Saturday, December 19, 2015

Keajaiban Tasik Baikal Russia

Tasik Baikal yang membeku pada musim sejuk.

Tasik Baikal (Lake Baikal: Russian: о́зеро Байка́л, tr. Ozero Baykal) merupakan sebuah tasik air tawar yang terletak di Selatan Siberia, di antara Irkutsk Oblast dan juga Buryat Republic. Ia merupakan tasik air tawar yang terpaling dalam di dunia dan mempunyai isipadu air yang paling banyak. Tasik ini telah diwartakan sebagai “UNESCO World Heritage Site” pada tahun 1996 menandakan ianya sebagai salah satu lokasi penting bagi penduduk dunia.

Tasik ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan keunikan dari segi geologi, flora dan faunanya, malah ia turut dikelilingi dengan aktiviti manusia yang mempengaruhi keadaan di tasik tersebut. Oleh kerana ia merupakan tasik air tawar terdalam, ia juga dihuni oleh flora dan fauna yang amat unik yang hanya terdpat di tasik ini – antaranya adalah singa laut air tawar  ‘Baikal seal’ atau ‘nerpa’ (Pusa sibirica).

Tasik Baikal dari angkasa.

Persekitaran tasik yang amat cantik.

Tasik ini terbentuk daripada pergerakan kerak bumi (Baikal Rift Zone) yang bergerak dari antara satu sama lain. Ini menghasilkan sebuah tasik yang berukuran 636 km (395 mi) panjang dan 79 km (49 mi) lebar yang menghasilkan tasik berkeluasan 31,722 km2 (12,248 sq mi) seterusnya merupakan tasik air tawar yang paling luas di Asia. Ia juga mempunyai kedalaman sehingga 1,642 m (5,387 ft). Pergerakan kerak bumi di sini masih lagi aktif dan menyebabkan tasik ini melebar pada ukuran 2 cm (0.79 in) setahun.

Persekitaran tasik ini dipenuhi dengan gunung ganang. Manakala terdapat sejumlah 330 buah sungai yang mengalir ke dalamnya antaranya adalah  Selenga River, Barguzin River, Upper Angara River, Turka River, Sarma River, dan juga Snezhnaya River. Manakala hanya terdapat satu sungai yang mengalir keluar darinya iaitu Angara River. Walaupun ia mempunyai kedalaman yang menakjubkan, air di Tasik Baikal mempunyai kandungan Oksigen yang lebih baik berbanding dengan kawasan-kawasan lain seperti di Lake Tanganyika ataupun di Black Sea.

Anjing laut air tawar yang unik di Baikal.

Haiwan yang terdapat di sekitar tasik.

Amphiphod yang terdapat di dalam Tasik Baikal.

Oleh kerana ia terletak jauh di utara, sebahagian besar tasik ini akan diliputi oleh ais pada musim sejuk. Namun begitu ia turut dilengkapi dengan lebih daripada 1,000 spesis tumbuh-tumbuhan dan 2,500 spesis haiwan (yang berjaya dikesan setakat ini). Apa yang menariknya lebih daripada 80% hidupan di sini adalah unik (endemic) bagi Tasik Baikal sahaja.

Terdapat sekitar 60 spesis ikan di sini dan lebih daripada setengah daripada jumlah itu merupakan spesis yang hanya terdapat di sini antaranya adalah kumpulan ikan dari family Abyssocottidae, Comephoridae, Cottocomephoridae dan lain-lain lagi. Ia merupakan ikan-ikan yang tinggal sehingga ke dalam antara 100 – 500 m  (330–1,640 ft). Ikan-ikan ini turut menjadi sumber makanan bagi penduduk di persekitaran tasik antaranya adalah dari spesis omul (Coregonus migratorius) yang juga merupakan spesis endemic di sini. Ikan-ikan ini akan ditangkap dan diasap untuk memastikan ia boleh disimpan dalam jangkamasa yang lebih lama.

Selain daripada hidupan-hidupan bersaiz besar (vertabrate), spesis-spesis tasik ini juga kaya dengan hidupan invertabrate yang unik. Epischura baikalensis merupakan spesis zooplankton endemic kepada Tasik Baikal yang juga membentuk 80 – 90% biomass di sini. Ia juga kaya dengan hidupan lain yang terdiri daripada cacing turbellarian, siput-siput dan  krustasia amphipod. Kumpulan aphipod ini pula terdiri daripada 350 sub-spesis yang juga endemic bagi tasik ini.

Disebalik keunikan flora dan fauna di tasik ini, aktiviti kehidupan manusia juga terus berkembang di persekitarannya. Peredaran zaman menunjukkan banyak peristiwa berlaku di persekitaran tasik ini dan direkodkan semenjak zaman Dinasti Han lagi iaitu sekitar abad ke-2 BC. Mereka menggelarkan tasik ini sebagai “laut luas” (hanhai). Manakala masyarakat Kurykans, iaitu antara puak Siberian yang mendiami persekitaran ini pada abad ke-6 menamakan tasik ini sebagai “much water” (air yang banyak). Kemudiannya nama ini ditukar kepada “natural lake” (Baygal nuur) oleh masyarakat Buryat dan “rich lake” (Bay göl) oleh masyarakat Yakuts – iaitu antara puak terbesar tinggal di persekitaran tasik ini.

Tasik Baikal pada musim sejuk.

Listvyanka antara bandar di pinggir tasik.

Keretapi yang melewati kawasan Tasik Baikal.

Kawasan ini terus menjadi sebagai salah satu laluan penting bagi manusia apabila ia menjadi laluan bagi Ivan Pakhobov pada 1644 dalam perjalanan dari Angara ke Baikal. Menjelang 1647 beliau sekali lagi menggunakan lalun ini untuk menziarahi  'Tsetsen Khan' berhampiran Ulan Bator. Daripada peristiwa peristiwa tersebut, kawasan dan lalun ini terus menjadi sebagai sebahagian laluan penting bagi aktiviti manusia.

Menjelang 1896 dan 1902 laluan keretapi  Trans-Siberian Railway di bina di sekitar Barat Daya tasik ini memerlukan 200 jambatan dan 33 terowong. Laluan ini kemudiannya menjadi laluan penting bagi pengangkutan di antara Baikal ke Mysovaya. Kawasan ini kemudiannya menjadi sebahagian kawasan dalam pertikaian antara Czechoslovak legion dan juga  Red Army pada tahun 1918. Oleh kerana permukaan tasik yang beku pada musim sejuk, ia boleh diseberangi dengan berjalan kaki. Namun ia juga merupakan risiko paling tinggi dan kematian boleh berlaku seperti apa yang berlaku kepada sekumpulan tentera Russia yang cuba menyeberangi tasik ini pada 1920.

Vladimir Putin adalah antara manusia yang menyertai aktiviti menyelam tasik ini.

Kapal Selam Mir-1 yang digunakan untuk selaman.

Kawasan persekitaran Baikal terus menjadi tumpuan penting untuk tujuan kajian dan juga ekonomi. Pada tahun 2008, dua kapal selam Mir-1 dan juga Mir-2 dihantar untuk meneroka tasik ini sehingga kedalaman 1,592 m (5,223 ft) untuk menjalankan kajian geologi dan biologi.  Antara kajian lain yang telah dijalankan di sini adalah dalam kajian mengenai ‘neutrino’ yang dijalankan di “Baikal Deep Underwater Neutrino Telescope (BDUNT)” semenjak 1993 lagi.

Pembangunan di persekitaran Baikal terus berkembang dan Rosatom (Rosatom State Atomic Energy Corporation) bercadang untuk membina makmal berhampiran kawasan ini bersempena dengan pelan uranium antarabangsa dan juga melabur sekitar $2.5 billion di kawasan tersebut dan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan di Bandar Angarsk.


Begitulah sebahagian keunikan perkara yang berlaku di persekitaran Tasik Baikal, antara keunikan alam yang menakjubkan. Mungkin selama ini kita kurang mendapat pendedahan mengenainya. Walaupun pembangunan persekitaran kawasan tersebut tidak dapat dielakkan, adalah diharap supaya kita sempat mempelajari tentang keunikan dan kelebihan ekosistem di sana dan lebih menarik lagi sekiranya ia dapat dipelihara dengan selamat untuk kebaikan semua pada masa akan datang.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...