Saturday, June 20, 2015

Ikan Buntal (Pufferfish)

Ikan buntal walaupun berduri dan beracun tetap menjadi makanan manusia.

Ikan buntal merupakan antara ikan yang unik kerana kebolehannya untuk mengembangkan saiz badannya menjadi lebih besar bagi mengelakkan ia daripada dimakan oleh pemangsanya. Selain itu juga ia sangat beracun dan boleh mengakibatkan kematian – dan ini tidak menghalang manusia kerana ia dikatakan enak dan ramai yang mengambil risiko (kematian) semata-mata untuk menikmati makanan eksotik hidangan daripada ikan ini.

Ikan buntal tergolong dalam family Tetradontidae dari order Tetraodontiformes. Ikan buntal terdiri daripada 120 spesis daripada 19 genus menjadikan ia satu kumpulan ikan yang besar. Mendiami kawsan perairan tropika sehingga ke bahagian laut bersuhu sederhana dan tidak terdapat di laut yang bersuhu sejuk. Terdapat juga spesis yang mendiami periran air payau dan berair tawar. Terdapat pelbagai nama yang merujuk ikan buntal di dalam Bahasa Inggeris sahaja antaranya adalah pufferfish, puffers, balloonfish, blowfish, bubblefish, globefish, butterfish , swellfish, toadfish, toadies, honey toads, sugar toads, dan sea squab. Oleh kerana ia terdapat hampir di serata dunia, setiap masyarakat mempunyai nama tersendiri untuk ikan-ikan ini.


Guineafowl puffer sebelum mengembang.


Guineafowl puffer selepas mengembang.

Daripada 120 spesis tersebut, 29 daripadanya mendiami perairan air tawar sepenuhnya. Walaupun kesemua spesis ini mendiami perairan tropika namun ia berada di lokasi yang berbeza dengan satu spesis terdapat di Amerika Selatan, tiga spesis lagi terdapat di Afrika Tengah dan selebihnya 25 spesis terdapat di Asia Tenggara. Jadi kini anda mengetahui betapa pentingnya kawasan Asia Tenggara sebagai habitat penting spesis-spesis tertentu.

Ikan buntal terdiri daripada pelbagai saiz daripada yang bersaiz kecil diantara 2.5 cm (1 inci) sehinggalah kepada yang bersaiz 61 cm (2 kaki). Malah ada yang mencecah sehingga 1 meter (3 kaki) panjang. Ia tidak mempunyai sisik namun kulitnya agak kasar dan ada diantaranya seperti duri yang akan mengembang apabila ia diancam.


Anak ikan buntal kecil mungkin terlekat di rumpai-rumpai laut.

Ikan buntal mempunyai empat gigi yang menbentuk seperti paruh dan gigi ini digunakan untuk memakan makanan termasuk kerang-kerangan yang keras – namun begitu makanan ikan buntal terdiri daripada pelbagai invertebrate dan juga algae. Makanan ikan-ikan buntal ini juga dikatakan menjadi punca kepada racun ikan tersebut yang boleh membunuh 30 orang lelaki dewasa dan tiada penawar (antidote) yang diketahui setakat ini.

Racun ikan buntal dikenali sebagai tetrodotoxin merupakan racun yang 1,200 kali ganda lebih kuat daripada cyanide. Racun ini turut dimiliki oleh beberapa spesis haiwan beracun yang lain seperti newt dari genus Taricha, kodok dari genus Atelopus, blue-ringed octopus dari genus Hapalochlaena, beberapa spesis tapak sulaiman (sea stars), spesis angelfish, beberapa jenis cacing yang dikenali sebagai polyclad flatworm, arrow worms, ribbonworms dan beberapa spesis ‘xanthid crabs’. Walaupun ia boleh membunuh manusia dan pemangsanya beberapa pemangsa semulajadi haiwan ini didapati tidak terjejas dengan racun tersebut seperti tiger shark dan juga ular laut.


Torafugu di pasar Tsukiji Jepun.

Walaupun beracun ikan buntal atau dikenali sebagai Fugu (河豚 or ; フグ) di dalam Bahasa Jepun merupakan antara hidangan yang amat pupular. Torafugu atau tiger blowfish merupakan hidangan yang paling berprestige dan juga yang paling beracun. Ini diikuti dengan beberapa spesis lain seperti Higanfugu (T. Pardalis), Shōsaifugu (T. vermicularis syn. snyderi), dan Mafugu (T. Porphyreus). Memandangkan makanan daripada ikan ini amat merbahaya langkah-langkah keselamatan turut dititik beratkan oleh Kementrian Kesihatan Jepun. Ini termasuklah menguat kuasakan lesen penyediaan makanan berasaskan fugu semenjak tahun 1958 lagi. Kaedah pengambilan lesen yang memerlukan pelbagai kriteria termasuk ujian bertulis, pengenalan ikan dan juga ujian praktikal mebolehkan hanya 35 peratus daripada calon berjaya mendapat lesen penyediaan fugu.


Blue and white dot puffer fish.

Terdapat pelbagai kaedah penyediaan fugu dan yang paling popular adalah sashimi di mana daging ikan ini akan dipotong nipis dengan teknik yang dikenali sebagai usudzukuri. Selain itu ia juga turut disediakan dalam bentuk goreng, bakar,  stew, salad selain telur malah ovari (bahagian yang beracun) turut digunakan sebagai sebahagian daripada hidangan istimewa. Fugu merupakan makanan yang tidak boleh dimanakan oleh Maharaja Jepun sebagai langkah keselamatannya.

Saintis dari Nagasaki University dikatakan telah berjaya membesarkan ikan-ikan dari jenis torafugu melalui pengawalan pemakan ikan ini. Setelah berjaya membesarkan lebih daripada 4,800 ikan tidak beracun mereka yakin bahawa punca pemakanan dan sistem penghadaman ikan menyebabkan ia menghasilkan racun (sama juga dengan spesis katak beracun) dengan mengkalkan rasa ikan. Namun ada juga yang menyangkal dakwaan ini.


Fugu sashimi yang digemari daripada ikan buntal.

Sejauh mana benarnya dakwaan ini tidak diketahui kerana masih terdapat kes keracunan dan kematian yang berpunca daripada pemakanan fugu di Jepun. Terdapat 23 kejadian yang dilaporkan di Jepun sepanjang 1993 sehingga 2006 dan hanya satu kes dilaporkan berlaku di restauran dan antara kes terbaru adalah pada March 2015. Kes-kes kematian yang disebabkan oleh ikan ini banyak juga berlaku di tempat-tempat lain termasuk Malaysia sendiri. Jadi adalah lebih baik sekiranya anda mengelakkan daripada mencubanya.

Ikan buntal walaupun beracun tetap menarik dan merupakan spesis yang penting di dalam ekosistem terutamanya kawasan terumbu karang. Sekiranya anda berminat bolehlah melihat keseluruhan 120 spesis ikan tersebut. Mengenalinya mungkin boleh mengelakkan anda daripada bahaya racun ikan ini nanti.

Rujukan:
  1. Wikipeida – Tetraodontidae
  2. Wikipedia – Fugu
  3. Wikipedia – Tetrodotoxin
  4. National Geographic
  5. The Guardian


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...