Wednesday, July 8, 2015

Istimewa Juadah Raya; Ketupat

Ketupat yang telah siap dimasak.

Ketupat antara makanan klasik tradisi juadah Hari Raya yang amat popular. Jika tidak disebabkan oleh daun kelapa muda yang sukar didapati sudah tentu ketupat segera tidak mendapat sambutan. Ketupat asli daun kelapa bukan sahaja unik dari segi rasa dan aromanya tetapi oleh kerana kreativiti penghasilan ketupat itu sendiri.

Ketupat dianyam menggunakan daun kelapa yang masih muda bagi mengelakkan ketupat menjadi pahit dan bertukar warna menjadi gelap sekiranya daun kelapa tua digunakan. Daun kelapa ini secara tidak langsung menambah aroma bauan kepada ketupat yang dihasilkan. Pucuk kelapa tua (agak tinggi pokoknya) merupakan bahan anyaman ketupat yang paling sesuai bagi menghasilkan ketupat dengan saiz yang diperlukan.

Proses penyediaan ketupat bermula dengan anyaman daun kelapa membentuk kelongosng ketupat. Proses anyaman inilah yang memerlukan kreativiti, ketekunan dan kesabaran seseorang. Bagi yang telah pandai menganyam ketupat mungkin masih terkenangkan waktu pertama kali mempelajarinya. Bukan itu sahaja malah terdapat pelbagai jenis ketupat dan belum tentu seseorang mahir untuk menganyam kesemua jenis ketupat ini. Saya sendiri cuma satu jenis sahaja.


Ketupat yang siap dimasak.

Malihat kepada mereka yang telah mahir dengan seni anyaman ketupat mungkin membuatkan anda merasa terpegun kerana ia dilakukan dengan mudah. Namun sebaliknya apabila anda mencubanya, anda mungkin menghasilkan ketupat yang pelik atau sekadar daun kelapa yang meliliti tangan. Mungkin apa yang anda perlu lakukan adalah mendapat tunjuk ajar yang betul dan lakukan dengan perlahan-lahan. Tiada yang mustahil, apatah lagi sekiranya orang lain boleh melakukannya. Anda juga tentu boleh.

Ketupat yang telah dianyam akan diidikan dengan beras. Sukatan yang diperlukan adalah ¾ daripada ketupat. Ia akan mengembang dan memenuhi ketupat. Isi yang kurang akan menyebabkan beras berderai. Manakala terlalu penuh akan menyebabkan ketupat pecah. Jadi anda perlulah mencubanya dan jangan terlalu bimbang melakukan kesilapan.

Ketupat perlu direndam dengan air dan direbus dengan api yang sederhana. Biarkan untuk beberapa jam sehingga beras betul-betul mengembang memenuhi ketupat. Semasa proses rebusan ini, tahap air perlu sentiasa diperiksa bagi megelakkan ianya daripada kering seterusnya menyebabkan ketupat anda tidak masak.


Antara padanan hidangan ketupat.

Ketupat biasa dihidangkan dengan kuah kacang, rendang ayam atau daging dan juga boleh dipadankan dengan satay, lontong, soto, bakso dan apa juga jenis lauk yang lain. Antara variasi makanan yang menyerupai ketupat adalah ‘nasi himpit’. Walaupun ia mirip ketupat, namun ia kekurangan aroma daun kelapa. Begitu juga ketupat segera yang boleh dibeli di pasaraya. Walaupun lebih mudah, namun penggemar ketupat tidak akan teragak-agak untuk membeli kelongsong ketupat menggunakan daun kelapa.

Antara jenis ketupat yang biasa terdapat dalam penyediaan ketupat adalah;
  • Ketupat bawang
  • Ketupat satay/pasar
  • Ketupat burung
  • Keupat jantung

dan beberapa variasi lagi yang bukan dari jenis ketupat hidangan. Walaupun apa juga jenisnya, ia adalah ketupat yang dihasilkan menggunakan daun kelapa muda dan diisikan dengan beras. Rasanya lebih enak kerana beras betul-betul kembang setelah direbus seberapa lama.


Ketupat daun palas menggunakan beras pulut.

Sejenis ketupat lagi adalah menggunakan daun palas dikira sebagai ketupat yang berbeza. Ini kerana ia menggunakan daun palas dan juga beras pulut. Proses pembuatannya juga agak berbeza. Ia tetap mempunyai aroma daripada daun palas. Ketupat daun palas juga sering dihidangkan ketika Hari Raya.

Jadi itu adalah antara sedikit sebanyak keunikan ketupat yang menjadi hidangan penting kepada rakyat Malaysia. Bagi saya ketupat daripada daun kelapa tetap menjadi pilihan. Sekiranya anda belum pernah mencubanya, mungkin pada Hari Raya nanti ia merupakan misi anda yang paling penting.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...