Thursday, March 10, 2016

Kini Giliran Pokok Pula Menjana Kuasa Elektrik

Mungkinkah tenaga elektrik suatu hari nanti datangnya dari pokok?

Para pengkaji dan saintis di seluruh dunia terus mengkaji kaedah-kaedah terbaru bagi menghasilkan tenaga elektrik yang lebih bersih. Antara teknik penghasilan yang telah diguna pakai sebelum ini seperti kincir angin, ombak, tenaga solar, geothermal dan hydro-elektrik adalah lagi kaedah lain untuk menghasilkan tenaga elektrik?

Sudah tentu ada sekiranya kita terus memerhati. Sebagaimana kita ketahui setiap benda mempunyai tenaga masing-masing yang berubah dari satu bentuk ke bentuk yang seterusnya. Malah antara perkara yang selama ini kurang diperhatikan adalah pokok. Bolehkah pokok menjana tenaga elektrik? Ia bergantung pula bagaimana pokok itu dilihat dan diaplikasikan untuk penghasilan tenaga elektrik.

Ohio State University

Ryan Harne

Antara teknik penghasilan tenaga elektrik berkonsepkan pokok yang terbaru adalah yang dihasilkan oleh para penyelidik di Ohio State University menggunakan struktur berbentuk pokok tanpa daun yang menghasilkan elektrik melalui pergerakan bumi (seismic), pergerakan pada bangunan tinggi dan juga gegaran yang dihasilkan oleh kenderaan seperti di atas jambatan.

Setakat ini ia masih dalam kajian dan jumlah kuasa yang dihasilkan dengan teknik ini tidaklah dalam jumlah yang besar. Ia bagaimanapun masih boleh digunakan untuk membekalkan tenaga bagi peralatan-peralatan yang memerlukan tenaga yang kecil. Malah, semua kaedah penjanaan tenaga bermula dalam saiz yang kecil.

Projek ini diketuai oleh Ryan Harne yang mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut di dalam ‘Journal of Sound and Vibration’ mengenai getaran yang melepasi objek berbentuk pokok yang menyebabkan ianya bergerak.

Ia antara liannya adalah untuk memanfaatkan sejumlah getaran yang terdapat banyak disekeliling kita yang dihasilkan secara semulajadi oleh pergerakan bumi (seismic) dan juga dari aktiviti manusia seperti bangunan-bangunan tinggi, jambatan, gegaran oleh kenderaan dan juga pejalan kaki.

Rekaan tersebut juga dikatakan amat ringkas di mana mengikut beliau ianya adalah terdiri dari batang pokok dengan beberapa cabang tanpa daun! Namun tiada gambar disertakan untuk memberikan gambaran mengenai struktur tersebut.

Massachusetts Institute of Technology

Mengukur tenaga elektrik pada pokok oleh para penyelidik dari MIT.

Tenaga elektrik dari kentang.

Berbeza pula dengan kaedah penghasilan tenaga elektrik yang dikaji di Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang mengkaji penghasilan tenaga elektrik terus dari pokok. Melalui kajian mereka pokok didapati boleh menyimpan sehingga 200 millivolt tenaga elektrik. (Millivolt = 1/1000 volt).

Ianya bukanlah seperti penghasilan elektrik menggunakan kentang dan juga elektrod berbeza untuk menghasilkan elektrik (juga menggunakan lemon, anggur dan beberapa jenis buah lagi). Kajian yang dinyatakan ini adalah mengenai tenaga elektrik yang dihasilkan sendiri oleh pokok-pokok secara terus.

Namun begitu untuk membolehkan tenaga ini digunakan, para pengkaji perlu membina penukar penguat (boost converter) yang mampu mengumpulkan tenaga selemah 20 millivot dan menyimpannya untuk menghasilkan tenaga yang lebih tinggi. Menggunakan elektrod alat ini akan dipasang kepada pokok dan mampu mengeluarkan tenaga sehingga 1.1 volts, jumlah yang cukup untuk memberikan kuasa pada peralatan bervoltan rendah (low-power sensor).

Kaedah ini juga tidak menghasilkan jumlah tenaga yang tinggi, namun ia mungkin berguna untuk membekalkan kuasa bagi kawasan-kawasan terpencil dan juga untuk membekalkan kuasa bagi peralatan dalm memantau kes-kes kebakaran hutan ataupun keadaan hutan itu sendiri.

French Artificial Tree

Pokok elektrik yang dihasilkan oleh Jérôme Michaud-Larivière

Pokok kincir angin yang siap dipasang.

Berbeza pula dengan pokok yang dihasilkan oleh para jurutera dari Perancis sebelum ini. Ianya adalah juga kincir angin yang dibentuk menjadi sebuah pokok. Hanya pokok ini mengandungi sejumlah kincir angin yang mempu menjana tenaga elektrik juga untuk kegunaan-kegunaan kecil.

Jérôme Michaud-Larivière yang merupakan pengasas kepada rekaan ini yang mendapat ilham daripada dedaun pokok yang bergerak. Menurut beliau lagi, “tenaga harus datang daripada sesuatu dan diterjemahkan kepada watts”. Ia merupakan ungkapan biasa yang digunakan bagi mereka yang melibatkan diri dalam bidang kejuruteraan.

Namun begitu rekaan beliau juga menitik beratkan fungsi dan efisyensi, kerana rekaan ini mampu berfungsi pada setiap arah angin selain ianya adalah senyap. Ianya boleh berfungsi dengan hembusan angin selemah 4.5 mph (7.2 km/h).  Menurut Michaud-Larivière lagi pokok eleltriknya ini boleh mengeluarkan tenaga yang menguntungkan apabila angin bertiup pada kelajuan purata 7.8 mph (12.5 km/h) dalam tempoh setahun; namun ia belum dibuktikan melalui ujian makmal bebas.

Bagi rekaan ini pula ianya adalah kincir angin biasa yang direka dengan lebih baik. Namun begitu usaha ini juga adalah satu usaha positif dalam menghasilkan tenaga yang lebih bersih. Cuma pokok kincir angin ini bukanlah murah, rekaan ini berharga £23,500 dan mungkin juga akan memerlukan perbelanjaan baikpulih pula nanti.


Ya, bukan mudah untuk menemukan satu-satu kaedah yang baru dalam apa juga lapangan sekalipun. Namun begitu setiap perkara dapat dilihat daripada sekeliling kita, bagaimana alam itu sendiri dipenuhi dengan tenaga yang berubah-ubah. Rekaan yang baik tidak semestinya datang daripada orang-orang yang berpendidikan tinggi sahaja, malah adakalanya ia bermula dari idea yang sangat ringkas. Renung-renungkan. 



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...