra HD Super AMOLED.

Samsung Galaxy S5 kini telahpun berada di pasaran dengan sistem pengoperasian Android Kit Kat 4.4. Seperti yang kita telah ketahui Galaxy S4 padat dengan pelbagai ciri-ciri yang kurang digunakan oleh pengguna dan ini mengubah Galaxy S5 untuk lebih menitik beratkan fungsi yang diperlukan berbanding dengan fungsi-fungsi seperti yang dimuatkan di dalam S4.

Seperti yang kita ketahui beberapa telefon baru yang turut muncul di pasaran baru-baru ini adalah HTC One M8, Sony Xperia Z manakala Apple masih lagi kekal dengan iPhone 5S. Sekiranya jenama tidak menjadi masalah bagi saya mungkin perbezaan mudah bagi telefon Android lebih sinonim kepada Samsung manakala Apple pula adalah iPhone.

Berbalik kepada Samsung S5 yang kini telah berada di pasaran menampilkan beberapa ciri-ciri penting yang kita tunggu-tunggu untuk mengetahuinya lebih lanjut. Seperti yang kita semua maklum bagi pengguna biasa telefon Android, ciri-ciri kamera adalah yang paling penting bagi memudahkan mereka untuk membuat perkongsian status di laman-laman social seperti Facebook dengan ‘selfie’ terbaru mungkin. Antara ciri-ciri tersebut adalah;

Kamera:

Fungsi Kamera Samsung S5
Fungsi kamera pada Samsung S5 diberikan keutamaan.

Kamera pada Galaxy S5 telah di upgrade kepada 16 MP berbanding 13 MP pada S4. Ini ditambah lagi beberapa ciri-ciri menarik untuk memudahkan para pengguna mendapatkan gambar yang lebih baik melalui telefon mereka. Walaupun begitu adakalanya ramai pengguna yang tidak tahu menggunakan ‘setting’ untuk kamera mereka dan gambar yang diambil tidak memenuhi keupayaan sebenar telefon yang digunakan.

Berbalik kepada fungsi kamera, antara kelebihan yang turut dimuatkan dalam fungsi kamera adalah ‘HDR’. HDR atau HighDynamic Range boleh memberikan anda gambar yang lebih jelas. Selain itu juga dengan keupayaan S5 untuk mengambil gambar dengan lebih pantas juga membolehkan kualiti HDR yang dihasilkan lebih baik. Jika sebelum ini gambar HDR perlu diambil menggunakan apps seperti Camera 360 ataupun HDR, kini ia adalah fungsi yang disertakan terus bersama S5.

‘Fast Auto Focus’ pula membolehkan anda mendapatkan gambar yang lebih jelas walaupun untuk objek yang bergerak. Bagi telefon bimbit fungsi ini amat penting kerana adalah sukar untuk mendapatkan fokus yang tepat kerana pergerakan tangan semasa memegang telefon tersebut. Apatah lagi sekiranya objek yang cuba diambil juga sedang bergerak. Ia sememangnya kelebihan yang dinanti-nantikan oleh pengguna.

‘Selective Focus’ pula membolehkan anda menghasilkan gambar seakan-akan menggunakan kanta ‘macro’. Iaitu mengasingkan objek yang difokus daripada latarbelakang. Kaedah seperti ini juga memerlukan kemahiran bagi pengguna-pengguna kamera dslr biasa. Maka dengan itu, para pengguna S5 berpeluang untuk menghasilkan gambar yang menarik dengan lebih mudah.

Walaupun kamera telefon tidak mungkin dapat menghasilkan gambar sebaik kamera dslr biasa, namun sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan para pengguna untuk mendapatkan gambar yang lebih menarik.

Penggunaan Bateri:

Bagi membolehkan anda menjimatkan penggunaan kuasa bateri apabila tidak dapat mengecas telefon anda, apa yang perlu dilakukan adalah mengaktifkan mode ‘Ultra Power Saving Mode’ yang akan menukarkan telefon anda kepada skrin hitam putih dan mampu bertahan selama 24 jam (stanby mode) untuk kegunaan kecemasan dan sebagainya.

Kalis Air:

Samsung S5 kalis air
Kalis air merupakan keistimewaan pada S5.

Galaxy S5 juga diiktiraf dengan pensijilan untuk IP67 iaitu tidak dimasuki habuk dan air. Ia mampu bertahan sekiranya terjatuh ke dalam air pada kedalaman 3 kaki selama 30 minit. Ya, tiada yang mahu telefon kesayangan mereka jatuh ke dalam air. Namun begitu sekurang-kurangnya ini akan mengurangkan kerisauan anda apabila terpaksa meredah hujan atau melakukan aktiviti di tepi kolam mandi.

Kegunaan Kesihatan:

Bagi yang suka bersukan mungkin berminat dengan ciri baru ini iaitu pengesan degupan jantung. Melalui ‘Heart Rate Sensor’ yang berada di belakang telefon S5 anda boleh mengukur kadar degupan jangtung dengan mudah samada sebelum ataupun selepas aktiviti bersenam anda. Manakala ‘S Health’ pula mengesan pergerakan anda seperti jarak berjoging, berbasikal, berjalan dan kelajuan anda. Ia memudahkan anda untuk membuat pengukuran setiap aktiviti yang dijalankan seterusnya untuk anda memastikan sendiri tahap aktiviti yang telah anda jalankan.

Ia juga boleh dipadankan dengan Samsung Gear – alat seperti jam tangan yang boleh dipakai di pergelangan tangan anda. Selain daripada mengesan aktiviti bersukan anda ia juga boleh memaparkan panggilan telefon dan maklumat-maklumat penting. Mungkin ia hanyalah sekadar alat tambahan sekiranya anda berminat.

Sambungan Internet:

Dilengkapi dengan kedua-dua sambunga WiFi dan LTE pada kelajuan tinggi. Malah melalui ‘Download Booster’ iaitu gabungan kedua-dua sambungan boleh membantu anda mempercepatkan lagi kadar memuat turun fail-fail yang anda perlukan daripada internet. Kemudahan ini mungkin berguna di bandar-bandar besar dengan kelajuan internet tinggi. Di Malaysia, talian internet masih lagi pada kelajuan biasa. Apatah lagi dengan sambungan data yang ciput daripada syarikat-syarikat telekom di Malaysia (anda tidak mungkin memerlukannya).

Satu lagi kelebihan pada S5 adalah ia memiliki MIMO (Multi-Input Multi-Output) iaitu generasi ke-5 Wi-Fi 802.11 ac dan 2 X 2 MIMO disertakan bersama S5 dua antena WiFi untuk mempercepatkan lagi sambungan internet anda. Ini bermakna anda mendapat lebih data berbanding peralatan lain dalam rangkaian yang sama. Menarik!

Pengesan Cap Jari:

Pengesan cap jari mula digunakan pada iPhone 5S dan kini Samsung S5 juga dilengkapi dengan kemudahan yang sama. Namun begitu adakah ia merupakan ciri-ciri yang penting – dapat memudahkan urusan serta menjamin keselamatan data, harta benda anda? Ia masih tidak dapat dibuktikan dengan tepat. Walaubagaimanapun ia merupakan salah satu ciri-ciri tambahan yang disertakan bersama-sama S5.

Skrin Yang Lebih Besar:

Skrin S5 adalah ‘5.1 Full HD Super Amoled’, ia bukan sahaja lebih besar berbanding S4 malah turut menampilkan kualiti paparan yang lebih jelas. Kualiti paparan telefon-telefon samsung adalah antara yang terbaik semenjak dahulu lagi. Sebagai pengeluar skrin TV, monitor dan panel skrin Samsung berupaya menghasilkan skrin yang terbaik untuk rangkaian telefonnya juga. Ia turut mendapat pengiktirafan sebagai skrin yang terbaik daripada DisplayMate™.

Begitulah antara ciri-ciri baru yang dimuatkan bersama dengan Samsung Galaxy S5 yang kini berada di pasaran. Bagi yang menanti-nantikan telefon ini bolehlah bertindak segera untuk memastikan anda tidak ketinggalan mendapatkannya ketika ia masih hangat. Apa pun pastikan anda berhati-hati bagi mengelakkan barangan tiruan. Mungkin juga anda tidak perlu terburu-buru sekiranya anda telahpun memiliki S4.


Sebelum anda berbelanja untuk membuat pembelian pastikan dulu adakah ianya merupakan satu keperluan penting atau sebaliknya. Anda juga sebaiknya memastikan fungsi-fungsi yang anda perlukan. Tidak perlu berbelanja mengikut nafsu semata, kerana masih banyak perkara yang boleh dilakukan dengan wang anda. Seperti yang dapat dilihat teknologi berubah dengan pantas, perlumbaan untuk mengikuti fesyen terkini akan hanya menyebabkan pembaziran berbanding keuntungan. Apa pun tahniah bagi yang berpeluang memiliki S5!


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...