Jumaat, 24 April 2015

Keunikan Bumi Kenyalang, Sarawak

Rhinoceros Hornbill
Burung Enggang yang menjadi lambang negeri kepada Sarawak.

Serawak, Malaysia juga dikenali sebagai bumi kenyalang bersempena dengan nama Burung Enggang (Burung Kenyalang) yang menjadi simbol negeri tersebut. Oleh kerana burung Enggang sememangnya istimewa kerana hanya mendiami kawasan hutan pergunungan tebal yang jauh daripada penempatan manusia.

Walaupun terdapat beberapa spesies burung enggang, namun yang paling menjadi tumpuan adalah enggang badak ‘rhinoceros hornbill’ (Buceros rhinoceros) yang merupakan burung terbesar dalam kumpulan ini. Saiz enggang badak dewasa boleh mencapai kepada 91 – 122 cm (36 – 48 in) dengan berat antara 2 – 3 kg (4.4 – 6.6 lb). Namun begitu enggang badak bukanlah spesies yang hanya terdapat di Borneo kerana ia juga turut mendiami kepulauan Sumatera, Jawa, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

Burung ini menjadi kebanggaan kebanyakan masyarakat di Sarawak dengan menjadikan bulu-bulu burung ini sebagai sebahagian peralatan hiasan mereka. Oleh kerana kawasan hutan yang luas di Sarawak, maka jumlahnya adalah lebih tinggi di negeri ini.

Selain daripada burung kenyalang tersebut, bumi Sarawak mempunyai keunikan tersendiri dengan keaslian muka buminya yang masih lagi kekal tanpa penerokaan berlebihan. Sehubungan itu, Sarawak mempunyai bilangan Taman Negara (National Park) yang jauh lebih banyak dari negeri-negeri yang lain di Malaysia. Setiap Taman Negara ini mempunyai keunikan masing-masing yang merupakan tarikan utama Negeri Sarawak sejak sekian lama.

Semengoh Nature Reserve

Orang Utan at Semenggoh
Semenggoh merupakan pusat perlindungan kepada Orang Utan.

Merupakan taman istimewa sebagai pusat pemuliharaan Hidupan Liar – di mana haiwan-haiwan yang dibela secara haram ditempatkan sebelum dilepaskan semula ke habitat mereka yang sebenar. Di sini juga tarikan utamanya adalah Orang Utan, di mana ia dilepaskan di dalam kawasan tersebut.

Terletak kira-kira 20 km daripada Bandar Kuching, taman ini mula di buka pada tahun 2000. Ia merupakan antara tarikan popular bagi para pengunjung kerana lokasinya yang berhampiran dengan bandar Kuching.

Wild Cave and Fairy Cave

Antara tarikan yang terletak berhampiran bandar Kuching juga merupakan gua yang dilengkapi dengan titian papan bagi memudahkan pengunjung melihat keunikan keadaan di dalam gua dimana keadaan stalactites dan stalagmites yang terbentuk melalui proses yang berkurun lamanya. Untuk menikmati pemandangan di dalam gua ini anda perlu menggunakan lampu suluh.

Terdapat sungai yang boleh dijadikan tempat untuk menyegarkan badan sekiranya anda meminati jeram di hutan. Antara kemudahan yang tersedia untuk melawat lokasi ini adalah tempat meletak kereta yang disediakan sehingga ke pintu masuk gua. Terdapat juga laluan titian papan untuk para pengunjung menikmati keindahan kawasan sekitar taman ini.

Lambir Hill National Park

Lambir National Park
Kepelbagaian spesies di Lambir, mendapat perhatian dunia.

Taman Negara Bukit Lambir merupakan antara kawasan yang mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang terpaling padat di dunia dengan keluasan 52 ha, daripada keseluruhan kawasannya iaitu 7,000 ha, terdapat sekitar 1,050 spesis pokok yang berbeza di mana setiap satunya menyokong kira-kira 1,200 spesies serangga.

Bagi yang meminati penjelajahan hutan pula bolehlah menyusuri trek yang mencabar untuk pendakian Bukit Lambir dengan ketinggian 465 meter yang memberikan anda pemandangan menarik keadaan hutan sekelilingnya. Terdapat juga menara setinggi 22 meter untuk memberikan anda lebih pengalaman dalam menghayati keunikan hidupan pada aras tersebut samada tumbuhan ataupun burung dan serangga.

Seperti juga di mana-mana taman negara sekitar Sarawak, di sini juga terdapat air terjun dan jeram yang boleh mengembalikan kesegaran anda selepas penat menjelajahi hutan tebal taman ini.

Terletak kira-kira 30 minit dari Miri iaitu bandar kedua terbesar di Sarawak, ia merupakan satu lagi taman negara yang mudah dikunjungi. Samada anda ingin melawatinya dalam tempoh sehari atau tinggal di kemudahan penginapan yang disediakan di pusat taman ini.

Similajau National Park

Similajau terletak 30 kilometer di Utara Bintulu. Ia merupakan kawasan taman yang meliputi persekitaran pantai dengan hidupan liar yang agak berbeza. Persisiran pantai taman ini merupakan pantai landai dengan pasir yang kuning keemasan. Selain itu juga ia merupakan kawasan perlindungan bagi buaya air masin yang biasanya akan menghabiskan masa menjemur badan di bawah matahari. Penyu turut menjadikan kawasan ini sebagai kawasan persinggahan mereka untuk bertelur, selain daripada haiwan-haiwan lain seperti babi hutan, monyet dan kera serta sekitar 185 spesies burung termasuk enggang dan helang laut.

Similajau merupakan kawasan yang sesuai bagi peminat pemerhati burung selain daripada haiwan-haiwan hutan yang lain. Keindahan Similajau boleh dinikmati melalui pantai mahupun menggunakan bot persiaran.

Batang Ai National Park

Batang Ai National Park
Kemudahan selesa di Batang Ai Hilton.

Taman yang merangkumi kawasan tasik buatan manusia seperti juga Tasik Kenyir, iaitu melalui pembinaan empangan hidro elektrik. Kawasan ini juga menjadi kawasan penempatan orang-orang Iban dengan rumah panjangnya.

Kawasan-kawasan penempatan orang Iban ini boleh dikunjungi dengan menyusuri sungai daripada tasik tersebut. Selain daripada menghabiskan masa di rumah panjang mereka, para pengunjung juga mungkin berpeluang untuk bersama-sama dengan mereka menyusuri hutan dan melihat suasana kehidupan Orang Utan.

Bagi pengunjung yang ingin menghabiskan masa di sini juga boleh memilih untuk tinggal di hotel yang diselenggarakan oleh syarikat perhotelan Hilton. Hotel yang menarik ini didirikan bercirikan rumah panjang di Sarawak sememangnya menjanjikan penginapan yang selesa.

Loagan Bunut National Park

Loagan Bunut merupakan tasik terbesar di Sarawak dengan keluasan 650 hektar. Ia adalah nama yang diberikan oleh orang-orang Berawan untuk tasik tersebut. Keunikan tasik ini adalah, ia akan hilang sepenuhnya semasa musim kemarau yang kebiasaannya pada bulan Februari sehingga Mei atau Jun.
Semasa tasik ini kering pelbagai haiwan dapat dilihat melewati kawasan berlumpur tasik ini termasuklah rusa, babi hutan, kancil, juga monyet dan kera yang mendiami kawasan hutan taman negara ini.

Orang-orang Berawan yang tinggal di persekitaran tasik ini menjadikan tasik ini sebagai salah satu sumber bekalan penangkapan ikan mereka. Menggunakan teknik yang dipanggil sebagai ‘selambau’ iaitu dengan menyauk ikan yang berpindah masuk ke tasik ini setiap kali berlaku perubahan paras pada air tasik.

Loagan Bunut terletak agak jauh ke pendalaman iaitu kira-kira 130 kilometer daripada Bandar Miri dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan ini.

Mulu National Park

The Pinnacles Mulu
The Pinnacles yang amat terkenal di Mulu.

Taman Negara Mulu merupakan sebahagian daripada kawasan yang diisytiharkan sebagai Warisan Dunia UNESCO sebagai kawasan semulajadi terindah menyediakan pelbagai pengalaman untuk diterokai termasuk rangkaian gua terbesar, ‘rock climbing’, ‘jungle trekking’, kayak, basikal lasak, jeram, juga penempatan penduduk asli yang masih kekal.

Keunikan rangkaian gua di Taman Negara Mulu ini antaranya adalah Sarawak Chamber dengan keluasan yang menakjubkan, manakala Gua Rusa yang mempunyai laluan terbesar dan sungai terpanjang di Asia Tenggara di dalam Clearwater Cave yang mencapai 108 kilometer.

Menjelang senja pula, anda boleh menyaksikan jutaan kelawar yang terbang bagaikan sungai keluar daripada Deer Cave dalam perjalanan mereka keluar untuk mencari makanan.

Taman ini juga mempunyai flora dan fauna yang menarik termasuklah 15 kawasan hutan yang berbeza. Mengandungi ribuan spesies paku-pakis, kulat, lumut dan tumbuhan berbunga. Terdapat kira-kira 170 spesies orkid liar dan 10 spesies tumbuhan periuk kera yang unik – dan juga tumbuhan-tumbuhan yang mungkin masih belum ditemui.

Antara kawasan yang paling menarik di Mulu National Park adalah Pinnacles yang terletak di Gunung Api yang terdiri daripada batu kapur berbentuk meruncing dikelilingi oleh kawasan hutan.

Semasa anda menerokai taman ini anda mungkin berpeluang untuk menemui sendiri masyarakat tempatan yang terdiri daripada Iban, Berawan dan juga Penan yang masih mengamalkan hidup berpindah randah.

Terdapat beberapa kemudahan untuk bermalam di kawasan Taman Negara Mulu termasuklah Royal Mulu Resort atau di kawasan-kawasan perkhemahan yang disediakan.

Niah National Park

Niah Cave, Sarawak
Penempatan tertua di Asia Tenggara di Gua Niah, Sarawak.

Gua Niah merupakan tempat yang paling popular menjadi penempatan manusia sejak 40,000 tahun yang lalu melalui peninggalan mereka yang terdapat di dalam gua tersebut. Ia merupakan kesan tinggalan tertua yang dijumpai di Asia Tenggara.

Kesan-kesan tinggalan ini masih lagi terdapat di dalam gua tersebut untuk memberi peluang kepada para pengunjung menyaksikan sendiri keunikan tinggalan penempatan tertua ini. Gambar-gambar di dinding gua juga keranda yang berbentuk perahu masih lagi dijaga dengan baik bagi tatapan pengunjung.

Ia adalah 2 jam perjalanan daripada Miri ataupun Bintulu kemudian melalui laluan papan menyusuri kawasan rendah di dalam hutan yang kaya dengan pelbagai burung dan rama-rama. Terdapat juga laluan menuju ke kawasan-kawasan lain termasuk penempatan orang-orang Iban.

Terdapat juga chalet-chalet dan asrama disediakan bagi yang perlu bermalam di sini untuk menikmati pelbagai keunikan penghuni hutan antaranya kelawar dan burung layang-layang yang pulang ke sarang. Anda juga mungkin berpeluang menikmati malam dengan bercahayakan cahaya bulan bersama bunyi-bunyian daripada penghuni hutan yang lain.


Begitulah sebahagian daripada keunikan yang boleh anda nikmati daripada Taman-taman Negara yang terdapat di Sarawak atau Bumi Kenyalang ini. Sebagai negeri terbesar di Malaysia yang masih lagi mengekalkan keaslian sebahagian besar daripada kawasannya dalam bentuk semulajadi. Namun daripada keaslian inilah yang menarik ramai pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman, atau meneroka rahsia alam yang masih belum lagi diketahui umum. Bersama kita hargai keunikan ini untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.



Free Download



2 ulasan:

  1. assalamualaikum,
    kacak gambar enggang ya, kitak pun kah?
    bolehkah gambar ya diguna pakai secara commercial?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas komen saudara. Gambar enggang tersebut bukan milik asal kami (myrokan), saudara perlu lah mendapat kebenaran pemilik asalnya sendiri.

      Padam

Arkib Blog