Jumaat, 15 Mei 2015

Kerang dan Kerang-kerangan

Clam
Remis adalah spesis kerangan yang turut dijadikan bahan makanan.

Kerang merupakan antara bahan masakan yang biasa ditemui dalam masakan masyarakat Malaysia dan juga di seluruh dunia. Kerang-kerangan pula adalah spesies kerang lain yang juga mempunyai cengkerang keras seperti kepah, remis, tiram, pepahat, etak-etak, lala, kijing dan pelbagai lagi nama yang diberikan untuk hidupan spesies ini. Walaupun terdapat spesis yang lebih banyak di air masin, terdapat juga spesies yang hidup di air tawar dan air payau.

Kerang dan Ekosistem

Spesies kerang-kerangan (clam) mempunyai fungsi penting di dalam ekosistem hidupan akuatik terutama dalam mengawal kualiti air dengan cara menapis air dari benda organik yang terdapat di dalam air tersebut. Bahan-bahan yang ditapis termasuk phytoplankton, bakteria dan juga fungus. Malah kerang akan menyedut kesemua bahan yang terdapat di dalam air tersebut dan mengasingkan bahan-bahan bukan organik termasuk bahan kimia yang akan dikeluarkan semula sebagai buangan di lantai sungai atau laut.

Oleh kerana spesis ini bergerak dengan perlahan malah ada juga yang kurang bergerak menjadi tempat yang sesuai untuk hidupan lain melekat padanya. Ini menjadikan ia sebahagian daripada tempat hidupan lain untuk melekat dan menyediakan bekalan makanan pada hidupan lain pula seperti ikan, udang dan ketam. Selain itu, dengan melekatkan diri mereka di dasar sungai atau tasik, ia dapat mengurangkan kesan hakisan oleh arus dan menstabilkan permukaan dasar tersebut.

Kerang-kerangan bukan sahaja menjadi sumber makanan kepada manusia. Hidupan-hidupan lain turut menjadikan ia sebagai sumber makanan. Walaupun mempunyai cengkerang yang keras haiwan-haiwan seperti muskrat dan racoon mempunyai kaedah tersendiri untuk mendapatkan isi kerangan ini. Terdapat juga spesies-spesies ikan yang mampu memecahkan cengkerang kerasnya dan anda tentu ingat spesies udang yang mempunyai kemampuan ini (udang mantis shrimp).

Kerang dan Manusia

Oleh kerana kerang lebih mudah diperolehi berbanding hidupan lain yang mampu bergerak, maka ia telah pun menjadi sebahagian daripada bahan makanan manusia sejak ribuan tahun dahulu (daripada bukti yang diperolehi dari tinggalan sejarah) – malah mungkin lebih lama lagi. Penggunaan kerang ini bukan sahaja menjadi bahan makanan malah turut dijadikan sebagai hiasan, mata wang dan juga peralatan untuk kegunaan lain seperti permainan ‘dam’.

Bahan hiasan menggunakan kerangan ini termasuklah untuk dijadikan butang, manik atau bahan hiasan lain seperti birai atau bahan kraftangan. Manakala mutiara pula adalah bahan yang dihasilkan oleh tiram samada yang dibela atau tiram yang liar. Industri penternakan kerangan ini juga adalah antara sumber ekonomi penting selain daripada mengelakkan kepupusan spesies yang diburu secara berlebihan.

Boleh dikatakan kesemua masyarakat di dunia mempunyai resepi tersendiri menggunakan spesies daripada kerangan ini dari Timur (Jepun) hinggalah ke Barat (Amerika) dalam mempelbagaikan jenis masakan yang  menggunakan kerangan sebagai bahan utamanya. Di Malaysia sahaja antara makanan yang popular adalah ‘Char Kway Teow – kerang’, Nasi lemak kerang, rendang kerang, kerang rebus, kerang bakar dan sebagainya. Bagi spesies yang lain juga kepah, lala, etak turut mempunyai resepi masakan masing-masing.

Spesies-spesies Kerangan

Terdapat pelbagai spesis kerangan yang menghuni perairan dari hulu sungai hinggalah ke lautan. Terdapat beberapa spesies antaranya yang biasa dijadikan sebagai sumber makanan oleh manusia atau mudah ditemui.

Kerang Darah (Blood cockle)

crockles
Kerang merupakan salah satu makanan popular.

Kerang darah (Anadara granosa) merupakan spesies kerang yang biasa dijumpai di perairan daripada Indo-Pasifik, Afrika Selatan, Asia Tenggara, Australia, Polynesia sehinggalah ke Utara Jepun. Mendapat namanya daripada warna merah yang terdapat di dalamnya. Merupakan bahan makanan popular penduduk di mana kawasan ia boleh didapati.

Mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kerang jenis ini dibiakkan di kawasan dataran berlumpur seluas sekitar 100 km2 di Daerah Zhejiang, China. Kerang-kerang ini turut dibesarkan di kawasan kuala sungai berhampiran di Daerah Fujian. Kerang jenis ini mudah dipungut daripada lantai sungai di bahagian kuala. Tanpa pengawasan yang baik, jumlahnya mungkin akan berkurangan dengan drastik.

Di Malaysia kerang jenis ini juga merupakan kerang utama yang digunakan dalam pelbagai jenis masakan seperti yang disebutkan di atas. Ia boleh didapati dengan mudah di pasar-pasar dan penjual ikan.

Pepahat (razor  clam)

jacknife clam
Pepehat adalah daripada jenis 'razor clam'.

Pepahat adalah satu daripada spesis razor clam yang turut mengandungi pelbagai spesies. Rupa bentuk yang menyerupai pisau cukur ini mudah dikenali. Namun begitu ia merupakan antara spesies kerangan yang mampu menggali lumpur dengan pantas dan menjadikan ia agak sukar untuk diperolehi.

Terdapat pelbagai jenis kerangan jenis ini di seluruh dunia dan ataranya termasuklah ‘jackknife clam’ yang menjadi sebahagian daripada menu makanan manusia. Seperti juga kerang-kerangan yang lain, ia menjadikan pantai pasir berlumpur di teluk dan kuala sebagai kawasan habitat mereka

Ia juga merupakan salah satu hidupan yang mengilhamkan para pereka di Massachusetts Institute of Technology dalam mencipta biomimetic anchor bagi memastikan kabel dasar laut atau pengangkutan air lain dapat dilabuh dengan selamat.

Tiram (Oyster)

Oyster
Tiram popular sebagai makanan dan juga mutiaranya.

Tiram merupakan salah satu lagi spesis kerangan yang terpenting dalam ekonomi dalam penghasilan bahan hiasan iaitu mutiara dan juga sebagai sumber makanan kepada manusia. Manusia telah menternak tiram sejak lebih daripada 1000 tahun dahulu.

Tiram juga boleh didapati hampir di seluruh dunia dengan pelbagai spesis yang berbeza. Sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai hidupan istimewa ini bolehlah membuat tinjauan di MullusSCANeye yang menjurus kepada kajian mengenai kelakuan terperinci hidupan ini dilakukan oleh sebuah badan dari France.

Walaupun penternakan tiram biasanya bertujuan untuk mendapatkan mutiara, namun begitu ia merupakan bahan makanan yang juga agak popular. Pada awal abad ke-19 tiram terdapat dengan banyak di New York dan menjadi bahan makanan bagi golongan pekerja. Terdapat koloni besar tiram di Pelabuhan New York yang menjadi sumber utama bekalan tiram dunia. Bagaimanapun pengenalan spesies dari luar telah menyebabkan penyakit dan memusnahkan spesies asal tiram tersebut. Ini menyebabkan ia menjadi sukar didapati dan menjadikan harganya semakin mahal.

Bahaya Kerangan

Walaupun kerangan merupakan sumber makanan yang boleh diperolehi dengan mudah dan murah (kecuali spesies yang mahal) para pengguna perlu berhati-hati sebelum menikmati hidangan menggunakan kerangan ini. Kerangan mungkin mengumpul bakteria dan bahan berbahaya di dalam air boleh berpindah kepada manusia yang memakannya.

Antara penyakit yang boleh berpunca daripada memakan makanan kerangan adalah gastroenteritis, septicemia, salmonellosis, hepatitis, cholera, dan typhoid. Jadi sumber di mana kerangan ini diperolehi perlu dipastikan bagi mengelakkan sebarang jangkitan. Ia juga perlu disediakan dengan betul bagi mengelakkan sebarang jangkitan yang boleh berlaku.

red tide
Keadaan laut semasa 'pasang merah'.

Fenomena pasang merah atau ‘red tide’ merupakan fenomena pertumbuhan alga yang banyak dan ia adalah beracun kepada hidupan akuatik dan juga boleh menyebabkan keracunan yang dikenali sebagai Paralytic Shellfish Poisoning (PSP). Toksin yang disebabkan oleh pasang merah ini tidak akan terhapus dengan memasak kerangan dengan sempurna – kerana toksin tersebut telah berada di dalam kerang.

Di Malaysia kes yang melibatkan pasang merah ini direkodkan di Sabah pada tahun 1976 yang melibatkan 202 mangsa dan menyebabkan 7 daripadanya maut. Manakala sekali lagi pada tahun 2013 yang meragut 2 nyawa akibat daripada memakan kerangan yang tercemar dengan toksin daripada fenomena pasang merah. Fenomena ini berlaku hampir setiap tahun di kawasan yang berbeza di seluruh dunia.


Begitulah serba sedikit mengenai kerang-kerangan yang dapat dikongsi pada kali ini. Walaupun ia merupakan sejenis haiwan yang mudah diperolehi namun terdapat banyak lagi perkara yang perlu anda ketahui mengenai hidupan unik ini. Adalah dinasihatkan supaya kita dapat mengenali dan memelihara persekitaran bukan sahaja untuk memastikan spesies kerangan terpelihara malah kita sebagai pengguna juga selamat dalam menjadikannya sebagai sumber makanan.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog