Isnin, 10 Ogos 2015

Jalan-jalan ke Muzium Negara, Kuala Lumpur

Bahagian hadapan bangunan Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Muzium Negara merupakan antara muzium tertua di Malaysia didirikan di atas tapak Muzium Selangor (1906 – 1945) yang musnah akibat pengeboman Tentera Udara Pihak Berikat pada 10 Mac 1945. Baru-baru ini Myrokan membuat tinjauan ke Muzium Negara untuk melihat dengan lebih dekat bahan pameran untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah penting negara kita Malaysia.

Pembinaan muzium ini adalah cetusan daripada Perdana Menteri Malaysia yang petama sendiri iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1959 dan hanya sipa pada Ogos 1963. Muzium ini kemudiaannya dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Bangunan Muzium yang mempunyai 2 tingkat dengan 4 galeri utama ini kini memaparkan bahan-bahan pameran tetap sepanjang tahun. Menerapkan penggunaan bahan-bahan interaktif, kurator muzium dapat menampilkan bahan pameran dengan baik – namun, bahan yang dipamerkan kelihatan berkurangan daripada dahulunya. Selain daripada menggunakan paparan skrin elektronik, pengunjung juga boleh mendapat maklumat tambahan secara talian melalui pengimbasan QR Code.

Galeri A

Peralatan batu penduduk awal di Malaysia.

Barangan tembikar lama yang temui.

Galeri A menyingkap sejarah pembentukan muka bumi yang membentuk geografi Malaysia. Secara tidak langsung ia menceritakan bagaimana taburan pendudukan manusia purba dan taburan flora dan fauna Malaysia terbentuk. Sejarah masyarakat purba juga dipaparkan di sini dengan penemuan peralatan daripada batu dari Zaman Paleolitik (200,000 tahun dahulu) sehingga kepada bahan-bahan artifak yang ditemui di candi Hindu-Buddha di Lembah Bujang. Antara bahan penting lain adalah loceng gangsa Dong Son yang bertarikh 150 Masihi dan artifak lain yang membuktikan perhubungan serantau pada masa itu. Taburan manusia-manusia awal di seluruh Malaysia dapat dilihat dengan lebih jelas melalui penemuan-penemuan dari pelbagai zaman di dalam peta yang disediakan.

Galeri B

Perubahan budaya berlaku daripada perdagangan.

Barangan lama juga menunjukkan ciri-ciri kebudayaan lama.

Antara jenis tepak sireh yang dipamerkan.

Galeri B pula memaparkan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara dan juga Tanah Melayu Sendiri. Ini kerana sejarah pembangunan Tanah Melayu sendiri berkait rapat dengan kerajaan-kerajaan awal di persekitarannya dari seluruh Asia Tenggara. Jika dilihat dengan lebih terperinci Masyarakat Melayu mempunyai taburan yang lebih luas di serata Nusantara. Hubungan perdagangan pula telah berlaku sejak lama dahulu di antara kerajaan-kerajaan ini sebelum tibanya para pedagang yang lebih jauh seperti India, Timur Tengah dan sebelum kedatangan orang-orang Eropah. Turut dipamerkan adalah barangan lama peralihan pelbagai zaman dan perubahan tradisi. Peralatan-peralatan lama (dari tembaga), keris-keris lama, barangan tembikar, barangan dari kerajaan berhampiran dan mural Hang Tuah.

Galeri C

Senjata yang dikenali sebagai 'Flintlock gun' digunakan oleh Belanda.

Bunga Emas sebagai hadiah kepada Siam.

Basikal tentera Jepun bergerak di Tanah Melayu.

Galeri C memaparkan tentang era kolonial bermula dengan kedatangan orang-orang Portugis ke Melaka diikuti dengan Belanda, British dan Jepun. Ia membawa kesan yang amat penting kepada negara terutama kepada kesan politik, sosial dan ekonomi. Antara sumber terpenting yang menjadi rebutan pada masa tersebut adalah bijih timah yang turut membawa ramai orang-orang dari Cina masuk untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah di serata Tanah Melayu. Model kapal korek juga turut disertakan untuk anda melihat sendiri bagaimana proses melombong bijih timah secara besar-besaran dilakukan. Selain itu pengenalan pokok getah juga adalah merupakan antara sumber ekonomi terpenting di Tanah Melayu yang dibawa semasa pemerintahan British yang kekal sehingga ke hari ini. Galeri ini turut memuatkan sedikit bahan dari zaman penaklukan Jepun di Tanah Melayu.

Galeri D

Gambar lama Raja-raja Tanah Melayu.

Tengkolok dari setiap negeri di Tanah Melayu.

Galeri D pula memaparkan proses ke arah usaha mencapai kemerdekaan dengan kebangkitan rakyat dan perjuangan melalui penulisan tokoh-tokoh lama. Ia juga berlaku pada masa yang sama dengan penentangan pihak bertentangan Komunis yang lebih extreme. Bahan pameran yang disertakan di dalam galeri ini termasuklah barangan yang digunakan untuk proses pengundian yang pertama sehingga kepada keratan akhbar yang mengumumkan kepada kemerdekaan Tanah Melayu, gambar-gambar yang berkaitan serta kepada Malaysia pada hari ini.


Walaupun Muzium Negara mempunyai bahan pameran terbaik, namun ia mempunyai banyak kekosongan dan tidak dapat memenuhi segala perkara yang ingin saya perolehi. Diharap bahan-bahan ini akan terus diperbaiki dan dengan menggunakan teknologi serba moden ia mungkin boleh disediakan dengan lebih baik. Semoga usaha untuk mendidik masyarakat untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat dan tepat untuk Masyarakat Malaysia khususnya. 



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog