Isnin, 24 Ogos 2015

Taxidermist Antara Seni Dan Pendidikan

Pakar taxidermist dapat memastikan hasil yang kelihatan sama seperti haiwan asal.

Taxidermy (berasal dari perkataan Greek yang bermaksud penyusunan kulit) merupakan seni pengawetan binatang kebiasaannya dari jenis vertebrata (vertebrate) untuk tujuan pameran. Pameran bahan awetan binatang-binatang ini bertujuan untuk bahan pendidikan, pameran di muzium atau dahulunya digunakan oleh pemburu untuk menyimpan hasil buruan mereka. Pengawetan juga adakalanya digunakan oleh pemilik binatang peliharaan sendiri oleh tuan mereka apabila ia mati.

Taxidermi merupakan saru kaedah penting bagi menyimpan specimen binatang terutama yang hampir pupus sebagai rekod. Kebanyakan haiwan yang diawet biasanya adalah haiwan-haiwan dari zoo yang telah mati, haiwan yang mati akibat kemalangan dan sebagainya. Penyimpanan ini dapat memastikan ia masih boleh dikenali oleh generasi akan datang atau mereka yang tidak berpeluang untuk melihatnya di habitat yang asal.

Teknik pengawetan ini juga sebenarnya merupakan teknik yang berubah dari semasa ke semasa mengikut bahan-bahan yang terdapat bagi seseorang pakar taxidermy (dikenali sebagai taxidermist). Malah antara teknik pengawetan terawal dikatakan bermula dari Mesir lagi iaitu melalui proses pengawetan ‘mummy’.

Proses pemindahan kulit ke badan gantian.

Proses pengawetan haiwan adalah bermula dengan pengasingan kulit yang merupakan bahan yang diawet. Kulit perlu diasingkan dengan cermat supaya tidak rosak dan bulu-bulu pada kulit tersebut tidak tertanggal. Bahan-bahan yang digunakan juga perlu dikenal pasti bagi mengelakkan sebarang kemalangan semasa mengendalikannya – kebanyakan bahan kimia yang digunakan mungkin boleh mendatangkan kemalangan yang serius kepada pengendali bahan tersebut.

Sementara kulit diproses, badan gantian perlu disediakan. Badan gantian ini perlulah bersaiz sama dengan haiwan asal yang ingin diawet. Daging dan isi dalam haiwan tersebut perlu dibuang kerana ia akan mereput dan rosak. Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain seperti mata haiwan tersebut perlu diganti dengan mata palsu yang menyerupai mata haiwan tersebut. Tulang mungkin boleh digunakan – atau dijadikan bahan pameran untuk tulang. Badan gantian disediakan dengan pelbagai bahan, samada plastik, kayu, polistrine ataupun gentian kapas dan sebagainya.


Ikan mempunyai kulit yang nipis.
Specimen yang diawet dengan baik sebagai bahan pendidikan/pameran.

Proses berikutnya adalah mengalihkan kulit kepada badan gantian tersebut. Ia perlu dilakukan dengan cermat bagi memastikan ia kelihatan seperti haiwan yang masih hidup. Proses akhir kemasan adalah memastikan bulu dan kesan-kesan pemindahan kulit dapat ditutup dengan kemas. Seorang taxidermist yang mahir, mampu menghasilkan pengawetan yang seakan-akan haiwan tersebut masih hidup.

Proses pengawetan mungkin berbeza antara satu haiwan dengan haiwan yang lain, terutamanya ikan. Ini kerana ikan mempunyai kulit yang agak nipis dan warnanya akan hilang apabila ditanggalkan dari isi dalamnya. Namun kaedah pengawetan yang telah dilakukan sejak berzaman ini semakin baik dan dapat menghasilkan hasil yang jauh lebih baik berbanding dahulunya. Maka hampir setiap kumpulan haiwan mampu diawet dan dipamerkan dengan baik.


Pengawetan haiwan yang dilakukan dengan baik (secara terkawal) dapat memastikan haiwan tersebut dapat dikenali dan dipelajari (supaya ia dapat dipelihara dengan lebih baik). Ini kerana bukan semua haiwan dapat dipelihara di zoo untuk tatapan semua. Tujuan pameran haiwan juga bukanlah untuk tontonan semata melainkan untuk dikenali dan dihormati sebagai sebahagian daripada penghuni alam. Kita berkongsi kawasan tempat tinggal kita dengan haiwan-haiwan yang lain dan saling mempunyai kaitan antara satu sama lain. Jadi, mengenal dan memelihara merupakan kaedah terbaik untuk memastikan keadaan yang seimbang.




Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog