Sunday, December 13, 2015

Sumbangan Dunia Manga

Populariti manga buka sekadar di Jepun, malah ke seluruh dunia.

Manga (漫画 Manga) atau komik Jepun merupakan antara bahan bacaan popular bukan sahaja bagi golongan kanak-kanak, malah bagi golongan remaja dan dewasa. Malah kepesatan dunia manga turut menjadikan ianya sebagai salah satu media penting bukan sahaja untuk tujuan hiburan, malah adakalanya berunsur pendidikan bagi orang ramai.

Kepesatan dunia manga ini juga turut menjadi penyumbang ekonomi bagi negara matahari terbit itu sehingga berjaya menyumbang sehingga  $3.6 billion pada tahun 2007 dan angka ini terus meningkat pada tahun 2009 iaitu $5.5 billion. Penjanaan ini bukanlah hanya membawa kebaikan bagi negara asal manga ini sahaja, malah turut memberi peluang kepada negara-negara lain untuk proses penerbitan semula dan proses alih bahasa.

Komik-komik majalah Malaysia, suatu masa dahulu.

Kini majalah dengan style 'Manga', lebih diminati.

Industri manga menjadikan para kartunis manga (mangaka) sebagai salah satu kerjaya penting, malah di negara kita juga pelopor komik-komik manga ini semakin mendapat tempat – dengan pertambahan bilangan pelukis manga tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa. Bukan sekadar bakat semata, seorang pelukis manga perlu mempunyai bakat dalam melukis, kreativiti tinggi dalam mereka karater manga, jalan cerita yang menarik, malah mereka juga memerlukan kebijaksanaan bagi memastikan manga yang dihasilkan mempunyai kualiti yang menarik minat pembaca.

Di negara kita majalah seumpama manga juga semakin mendapat perhatian seperti Gempak startz, Utopia, dan Kreko yang menggantikan komik-komik klasik malaysia seperti Gila-gila, Ujang, Gelihati, Batuapi yang pernah menjadi suatu majalah kegemaran ramai suatu masa dahulu. Itu bukan bermaksud dunia komik tanahair tiada masa depan, tetapi lebih kepada bagaimana ianya diselenggarakan selain daripada persembahannya.

Kemunculan bakat-bakat pelukis komik (manga di dalam Bahasa Jepun) Malaysia semakin bertambah baik. Malah dengan kepesatan dunia pehubungan internet juga membolehkan artis-artis komik Malaysia menyumbangkan bakat mereka di dalam dunia komik antarabangsa. Kerjaya ini semakin mendapat perhatian serius golongan muda. Manakala di persada antarabangsa pula kerjaya yang sama telah menghasilkan banyak siri animasi dan filem yang diadaptasi daripada komik/manga pada asalnya.

Manga mempunyai fungsi yang amat unik di Jepun. Iaitu dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya (terutama golongan kanak-kanak). Melalui manga-manga ini dan juga anime, budaya Jepun diberikan keutamaan bagi membantu generasi muda Jepun mengenali dengan lebih mendalam jatidiri mereka. Sebagai contoh yang paling mudah dilihat adalah melalui siri manga terkenal Doraemon yang mula dihasilkan pada tahun 1969 yang merupakan salah satu siri manga paling penting di Jepun yang pada mulanya menyasarkan kepada golongan kanak-kanak pra-sekolah sehinggalah kepada para pelajar di tahap-4.

Dragon Ball, siri manga yang amat panjang.

Doraemon, menjadi manga penting dalam mendidik masyarakat Jepun.

Namun kejayaan siri Doraemon ini bukan sekadar mendidik rakyat Jepun mengenai budaya mereka, malah ia kemudiannya turut mendapat sambutan hebat dari seluruh dunia. Keunikan jalan ceritanya pula, menjadikan siri kartun (manga) Doraemon, sebagai salah satu siri yang bukan sahaja mendidik mengenai kebudayaan Jepun, malah kemajuan dunia teknologi masa akan datang (iaitu menggalakkan kanak-kanak mempunyai imaginasi mereka sesuatu yang baru). Kejayaan Doraemon inilah juga yang menyemarakkan lagi penghasilan manga-manga berikutnya seperti Dragon Ball, Sailor Moon, Detective Conan, Macross, Gundam, Akira, Slam Dunk, Ultraman dan sebagainya sehinggalah kepada  manga-manga yang lebih moden seperti Naruto, Bleach, One Piece dan lain-lain.

Manga dilihat mempunyai pengaruh ke atas para peminat dan juga orang ramai dari pelbagai golongan umur. Malah selain daripada penghasilan animasi (anime), produk-produk berasaskan sesuatu manga juga turut menjadi buruan peminat. Adakalanya, watak-watak kegemaran daripada sesuatu manga/anime digunakan bagi mendidik orang ramai bagi satu-satu kempen tertentu. Jadi di Jepun, pengaruh manga digunakan sepenuhnya lebih daripada hanya sekadar bahan hiburan. Semoga ia juga memberi impak yang  sama kepada negara kita di masa akan datang.


Bagi peminat-peminat manga, anda boleh mendapati manga kegemaran anda secara online dari comics directory.




Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...