Sabtu, 9 April 2016

Bagaimana Pokok Mempengaruhi Cuaca?

Tentu anda dapat bayangkan betapa nyamannya berada di bawah pokok ini.

Kawasan berpokok biasanya memberikan keadaan yang tenang dengan udara yang menyamankan. Sehubungan itu kawasan-kawasan taman dan pusat peranginan biasanya menggunakan pokok-pokok bukan sahaja untuk mencantikkan kawasan tersebut, malah pokok-pokok tersebut turut mempengaruhi keadaan di sesuatu kawasan.

Mungkin kita tidak menyedari bahawa kawasan hutan (yang dipenuhi pokok) hanya meliputi 30% daripada keluasan tanah di bumi. Kawasan-kawasan ini pula terletak terutamanya di beberapa negara seperti United States, Canada, Russia, Brazil, China, Australia, Republik Congo, Indonesia, Peru dan India. Di negara-negara lain keluasan hutan semakin berkurangan.

Kawasan-kawasan hutan di seluruh dunia.

Bukan mudah untuk memulihkan tanah yang telah terdedah.

Selain daripada mempengaruhi keadaan cuaca, pokok-pokok mempunyai pelbagai fungsi kepada manusia sejak sekian lama. Ini termasuk memberikan sumber untuk bahan binaan, makanan, getah, minyak, ubatan, serat dan sebagainya. Pokok-pokok juga merupakan tempat di mana hidupan lain bergantung untuk hidup dalam mendapatkan sumber makanan dan sebagai perlindungan.

Keupayaan pokok untuk mengawal keadaan cuaca dapat dilihat dengan jelas. Jadi, pada skala yang besar, kesannya menjadi lebih ketara. Maka proses pembangunan sesuatu kawasan perlu dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kehilangan pokok secara besar-besaran dalam masa yang singkat. Kehilangan pokok-pokok bukan sahaja menyebabkan tanah terdedah kepada panas matahari. Ia akan menyebabkan hakisan, kehilangan nutrient di dalam tanah dan seterusnya menyebabkan kawasan tersebut menjadi kawasan padang pasir.

Pokok-pokok pada skala besar akan mempengaruhi iklim dan pada masa yang sama turut mempengaruhi keadaan cuaca. Secara kasarnya, pokok-pokok mempengaruhi keadaan ini dengan 3 cara iaitu; menurunkan suhu persekitaran, mengurangkan penggunaan tenaga (untuk penyejukan) dan juga mengurangkan kesan pencemaran di dalam udara.

Transpirasi, proses perpeluhan pada tumbuhan yang membebaskan wap air ke udara.

Penanaman pokok disekitar rumah mengurangkan kos penyejukan.

Bahang panas matahari akan ditapis oleh lapisan-lapisan daun daripada pokok. Ia akan disejukkan lagi oleh wap air yang dibebaskan oleh pokok melalui proses “evapotranspiration”. Iaitu gabungan proses “evaporation” (sejatan) dan juga “transpiration” (transpirasi). Proses ini berlaku sepanjang hari terutamanya apabila terdapat sumber cahaya matahari dan jumlah air yang cukup (yang diserap oleh akar pokok). Oleh kerana wap air ini terlalu halus, maka kita tidak menyedarinya melainkan merasa nyaman sewaktu berada di bawah pokok yang rendang.  Bagi sepohon pokok yang besar sebagai contoh: pohon oak, akan membebaskan sehingga 40,000 gallon air ke atmosfera setahun melalalui proses transpirasi.

Selain daripada membebaskan wap air, pokok-pokok dapat mengelakkan cahaya matahari daripada terus mengenai rumah anda. Ini dapat mengurangkan lagi suhu panas di dalam rumah. Ia juga mengelakkan tiupan angin kuat daripada terus memasuki rumah yang mungkin menyebabkan anda terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa. Kawasan rumah yang dipenuhi oleh pokok-pokok dan rumput pula dapat mengelakkan haba yang dipantulkan daripada permukaan tanah atau bahang daripada permukaan yang tidak ditumbuhi sebarang tumbuhan.


Jadi sekiranya anda ingin memiliki persekitaran yang nyaman dan bersih, pastikan anda menghargai tumbuh-tumbuhan di sekeliling anda. Amat mudah bagi kita manusia untuk memusnahkan sesuatu tumbuhan ataupun hidupan, namun begitu kita tidak mampu untuk menjamin bahawa kita mampu untuk menggantikannya semula. Fikir-fikirkan!






Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog