Sunday, June 28, 2015

Mikro Post: Ikan Singa (Lionfish)

Lionfish ikan yang cantik tapi berbisa - "Red lionfish near Gilli Banta Island" by Alexander Vasenin

Ikan Depu atau Ikan Singa atau dikenali sebagai lionfish merupakan ikan yang mempunyai duri beracun dan mendiami kawasan berbatu karang. Spesis ini amat terkenal sebagai beracun namun amat cantik dan biasanya menjadi hiasan di dalam akuarium. Ia juga dikenali dengan nama zebrafish, firefish, turkeyfish atau butterfly-cod mempunyai warna yang terang sebagai petanda amaran tentang racunnya.

Ikan yang tergolong dari genus Pterois ini mengandungi beberapa spesis dan merupakan spesis asal di bahagian Indo-Pacific. Sesuai dengan namanya iaitu lionfish, ia merupakan ikan yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru – merebak dengan pantas di Benua Amerika (Barat Atlantic dan juga Laut Caribbean) sehingga ke tahap membimbangkan.

Ikan Singa mudah dikesan kerana mempunyai warna yang terang mendiami bahagian berbatu karang di perairan tropika. Bersaiz di antara 5 hingga 45 cm (2.0 hingga 17.7 inci) panjang, dan berat di antara 0.025 hingga 1.3 kg (0.055 to 2.866 lb). Ikan ini dihiasi dengan duri-duri panjang dan tentacles yang kelihatan cantik bagi manusia namun durinya beracun.

"MC Rotfeuerfisch" by Christian Mehlführer, User:Chmehl

Spesis ini dikatakan boleh mencapai usia sehingga 15 tahun dan ikan-ikan betina mampu bertelur pada jumlah sehingga 15,000 telur dalam satu kelompok mukus telurnya. Ikan ini merupakan pemangsa yang aggresif dan merupakan pemburu yang cekap. Mendiami kawasan berbatu dan terumbu karang sehingga kedalaman 50 meter dan sering juga melewati kawasan-kawasan cetek seperti lagoon dan pantai berbatu. Ia bersifat ‘territorial’ dan mungkin akan cuba menyerang apa sahaja yang cuba menghampirinya – dilaporkan bersifat aggresif kepada para pengkaji.

Racun ikan-ikan ini adalah terletak pada duri-duri yang tersusun pada ‘dorsal fin’ (sirip atas) ikan tersebut yang berjumlah 18 kesemuanya. Selain mempunyai teknik penyamaran, ia juga mempunyai kepantasan yang menakjubkan ketika menyerang mangsanya yang terdiri daripada ikan-ikan kecil dan udang. Sengatan ikan singa juga amat menyakitkan dan akan menyebabkan kesan keracunan seperti muntah-muntah dan kesukaran bernafas. Walaupun ia jarang menyebabkan kematian kesan kesakitan mungkin bertahan selama seminggu.

Sehingga kini terdapat 11 spesis ikan singa yang diketahui iaitu;
  • Pterois andover G. R. Allen & Erdmann, 2008 (Andover lionfish)
  • Pterois antennata Bloch, 1787 (Spotfin lionfish)
  • Pterois brevipectoralis Mandritsa, 2002
  • Pterois lunulata Temminck & Schlegel, 1843 (Luna lionfish)
  • Pterois miles J. W. Bennett, 1828 (Devil firefish)
  • Pterois mombasae J. L. B. Smith, 1957 (Frillfin turkeyfish)
  • Pterois paucispinula Matsunuma & Motomura, 2014
  • Pterois radiata G. Cuvier, 1829 (Clearfin lionfish)
  • Pterois russelii E. T. Bennett, 1831 (Soldier lionfish)
  • Pterois sphex D. S. Jordan & Evermann, 1903 (Hawaiian turkeyfish)
  • Pterois volitans Linnaeus, 1758 (Red lionfish)

"Clearfin lionfish (Pterois radiata)" by The High Fin Sperm Whale

Walaupun ada yang menjadikan ikan ini sebagai makanan, ia lebih popular sebagai ikan hiasan di dalam akuarium. Namun begitu ikan ini dikatakan merebak dengan pantas di perairan Barat Atlantik iaitu di Selatan Amerika dan semakin merebak ke bahagian Selatan. Oleh kerana ia bukan spesis asal, kemunculan spesis baru boleh membawa ancaman bukan sahaja kepada spesis tempatan malah mungkin juga kepada manusia.

Kadar pengembangan spesis ini di habitat barunya amat membimbangkan sehingga NOAA (National Oceanic and Atmospheric Administration) terpaksa mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk. Orang ramai diminta melaporkan sekiranya menjumpai ikan ini bagi memastikan lokasi penyebaran ikan-ikan lionfish. Selain itu juga kempen memakan ikan "Lionfish as Food" diharap dapat mengurangkan jumlah ikan ini dan mengurangkan tangkapan bagi ikan-ikan yang ditangkap secara berlebihan seperti kerapu (grouper) dan snapper.

Penularan spesis ikan lionfish di perairan Barat Atlantik.

Ikan singa walaupun beracun tidak seperti ikan buntal yang biasa menyebabkan kematian kepada yang memakannya. Kaedah penyediaan ikan ini adalah lebih mudah berbanding buntal – dan tiada kes kematian akibat memakan ikan ini dilaporkan. Namun begitu pengguna digalakkan berhati-hati dan mendapatkan informasi yang cukup sekiranya ingin mencuba hidangan daripada ‘lionfish’ ini. Sehubungan itu Reef Environmental Education Foundation memberikan khidmat nasihat kepada chef restoran tentang kaedah penyediaan ikan ini di dalam menu mereka.

Jadi itulah dia serba sedikit mengenai ikan ‘lionfish’ yang cantik namun beracun. Seperti yang kita ketahui penularan spesis di habitat-habitat baru perlu dikawal dengan teliti bagi mengelakkan kepupusan spesis asal. Bagi kes lionfish, pengawal ini hanyalah bagi kawasan di perairan Barat Atlantik sahaja dan bukan di perairan Indo-Pasifik. Seperti yang kita ketahui, ikan-ikan ini juga mempunyai fungsi tersendiri dalam mengawal keseimbangan ekosistem laut.




Rujukan:

Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...