Tuesday, August 18, 2015

Muzium Bioperubatan, Muzium Yang Dilupakan

Bangunan Muzium Bioperubatan Negara.

Sebuah muzium yang penting bagi memupuk minat dan pengetahuan mengenai kepenting bioperubatan (biomedical) di negara kita telah dirasmikan pada 4 Jun, 1983 oleh YB Tan Sri Chong Hon Nyan yang juga merupakan Menteri Kesihatan Malaysia pada masa itu. Muzium ini terletak di Institut Penyelidikan Perubatan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Muzium ini bertujuan untuk menjadi bahan rujukan dan juga pendedahan bagi aktiviti-aktiviti penyelidikan perubatan yang dijalankan di Institut Penyelidikan. Selain itu ia juga diperkembangkan kepada aktiviti dan penyelidikan untuk Kementrian Kesihatan Malaysia. Antara lain ia merupakan sebuah ‘Biomedical Repository’ untuk semua bahan-bahan dan aktiviti-aktiviti penyelidikan bioperubatan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

Peralatan digunakan untuk tujuan kajian serangga (forensic).

Specimen bagi di dalam kandungan.

Penubuhan muzium ini amat penting dalam memupuk minat dan pengetahuan di kalangan pelajar universiti atau orang persendirian malah mungkin juga bagi para penyelidik luar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan aktiviti berkaitan perubatan dan kesihatan di negara kita. Ini kerana setiap negara mungkin mempunyai sejarah penyakit menular tersendiri yang mungkin boleh merebak ke negara-negara lain. Pada masa itu, maklumat yang terdapat di sini mungkin boleh membantu. Penyakit menular yang kebiasaannya menjadikan haiwan atau tumbuhan sebagai perumah, perlu dikenal pasti bagi mendapatkan kaedah perubatan yang sesuai.

Muzium ini sememangnya mempunyai bahan-bahan yang menarik pada mula ianya dibuka kepada orang ramai. Namun hari ini ia bagaikan sebuah rumah tinggal yang tidak menarik untuk dikunjungi lagi. Bahan-bahan pameran bagaikan barang yang tidak berharga dan sekadar mengisi kekosongan ruang sahaja. Tiada pandu arah, tiada penyambut tetamu dan tiada penunjuk yang lengkap mengenai pameran di sini. Malah bahan pameran juga tidak tersusun dengan rapi (selain banyak ruang yang telah kosong tanpa barang di dalamnya lagi).

Pameran sumbangan tokoh perubatan.

Specimen bayi kembar siap (berbungkus separa).

Keadaan muzium ini amat mengejutkan kerana ianya dibawah penjagaan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sendiri, iaitu badan professional yang berkredibiliti tinggi. Berkeadaan sedemikian ia sepatutnya ia ditutup sementara kepada orang ramai, kerana ia jelas sekali menjatuhkan kredibiliti mereka sebagai badan professional. Walaupun ia sememangnya tidak dikunjungi (kerana tidak diketahui lagi kewujudannya) – ia masih lagi berkeadaan “hidup segan, mati tak mahu”.

Apa yang diharapkan adalah muzium ini dapat menampilkan bahan dan pameran sesuai seperti tercatat di dalam Visi dan Misi mereka iaitu:

Visi: Dikenali sebagai destinasi Pelancongan yang unggul di Dunia dan memberi sokongan padu dalam pemberian maklumat terkini khususnya dalam Penyelidikan Bioperubatan.

Misi: Mempromosikan Muzium sebagai destinasi koleksi Fauna dan Flora yang terunggul di Rantau Asia, mempamerkan hasil penyelidikan dari Pusat dan Unit di Institut Penyelidikan Perubatan serta memberi khidmat sokongan yang bermutu.

Ruang dalam muzium yang hambar.

Plat "Jabatan Warisan Negara' sebagai tanda kepercayaan/harapan.

Muzium ini amat penting dalam memupuk pengetahuan orang ramai mengenai penyelidikan kesihatan. Malah ia mungkin membantu orang ramai dalam menjaga kesihatan apatah lagi tentang bahaya penyakit menular seperti SARS, J.E., Ebola (yang mungkin tidak menyerang negara ini), taun, malaria, dengi dan lain-lain.

Ia sepatutnya menggambarkan kecemerlangan IMR dan juga KMM seperti yang sering dipaparkan di dada akhbar atau yang dihebahkan di kaca TV, kerana ia bagaikan penyimpan rekod bagi rujukan orang ramai bagi kedua-dua institusi yang diwakili oleh muzium ini.


Adalah diharap muzium ini dapat dihidupkan semula dan diberikan perhatian yang cukup agar dapat memberikan khidmat sesuai dengan tujuan penubuhannya. Maka dengan itu ia akan memberikan manfaat kepada orang ramai sebagai pusat rujukan mengenai perkara-perkara berkaitan kesihatan di negara kita.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...