Wednesday, June 24, 2015

Buah Buahan Borneo, Terap


Terap mempunyai isi yang putih, bau yang enak dan rasa yang manis.

Buah terap (Artocarpus elasticus) bukanlah buah yang asing dan dikenali juga sebagai benda, tekalong, kalam (Mentawai) , torop (Karo) , bakil (Melayu) , tarok (Minangkabau), bĕnda, teureup (Sunda), bendhå (Jawa), Kokap (Madura), taéng (Makasar) dan beberapa nama lain lagi di sekitar kawasan di mana ia tumbuh (Asia Tenggara).

Apa yang istimewa, di Sabah dan Sarawak buah ini mendapat tempat yang agak popular di kalangan masyarakat setempat dan boleh didapati di pasar-pasar minggu yang dikenali sebagai ‘tamu’ apabila tiba musim buahnya. Ini kerana bau dan rasanya adalah sangat sedap dan mudah dimakan dengan isinya yang kembut berwarna keputih-putihan (seperti susu).


Isi buah terap yang putih,

Terap merupakan tumbuhan dalam family yang sama dengan cempedak (A. Integer) nangka (A. Heterophyllus), maka tidak hairanlah mengapa buah terap dan rupa fizikalnya amat mirip dengan kedua-dua buah ini. Pohon terap juga mempunyai getah manakala sebagai pepohon hutan ia mungkin mempunyai batang yang agak tinggi.

Berbanding dengan buah nangka dan cempedak yang memanjang, buah terap adalah lebih bulat (sehingga bujur). Ia perlu dipetik berbanding gugur ke tanah, melainkan apabila ia telah ranum (busuk). Saiz buah ini boleh mencapai sehingga 1 kg dan mempunyai bau yang agak kuat juga. Mempunyai kulit yang lebih mudah dipecahkan maka buah ini amat mudah untuk dinikmati.


Antara spesis lain buah terap yang juga dikenali sebagai 'marang'.

Buah terap seperti juga buah nangka mempunyai pelbagai kegunaan bagi masyarakat serantau tertama di Indonesia. Selain daripada buahnya yang dimakan, bijinya juga turut direbus atau digoreng mirip seperti buah cempedak dan nangka. Maka dengan itu, buah yang muda juga boleh dijadikan bahan masakan. Bagi masyarakat Minangkabau, sewaktu penjajahan Jepun, kulit terap turut digunakan sebagai bahan membuat seluar (celana). Terdapat potongan pantun Minangkabau yang mengabadikan kisah ini iaitu; ich ni san shi go rok, baju goni sarawa tarok (satu dua tiga empat lima enam (Bahasa Jepun), baju goni celana serat tarok (benda/terap).

Sebagi pohon hutan pohon terap agak tinggi.

Banyak lagi hubungan pokok dan buah terap terhadap masyarakat terutamanya di Kepulauan Melayu, namun begitu sesuai dengan tajuk kali ini, sekiranya anda ingin merasai keunikan buah terap maka jangan lupa terbang ke Sabah atau Sarawak menjelang musimnya nanti. Selain itu juga anda akan berpeluang mempelajari banyak lagi keunikan negeri-negeri Borneo tersebut.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...