Saturday, March 12, 2016

1001 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Garam



Garam banyak kegunaannya selain untuk kesihatan manusia.


Garam atau nama kimianya adalah sodium chloride (NaCl), merupakan antara bahan yang paling mudah didapati hari ini. Namun suatu masa dahulu ia merupakan antara bahan penting yang sukar diperolehi dan menyebabkan manusia memburunya. Beberapa kerajaan lama melibatkan diri dalam peperangan hanya disebabkan garam dan yang lainnya pula meninggikan cukai bagi bahan penting ini.

Walaupun terdapat pelbagai jenis garam di dalam badan manusia, namun garam biasa (NaCl) merupakan garam yang paling utama. Bagi seorang manusia yang sihat, kandungan garam di dalam badan seseorang adalah sekitar 0.4 peratus daripada berat badannya. Ini bermakna bagi seseorang yang mempunyai berat 50 kg, akan mengandungi sekitar 200 gram garam pula – kira-kira 40 sudu teh. Oleh kerana garam ini akan hilang semasa semasa proses perpeluhan dan apabila kita membuang air, maka ia perlu diganti semula.

Garam amat penting kepada kesihatan manusia, namun ia juga boleh mengundang bahaya. Oleh kerana hari ini garam boleh didapati dengan mudah seperti juga gula, ia banyak digunakan di dalam makanan diproses sebagai bahan yang sedikit berbeza seperti  (sodium bicarbonate) dan juga MSG (monosodium glutamate).


Melombong garam dari tasik garam di Turki.
Lombong garam lama di Peru, semenjak zaman Inca.

Menghasilkan garam di Bo Kluea, Daerah Nan, Thailand.

Garam memastikan fungsi saraf dapat berjalan dengan baik, selain mengawal kepekatan darah. Garam bertindak sebagai elektrolit (electrolyte) untuk membolehkan isyarat-isyarat penting dihantar dalam mengawal keseimbangan dan tindakbalas badan berfungsi dengan baik. Kekurangan garam menyebabkan badan mempunyai tindakbalas yang lembab dan mungkin mengakibatkan kekejangan otot. Manakala dalam mengawal kepekatan darah pula, garam memastikan jumlah kepekatan air di dalam darah. Jumlah air yang berada di dalam darah mengikut pergerakan garam yang diserap daripada usus daripada makanan yang diambil.

Namun begitu keseimbangan garam di dalam badan amatlah penting. Badan manusia yang sihat akan mengimbangkan kandungan garam dengan beberapa cara seperti berpeluh dan juga melalui air kencing.

Kegunaan Garam

Namun garam bukan hanya  digunakan sekadar campuran bahan makanan sahaja. Kegunaan garam kepada manusia merangkumi segala aspek kehidupan harian. Sejak sekian lama garam digunakan untuk proses pengawetan makanan. Kandungan garam yang tinggi boleh mengelakkan pertumbuhan bakteria, kulat dan organisma lain pada bahan makanan yang ingin diawet seperti ikan masin. Ia merupakan kaedah pengawetan makanan yang paling mudah dan antara tertua.

Garam digunakan sebagai bahan untuk mengelakkan air daripada beku di jalan raya di kawasan yang dituruni salji. Air akan membeku pada suhu 0°C atau 32°F akan mengalami penurunan suhu beku apabila ditambahkan garam. Pada kepekatan 10% garam takat bekunya akan menjadi -6°C (20°F), manakala ada kepekatan 20% pula takat bekunya akan turun ke -16°C (2°F).

Garam juga merupakan bahan penting dalam industri untuk menghasilkan ‘caustic soda’ (Sodium hydroxide (NaOH) ) dan juga ‘chlorine’. Di mana bahan-bahan ini pula merupakan bahan penting untuk kegunaan industri lain seperti penghasilan kertas, tekstil, PVC dan plastik,  air minuman, sabun dan pembersih serta pembersih sistem pembentungan. Keperluan dunia untuk Sodium hydroxide ini pada tahun 2004 sahaja adalah sekitar 51 juta ton.


Melombong garam dengan teknik sejatan air laut.

Melombong garam dari lombong bawah tanah.

Garam yang terperangkap di dalam tanah.

Penghasilan Garam

Garam dihasilkan dengan mengeringkan air laut di lombong-lombong garam di seluruh dunia. Namun ada juga mereka yang menghasilkan garam dengan teknik yang lain. Kolam-kolam takungan air laut dibina berhampiran laut untuk membolehkan air disejat dan meninggalkan garam. Garam akan dikumpul dan dibersihkan sebelum diangkut untuk kegunaan manusia.

Selain dari garam yang dikumpul dari sejatan air laut, garam juga dilombong dari lombong garam. Sama juga seperti lombong arang baru, garam dilombong jauh di dalam tanah dengan menggunakan jentera dan peledak (dynamite). Garam lombong ini adalah hasil tinggalan garam yang tertinggal daripada simpanan garam sejak jutaan tahun dahulu.

Selain daripada garam-garam tersebut, garam gunung juga adalah antara garam yang menjadi pilihan manusia. Garam ini pula dikumpul jauh di atas kawasan tinggi pergunungan seperti di Pakistan merupakan batu garam atau halite yang dilombong di Daerah Punjab di Pakistan. Garam gunung ini mempunyai warna yang agak menarik daripada kemerahan, merah jambu dan gabungan kristal putih dan jernih. Garam gunung ini terdiri daripada sodium chloride (95-98%), manakala turut mengandungi polyhalite sebanyak (2 -3%) dan sekitar 10 lagi mineral yang lain. Warna kemerahan garam ini adalah disebabkan oleh kandungan oksida logam (iron oxide).

Garam gunung (salt rock) dari lombong di Pakistan.

Banyak lagi perkara-perkara menarik mengenai garam untuk diketahui. Namun bagi yang berminat bolehlah melakukan carian yang lebih untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Garam merupakan bahan yang penting untuk kesihatan dalam masa yang sama juga boleh mengakibatkan kematian pada manusia. Sebelum itu mungkin tidak kurang pentingnya untuk anda mengetahui bahawa garam merupakan antara bahan yang tidak mempunyai tarikh luput.


Apakah kegunaan garam pada anda selain untuk dicampur ke dalam makanan?








Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...