Monday, June 15, 2015

Keunikan Flora Gunung Kinabalu

Nepenthes rajah merupakan tumbuhan periuk kera terbesar hanya terdapat di Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian mencapai 4,095 m dari aras laut. Selain diistiharkan sebahagian taman negara yang pertama pada tahun 1964 ia juga dinobatkan sebagai satu lagi kawasan Warisan Dunia oleh UNESCO pada December 2000. Ia merupakan satu kawasan yang penting dalam menyimpan khazanah hidupan tanah tinggi Borneo yang meliputi kepelbagaian hidupan dan juga tumbuh-tumbuhan.

Sehubungan kepentingan ‘biodiversity’ di Borneo, Harvard University turut menjalankan kursus yang dinamakan ‘Biodiversity of Borneo Field Course’ yang menjadikan Gunung Kinabalu sebagai salah satu kawasan terpenting dalam kursus ini. Manakala universiti lain seperti Miami University memilih lokasi di sekitar Sarawak dan University of Exeter, UK pula memilih lokasi di Kalimantan. Terdapat banyak lagi institusi pengajian yang mejalankan kajian di Borneo dalam usaha untuk mengenali keunikan biodiversity ini terus dijalankan bagi membolehkan usaha pemeliharaan dapat dilakukan sebelum ianya terlambat.

Oleh kerana kita ingin mengkhususkan artikel kali ini kepada keunikan flora di kawasan Gunung Kinabalu, ada baiknya kita memberikan fokus kepada kawasan ini terlebih dahulu. Anda boleh melakukan lebih carian mengenai kawasan-kawasan lain di Borneo yang luas dan kaya dengan keunikan tersendiri.

Gunung Kinabalu mempunyai tumbuhan yang unik yang meliputi 4 zon yang berbeza mengikut ketinggiannya dari aras laut. Walaubagaimanapun taburan tumbuh-tumbuhan ini turut dipengaruhi oleh bentuk muka bumi, pendedahan terdahap cahaya matahari, kelembapan, tanah dan sebagainya. Pada ketinggian melebihi paras 1,200 meter tumbuhan-tumbuhan yang tumbuh menyerupai tumbuhan yang terdapat di Himalaya dan juga China termasuk tumbuhan-tumbuhan seperti di Australia dan New Zealand, terdapat juga yang menyerupai tumbuhan dari Amerika.

Kawasan Hutan Tanah Rendah


Antara tumbuhan yang terdapat di zon hutan tanah rendah.

Kawasan yang meliputi sehingga ke ketinggian 1,200 meter (4,000 kaki) dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hutan pelbagai kayu kayan seperti mana hutan-hutan tropika yang lain. Ketinggian pokok dari spesis keruing (dipterocarp) boleh mencecah sehingga 50 meter  tinggi dengan beberapa lapisan pokok-pokok di antaranya.

Di kawasan ini pokok buah-buahan juga banyak tumbuh antaranya adalah rambutan, mangga, durian dan ara. Manakala bagi spesis yang sedikit berbeza ialah terap (Artocarpus odoratissimus) yang menyerupai nangka/cempedak dan mawang (Mangifera pajang) yang mempunyai rasa seakan-akan mangga. Terdapat juga durian yang mempunyai isi berwarna merah iaitu antara buah popular Negeri Sabah.

Bagi lapisan yang bawah sekali dan juga kawasan rendah biasa ditumbuhi oleh tumbuhan pelbagai jenis palma (Arecaceae), halia (Zingiberaceae) dan juga buluh (Graminae). Terdapat lebih 52 jenis spesis palma dari 10 genus dan 30 spesis tubuhan halia (Zingiberaceae) di dalam kawasan taman manakala 6 spesis buluh terdapat di dalam kawasan tersebut dimana empat lagi di luar kawasan yang dihadkan. Selain itu juga terdapat banyak spesis rotan di dalam kawasan ini.

Bagi spesis paku pakis pula merangkumi keseluruhan zon tumbuhan di Kinabalu dan terdapat kira-kira 608 spesis yang direkodkan di mana ia melebihi jumlah keseluruhan paku yang direkodkan di keseluruhan tanah besar Afrika. Spesis-spesis paku pakis ini merangkumi yang tumbuh di atas pokok, paku yang menjalar, paku tumbuh di tanah dan paku yang menyerupai pokok (seperti paku gajah). Di kawasan ini juga terdapat tumbuhan lumut terbesar (Dawsonia spp.) boleh dilihat.

Kawasan hutan rendah Kinabalu ini juga merupakan kawasan yang kaya dengan pelbagai jenis orkid dan terdapat lebih daripada 1,000 jenis orkid dari 121 genus. Seperti juga paku pakis orkid juga boleh didapati hampir di kesemua zon tumbuhan di kawasan Kinabalu ini. Antara spesis yang terdapat di sini termasuklah sliper orchid (Paphiopedilum rothschildianum) species endemik bagi Gunung Kinabalu, bamboo orchids (Arundina spp.), necklace orchid (Coelogyne spp.), orchid berbunga kuning Spathoglottis spp. dan spesis orkid terkecil dari genus Podochilus.

Antara keunikan lain yang terdapat di zon rendah hutan Kinabalu adalah tumbuhan dari genus Rafflesia yang mempunya 14 spesis yang merupakan spesis tumbuhan tropika yang terdapat di Borneo, Semenanjung Malaysia, Thailand, Philippines, Jawa dan Sumatera. Merupakan antara bunga terbesar (terdapat satu lagi spesis bunga terbesar iaitu bunga bangkai atau corpse flower).

Kawasan Rendah Pegunungan


Spesis tumbuhan pada aras rendah pergunungan.

Bagi ketinggian daripada 1,200 meter (4,000 kaki) sehingga 2,000 meter (6,500 kaki) tumbuhan-tumbuhan adalah terdiri dari pokok-pokok yang lebih rendah dan kebanyakannya terdiri daripada pokok jenik oak-chestnut. Terdapat sekitar 40 jenis pokok oak, chestnut, mytrle, laurels, eucalyptus dan juga theaceae (tea) pada sekitar aras ini. Pokok-pokok dari jenis conifer (pine) juga didapati tumbuh di sini.

Paku-pakis yang terdapat pada aras ini dapat dilihat dengan banyak dari jenis berdaun lebar iaitu Dipteris conjugata. Terdapat juga antara tumbuhan unik di sini iaitu ‘celery pine’ (Phyllocladus hypophyllus) yang mempunyai taburan di beberapa tempat di dunia. Ini termasuk spesis Tristania yang mempunyai kulit bewarna oren yang lebih berbeza dari pokok-pokok di sekitarnya yang lain.

Antara tumbuhan yang paling menarik di Gunung Kinabalu adalah kumpulan spesis tumbuhan periuk kera atau ‘pitcher plant’, Nepenthes. Sepuluh daripada 36 spesis tumbuhan Nepenthes terdapat di taman ini. Tumbuhan peruk kera ini lebih banyak berada di bahagian yang lebih tinggi iaitu kawasan yang kurang mempunyai nutrient. Satu kelebihan tumbuhan ini adalah mangkuk takungan yang mempunyai warna yang terang bagi memerangkap serangga dan haiwan kecil yang akan dijadikan sumber makanan. Spesis yang mempunyai mangkuk terbesar adalah dari spesis Nepenthes rajah, yang mempunyai takungan cecair sehingga 4 liter di dalamnya. Antara spesis yang hanya terdapat di Kinabalu adalah N. burbidgeae, N. villosa dan N. rajah.

Kawasan Tinggi Pergunungan/ Cloud Forest Vegitation


Tumbuhan di kawasan tinggi pergunungan.

Bagi kawasan ini pula merangkumi ketinggian daripada 2,200 meter sehingga 3,300 meter (11,000 kaki). Pokok yang tumbuh pada ketinggian ini mencapai ketinggian tidak lebih daripada 6 meter dan batang-batangnya pula akan diselaputi dengan lumut seperti lichens (terutamanya Usnea spp.), moss dan liverworth. Ia merupakan kawsan yang selalu diselaputi dengan kabus yang ditiupi angin.

Tumbuhan yang menguasai zon ini adalah terdiri daripada Rhododendron. Daripada 50 spesis yang terdapat di Borneo 26 spesis terdapat di Kinabalu dengan 5 daripadanya hanya terdapat di Kinabalu. Rhododendron hidup di kawasan yang sejuk dan lembab. Kebanyakan bunganya berbentuk seperti loceng dengan jumlah bunga yang banyak pada satu-satu pokok. Bunga-bunga mempunyai warna daripada merah, scarlet, pink, kuning, oren atau putih yang kelihatan ketara di kawasan ini. Antara tumbuhan lain yang mudah dilihat di zon ini adalah R. Lowii dengan bunganya yang berwarna kuning. Tumbuhan yang tumbuh di kawasan ini semakin mengecil pada aras yang lebih tinggi di mana R. ericoides, didapati tumbuh pada ketinggian yang paling tinggi.

Pada ketinggian melebihi 2,600 meter tumbuhan kelihatan agak berbeza adalah Leptospermum dan Dacrydium menukarkan hutan ini kepada suasana yang jauh berbeza. Tumbuhan berbunga putih Schima brevifolia amat ketara pada zon ini. Kesemua tumbuhan ini dapat menyesuaikan diri pada kawasan yang kekurangan tanah ini.

Tumbuhan Sub-alpine


Keadaan tumbuhan sub-alpine.
Tumbuhan sub-alpine bermula pada ketinggian 3,300 meter (11,000 kaki) di mana teras gunung daripada granite terdedah sehingga ke puncak. Pokok-pokok kelihatan berpintal dan berbentuk agak aneh. Walaupun masih terdapat tumbuhan menuju ke puncak terdiri daripada Leptospermum dan Rhododendron ericoides keadaannya adalah kelihatan agak terbantut. Ia merupakan tumbuh-tumbuhan bersaiz kecil daripada potentillas, buttercup, eyebright dan pokok gentian. Ini termasuk juga lumut, rumpai, orkid dan rumput pada sesetengah kawasan.

Menghampiri puncak hanya terdapat batuan dan tumbuhan hanya boleh hidup pada rekahan-rekahan batu yang dapat menyimpan sedikit tanah dan di mana akar dapat berpaut. Oleh kerana angin yang kuat dan hujan yang lebat juga menyukarkan tumbuhan untuk hidup pada ketinggin melebihi 3,700 (12,200 kaki) apabila menghampiri puncak.


Begitulah antara keunikan flora yang terdapat di kawasan Taman Negara Gunung Kinabalu yang mempunyai banyak keunikan. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dikaji bagi memastikan kekayaan sumber yang terdapat di sini dapat dimanfaatkan dengan baik. Seribu satu perkara boleh dipelajari dari satu kehidupan maka dengan itu adalah diharap kita dapat memeliharanya dengan baik.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...