Tuesday, May 31, 2016

Sains Disebalik Lava Lamp

Lava Lamp menyimpan rahsia sains yang unik.

Tiada apa yang menarik pada Lava Lamp sekiranya anda melihatnya sebagai sebuah lampu. Namun pada penciptaan ‘Lava Lamp’ ini tersimpan prinsip sains yang membolehkan ianya direka sedemikian rupa. Ia adalah berasaskan prinsip sains yang ringkas namun memerlukan sedikit ketelitian bagi memastikan ‘Lava Lamp’ yang dihasilkan memberikan hasil yang memuaskan.

‘Lava Lamp’ direka pada tahun 1963 oleh seorang accountant British iaitu Edward Craven Walker yang juga merupakan pengasas kepada syarikat Mathmos yang mengeluarkan lampu. Keunikan ‘Lava Lamp’ adalah ia mengandungi cecair bewarna yang akan turun dan naik di dalam satu lagi cecair lutsinar yang membolehkan ia diterangi oleh cahaya lampu di bawahnya.

Mungkin ramai yang mengetahui bahawa, lampu yang berada di bahagian bawah ‘Lava Lamp’ memanaskan cecair bewarna dan membolehkan ianya naik ke bahagian atas dan turun semula apabila ianya menyejuk. Walaupun ini adalah benar, namun kesesuaian cecair yang digunakan perlulah tepat bagi memastikan konsep rekaan ‘Lava Lamp’ boleh dicapai.

Terdapat pelbagai rekaan lampu 'Lava Lamp'.

Pergerakan cecair di dalam 'Lava Lamp' disebabkan haba dari lampu.

Dalam rekaan ‘Lava Lamp’ dua cecair berbeza yang digunakan perlu mempunyai ketumpatan yang hampir sama, namun begitu ia juga tidak boleh larut di antara satu sama lain. Walaupun air dan minyak tidak boleh larut antara saru sama lain, namun ketumpatannya adalah terlalu jauh berbeza, jadi ianya tidak sesuai digunakan. Antara cecair yang digunakan antaranya termasuklah air dan juga cecair tanpa warna, tembus cahaya, atau cecair legap daripada gabungan minyak mineral, lilin parafin dan juga  carbon tetrachloride. Kebiasaannya cecair-cecair ini diwarnakan mengikut kesesuaian.

Hari ini Lava Lamp dihasilkan menggunakan cecair yang berbeza-beza mengikut pengeluar malah ia juga turut dihasilkan oleh individu sebagai hobi. Cecair carbon tetrachloride juga tidak digunakan lagi kerana ianya adalah toksid yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia. Malah cecair yang digunakan untuk menghasilkan Lava Lamp juga biasanya menjadi sebahagian rahsia bagi pengeluar-pengeluar yang menghasilkan ‘Lava Lamp’.

Lampu yang digunakan untuk memanaskan cecair di dalam ‘Lava Lamp’ juga adalah penting bagi menentukan masa yang diambil untuk cecair menjadi panas dan bergerak ke bahagian atas lampu. Kebiasaannya lampu pijar berkuasa 25 ke 40 watt digunakan. Ia akan mengambil masa sekitar 45 – 60 minit untuk memanaskan cecair lilin sebelum ianya mampu bergerak ke bahagian atas lampu. Namun begitu, suhu persekitaran juga turut mempengaruhi masa pemanasan ini.

'Lava Lamp' turut dihasilkan oleh peminat hobi.

Pergerakan cecair di dalam 'Lava Lamp'.

Penggunaan lampu ini juga penting, kerana selain memastikan masa yang diperlukan untuk memanaskan cecair di dalam ‘Lava Lamp’ ia juga perlu mengelakkan suhu yang terlalu panas dan menyebabkan lampu pecah/meletup. Jadi pastikan anda tidak menggantikan lampu di dalam ‘Lava Lamp’ dengan lampu yang lain untuk mempercepatkan pemanasannya.


Pergerakan proses pemindahan haba ini berlaku secara perlahan dan menyebabkan ‘Lava Lamp’ merupakan satu proses yang mengambil masa agak lama untuk diperhatikan. Ia mungkin tidak menarik minat semua orang, namun setelah mengetahui akan ‘misteri’ disebalik rekaannya ini, adalah diharap ia tidak lagi dipandang hanya sekadar sebuah lampu hiasan.


Free Download



Monday, May 30, 2016

Lego Permainan Pembinaan Paling Terkenal di Dunia

Kepingan-kepingan asas Lego yang membentuk pelbagai objek.

Lego merupakan permainan pembinaan yang paling terkenal di dunia kerana keunikannya berfungsi. Ia direka oleh seorang tukang kayu bernama Ole Kirk Christiansen (1891–1958) dari Billund, Denmark pada tahun 1932. Boleh dikatakan semua generasi hari ini mengenali Lego walaupun kebanyakan kita tidak pernah bermain dengan Lego yang sebenar.

Lego diminati oleh kerana keupayaannya berfungsi untuk menghasilkan pelbagai bentuk mengikut krativiti pemain. Walaupun hari ini terdapat keluaran yang hanya boleh membentuk model-model tertentu, kepingan lego asal, masih diminati dalam membentuk objek-objek tanpa had. Melalui pelbagai perubahan dalam bidang perniagaan permainan ini, Lego turut membuka taman temanya sendiri. Sehingga kini terdapat 6 taman tema di serata dunia dan satu daripadanya adalah di Nusajaya, Malaysia. Sehingga July 2015, kira-kira 600 billion bahagian Lego telah dihasilkan. Pada Februari 2015 juga Lego menggantikan Ferrari sebagai “jenama paling terkenal di dunia” oleh Brand Finance.

Lego berasal daripada permainan kayu yang mula dihasilkanpada tahun 1932 yang menggunakan nama asal  "Automatic Binding Bricks" dan di patentkan di United Kingdom pada tahun 1939 dan mula dipasarkan pada tahun 1947. Rekabentuk ini kemudiannya diubahsuai mengikut sample yang dihasilkan oleh pengeluaran menggunakan mesin ‘injection-molding’, yang kemudiannya dibeli oleh Lego. Kepingan Lego kemudiannya dihasilkan menggunakan ‘cellulose acetate’.

Hari ini Lego mempunyai bentuk yang pelbagai.

Lego boleh membentuk sebuah replika bandar.

Lego mempunyai moto yang amat menarik iaitu “det bedste er ikke for godt”, yang bermaksud “hanya yang terbaik adalah terbaik” atau boleh juga membawa maksud “yang terbaik masih belum terlalu baik”. Moto yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini diasaskan oleh Ole Kirk untuk menggalakkan para pekerjanya supaya tidak mengurangkan kualiti barangan mereka. Sehingga tahun 1951, barangan permainan plastik merupakan separuh daripada bahan yang dihasilkan oleh Lego yang pada masa itu barangan plastik dikira sebagai barangan yang kurang sesuai untuk peralatan permainan kanak-kanak.

Menjelang 1954, pengurusan Lego mula diambil alih oleh anak kepada  Christiansen iaitu  Godtfred yang juga merupakan bermulanya pengembangan empayar Lego ke pasaran luar. Beberapa pembaharuan dilakukan bagi menjadikan Lego lebih mudah untuk dipadankan (menjadi bentuk-bentuk yang lebih versatile). Pada tahun 1958, Lego mempunyai bentuk modennya namun ianya mengambil masa kira-kira 5 tahun lagi untuk Lego menggunakan material yang lebih baik iaitu polimer ABS (acrylonitrile butadiene styrene). Lego moden kemudiannya dipatentkan pada 28 Januari 1958.

Selain daripada itu Lego juga memperkenalkan Lego Duplo pada tahun 1969 iaitu dengan rekaan yang lebih besar sehingga 2 kali ganda saiz Lego asal untuk menyasarkan kepada golongan kanak-kanak yang masih kecil. Rekabentuk manusia kecil pula mula diperkenalkan pada tahun 1978 yang kemudiannya terus menjadi sebahagian daripada pelengkap kepada set-set Lego yang berikutnya.

Rivendell daripada Lego.

Antara model-model besar daripada Lego.

Lego dikenali kerana permainan ini membolehkan kanak-kanak menerokai potensi kemahiran mereka dalam bidang pembinaan, kreativiti, kognitif dan sebagainya. Boleh dikatakan kebanyakan dari kita mengenali Lego (walaupun ramai juga yang tidak pernah menyentuhnya). Lego bukan sahaja menjadi permainan kanak-kanak malah ia juga melangkaui fungsi asalnya dan menjadi sebahagian daripada kebanggaan masyarakat dunia.

Pada May 2011, Lego menyertai kapal angkasa  Space Shuttle Endeavour, misi STS-134 bersama 13 set Lego menuju ke International Space Station dalam mengkaji kesan mikro-graviti ke atas model yang dihasilkan. Keputusan kajian ini kemudiannya akan dikongsikan bersama dengan sekolah-sekolah sebagai salah sau program pendidikan.

Pada May 2013 pula model terbesar yang dihasilkan menggunakan Lego di pamerkan di New York menggunakan 5 juta Lego untuk menghasilkan saiz sebenar 1:1 model kapal  X-wing fighter. Selain daripada itu Lego juga pernah menghasilkan menara 112 kaki dan landasan keretapi sejauh 4 km (2.5 mi.).

Lego sentiasa menghasilkan keluaran-keluaran terbaru bersesuaian dengan peredaran masa. Malah Lego mempunyai kawalan mutu yang ketat di mana mesin yang menghasilkan kepingan-kepingan Lego hanya mempunyai kadar tolerans sebanyak ± 10 mikrometer sahaja. Ini adalah untuk memastikan setiap kepingan dapat dicantumkan dengan sempurna dan boleh pula ditanggalkan semula.

Perkembangan permainan Lego ini adalah kerana usaha berterusan Lego yang bukan sahaja menghasilkan kualiti barangan yang bermutu malah sentiasa menghasilkan barangan baru yang berdaya saing. Ia juga tidak memandang rendah kemampuan pesaing-pesaingnya. Lego mempunyai kakitangan rekabentuk seramai 120 orang yang terletak di beberapa kawasan seperti di UK, Spain, German dan Japan.

X wing figther yang dihasilkan menggunakan Lego.

Satu daripada 6 Legoland di dunia.

Selain daripada penghasilan permainan dan aktif dalam promosi penghasilan model-model terbesar dan sebagainya. Lego juga mempunyai filem-filem, video games, board games dan pelbagai lagi bidang yang menjadikan ia sentiasa dikenang. Malah hari ini Lego turut menghasilkan “theme park” nya sendiri di beberapa kawasan iaitu yang pertamanya di  Billund, Denmark; yang keduanya terletak di  Windsor, England; yang ketiga dibina di Günzburg, Germany; yang ke-empat adalah di Carlsbad, California; yang kelima pula adalah di  Winter Haven, Florida; dan yang ke-enam terletak di Nusajaya, Malaysia.


Begitulah seba sedikit mengenai keunikan sejarah mengenai permainan yang paling terkenal di dunia iaitu Lego. Bagi mereka yang mampu, bolehlah menjadikan Lego sebagai sebahagian permainan untuk anak-anak mereka atau sebahagian daripada aktiviti keluarga. Ia merupakan antara permainan yang terbukti memberikan banyak kebaikan kepada kanak-kanak dalam membentuk perkembangan yang positif.


Free Download



Sunday, May 29, 2016

Permainan Yang Meningkatkan Minat Anak Anda Kepada Pelajaran

Permainan membantu anak anda memperkembangkan bakat mereka.

Persekitaran dunia moden hari ini jauh berbeza dengan keadaan suatu masa dahulu di mana kanak-kanak banyak berinteraksi dengan dunia luar semasa bermain dan ini membantu merangsang perkembangan otak yang cerdas. Namun hari ini kanak-kanak bergantung dengan permainan-permainan yang disediakan (permainan siap) selain daripada permainan utama iaitu video games.

Sebagai ibubapa ataupun penjaga, menentukan jenis permainan yang betul untuk anak-anak adalah penting. Ini adalah bagi membantu mereka memperkembangkan daya berfikir, kreativiti, membuat keputusan dan sebagainya. Namun tanpa bantuan anda adalah sukar bagi mereka memilih permainan manakah yang boleh memberikan faedah-faedah seperti ini.

Dalam memilih permainan yang sesuai untuk anak-anak anda, pilihlah beberapa ciri utama seperti;

1) Bagaimanakah ia membantu anak anda berfikir dalam menyelesaikan masalah permainan tersebut?

- Permainan seperti Lego merangsang kanak-kanak berfikir dalam menyelesaikan sesuatu rekabentuk yang ingin dihasilkan. Selain itu ia turut merangkumi beberapa faedah yang lain.

- Permainan seperti abacus juga mempunyai faedah yang sama, namun ia memerlukan latihan dan perhatian daripada anda atau individu lain.

Lego antara permainan peransang yang baik.

2) Adakah ia mempunyai kaitan dengan dunia kehidupan seharian terutamanya pendidikan yang merangkumi sains, geografi, astronomi, ekonomi, kreativiti, kognitif dan sebagainya?

- Sesetengah permainan dibina untuk merangsang minat anda terhadap sesuatu bidang kerjaya seperti kedoktoran (set permainan kedoktoran) , astronomi (teleskop), saintis (mikroskop), masakan (set masakan), muzik (peralatan muzik), sukan dan 
sebagainya.

- Sesetengah peralatan permainan lagi dibina menggunakan prinsip-prinsip sains yang boleh meransang minat anak-anak untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut seperti bandul (pendulum), lava lamp, permainan magnet, gyroscope, Magnetic Field Viewer, Super Springy dan macam-macam lagi. Permainan berbentuk ini memerlukan kemahiran anda untuk menerangkan bagaimana ianya berfungsi.

- Permainan-permainan seperti ini merupakan titik tolak menentukan kecenderungan anak-anak anda diperingkat awal. Sebaiknya bentuklah mereka mengikut minat mereka berbanding mengikut kemahuan anda.

Permainan sains dan astronomi.

Permainan yang menguji minda.

3) Adakah ia membantu dalam memberikan faedah-faedah lain seperti sensor motor, keseimbangan dan faedah berkaitan kesihatan?

- Sesetengah peralatan permainan mempunyai faedah lain seperti kesihatan dan fleksibiliti sistem badan. Permainan seperti “roller blade”, “skateboard”, badminton, basikal ataupun peralatan kesukanan yang lain mempunyai faedah seperti ini. Pada masa yang sama peralatan permainan ini turut memberi faedah kepada kemahiran berfikir.

- Bagi permainan seperti ini, ibu bapa dan penjaga perlulah memastikan anak-anak mendapat latihan yang cukup serta mematuhi garis-garis keselamatan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

"Roller blades" memerlukan daya imbangan yang tinggi.

4) Bagaimanakah anda boleh membantu untuk menjadikan permainan tersebut mencapai faedah seperti yang diinginkan?

- Ibubapa atau penjaga perlu memastikan bagaimana permainan-permainana yang dipilih dapat memberikan faedah yang positif kepada perkembangan pendidikan dan pemikiran anak-anak. Ini membolehkan ibubapa atau penjaga memastikan objektif permainan tersebut dicapai.

-  Walaupun ini kelihatan seperti membebankan, namun ia akan lebih menyeronokkan apabila anda sendiri terlibat dengan permainan yang dimainkan oleh anak-anak anda. Secara tidak langsung menjadikan mereka lebih fokus kepada hasil permainan mereka.

- Sesetengah permainan juga memerlukan latihan tambahan seperti muzik dan sukan professional. Ibubapa yang dapat mengesan bakat kecenderungan anak-anak mereka di peringkat awal akan berpeluang membantu mereka mengasah bakat ini diperingkat awal.


"Magnetic globe" - menggunakan prinsip magnetic.

Permainan magnet yang menarik "klikyballs".

Masih terdapat banyak ruang untuk kita memastikan anak-anak kita mendapat hiburan yang berfaedah. Melalui pemantauan dan penglibatan kita dengan lebih aktif memastikan mereka dapat memperkembangkan minat, kebolehan serta bakat mereka. Ia juga memberi peluang kepada anda menerokai sesuatu yang baru sekiranya anda belum pernah terlibat dengan minat mereka tersebut. Ia juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.


Free Download



Friday, May 27, 2016

Makanan Menyihatkan Untuk Otak Anda

Makanan-makanan yang baik untuk otak yang sihat.

Makanan penting untuk memberikan tenaga kepada otak, selain itu terdapat juga zat-zat pemakanan tertentu yang membantu otak untuk berfungsi dengan lebih baik, berkembang dan berfungsi dengan sempurna. Berbeza dengan bahagian-bahagian badan yang lain, otak memerlukan zat pemakanan tertentu selain daripada makanan biasa .

Walaupunbagaimanapun perlu diingatkan zat pemakanan hanyalah membantu otak berfungsi dengan baik, sedangkan pendidikan dan pembelajaran merupakan perkara yang perlu untuk meransang otak supaya boleh berfikir. Pemakanan ini tidak menjadikan anda lebih bijak, namun ia membantu otak anda menjalankan fungsinya dengan lebih lancar. Berikut adalah beberapa zat pemakanan penting untuk otak;

1) Makanan daripada gandum penuh (wholegrains)

Gandum membekalkan kharbohidrat yang menghasilkan tenaga untuk badan. Otak merupakan antara bahagian yang menggunakan tenaga paling banyak, dan tenaga ini perlu dibekalkan secara konsisten untuk menjamin ia dapat berfungsi dengan lancar. Gandum penuh (wholegrains) membebaskan gula ke dalam darah secara perlahan-lahan tidak seperti gandum yang dikisar halus yang membebaskan gula secara mendadak pada masa yang singkat. Ini termasuklah bahan-bahan dihasilkan daripada gandum samada roti, pasta ataupun lain-lain makanan yang dihasilkan menggunakan gandum. Perkara yang sama untuk semua pembekal utama karbohidrat anda seperti beras, jagung, kentang dan sebagainya.

Makanan daripada gandum penuh membekalkan tenaga untuk tempoh yang lama.

Ikan merupakan sumber utama omega-3.

2) Minyak Ikan

Minyak ikan yang penting kepada fungsi otak dikenali sebagai Essential fatty acids (EFAs) dan ianya tidak boleh dihasilkan oleh badan melainkan perlu diperolehi daripada makanan. Antara EFA ini iaitu omega-3 terdapat secara semulajadi di dalam ikan-ikan sebagai EPA dan DHA.  Selain daripada ikan ia juga boleh didapati daripada tumbuh-tumbuhan seperti minyak flaxseed, soya, biji labu, kacang walnut, kacang hitam (black beans) dan kidney beans dalam bentuk ALA (alpha-linolenic acid) yang kemudiannya ditukar kepada EPA & DHA.

3) Blueberries

Kajian daripada Tufts University di United States, mendapati pengambilan blueberries dapat membantu memperbaiki atau melambatkan kehilangan memori jangka pendek. Manakala memori jangka pandek merupakan memori penting sebelum ianya dipindahkan kepada memori jangka panjang.

4) Tomato

Tomato mengandungi lycopene, yang juga merupakan sejenis anti-oksidan yang boleh mengakibatkan kerosakan kepada sel-sel otak sepertimana yang berlaku kepada pesakit-pesakit dementia dan juga Alzheimer.

5) Vitamin-vitamin penting

Beberapa vitamin B – iaitu vitamin B6, B12 dan juga folic acid merupakan antara bahan penting yang mengawal kadar homocysteine di dalam darah. Kadar homocysteine yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan strok, penurunan kognitif dan seterusnya kepada masalah Alzheimer. Kajian terhadap pengidap-pengidap masalah kognitif ini mendapati dengan pengambilan dos tinggi  B6, B12 dan folic acid membantu pengurangan penurunan otak berbanding dengan mereka yang dirawat menggunakan placebo.

6) Blackcurrant

Blackcurrant kaya dengan vitamin C yang turut membantu otak berada dalam keadaan lebih aktif. Blackcurrant merupakan sumber vitamin C terbaik selain buah-buahan lain yang juga kaya dengan vitamin ini. Anda juga boleh memikirkan buah-buahan lain yang kaya dengan vitamin C seperti cili bengala (bell peppers), jambu batu (guava), sayuran hijau gelap (kale), buah kiwi, brokoli, strawberri, tomato, betik (papaya) dan lain-lain lagi.


Vitamin C biasa terdapat di dalam buah-buahan dan sayuran.

Brokoli (broccoli) mengandungi beberapa khsiat penting untuk otak.

7) Biji Labu

Biji labu mengandungi zinc yang penting untuk fungsi memori dan berfikir. Jumlah ini mampu dibekalkan dengan pengambilan segenggam biji labu. Antara makanan lain yang turut kaya dengan zinc termasuklah tiram (oysters), daging dan biri-biri, wheat germ, bayam, kacang gajus (cashews), koko (chocolate), ayam, kekacang (beans, chickpeas), cendawan putih dan lain-lain lagi.

8) Brokoli

Brokoli merupakan sumber penting untuk vitamin K yang dapat meransang fungsi kognitif dan memperbaiki fungsi otak. Brokoli bukan sahaja membekalkan vitamin K malah juga mengandungi banyak khasiat lain yang penting untuk kesihatan seperti vitamin C.

9) Sage

Sage mempunyai reputasi dalam membantu memperbaiki fungsi memori. Walaupun ia lebih dikenali dalam penghasilan untuk menghasilkan minyak essential, sage juga dapat membantu dalam fungsi memori seperti kayu manis dan beberapa bahan yang menghasilkan minyak essential yang lain.

Walnut antara kacang yang baik untuk otak.

10) Kacang (Nuts)

Pengambilan vitamin E penting bagi mengelakkan penurunan fungsi kognitif terutamanya pada golongan berumur. Kacang merupakan sumber penting yang membekalkan vitamin penting ini selain beberapa sayuran hijau yang lain seperti termasuk asparagus, zaitun, bijian, telur, beras perang dan gandum penuh. Kenyataan ini dimuatkan di dalam “American Journal of Epidemiology”.

Senarai di atas adalah sebagai panduan sahaja, dan anda boleh mencari dengan lebih mendalam makanan apakah yang sesuai untuk memenuhi keperluan penting yang diperlukan oleh badan anda. Pada masa yang sama tahap kesihatan anda juga menentukan jenis pemakanan yang perlu diambil. Makanan dari jenis kerang-kerangan (oysters) misalnya perlu diambil dengan berhati-hati kerana takut ianya diternak di kawasan perairan yang tercemar.


Kedua-dua faktor adalah penting iaitu pemakanan dan pembelajaran perlu bergerak dengan seiring. Ini kerana anda tidak akan mendapat prestasi yang baik melalui otak yang tidak mendapat zat pemakanan yang cukup atau dalam keadaan kekurangan tenaga. Manakala pembelajaran pula adalah perkara yang diperlukan oleh otak bagi merangsang perkembangannya dengan aktiviti-aktiviti pemikiran, mensintesis maklumat, merekod, mengingat, mencapai memori dalam memberikan jawapan kepada sesuatu persoalan. Pastikan keduanya berada dalam keadaan seimbang.


Free Download



Tuesday, May 24, 2016

Mengenali Kebaikan Makanan Berasaskan Rumpai Laut

Sup rumpai laut dengan daging dari Korea.

Rumpai laut sudah lama menjadi sebahagian daripada makanan manusia sejak lama dahulu. Namun bagi kita yang tidak tinggal di persisiran pantai mungkin tidak mengetahuinya kegunaannya sebagai sumber pemakanan. Pada masa yang sama kita mungkin tidak menyedari beberapa jenis makanan yang kita nikmati juga adalah sebahagian hasil daripada rumpai laut seperti agar-agar.

Bagi negara-negara seperti Jepun, Korea dan China penggunaan rumpai laut sebagai sebahagian daripada makanan harian adalah tidak asing lagi. Namun begitu rumpai laut juga digunakan di Eropah di begara-negara seperti Iceland, Barat Norway, persisir pantai Atlantik, France, Ireland, Wales dan juga  beberapa bahagian di England, Nova Scotia dan Newfoundland. Ia juga telah lama digunakan oleh orang-orang Māori di New Zealand selain ia juga dijadikan sebagai makan penduduk-penduduk pantai di Malaysia sendiri terutamanya di Sabah.

Selain sebagai makanan rumpai-rumpai laut juga ditanam bagi tujuan mendapatkan sumber  alginate, agar dan carrageenan. Bahan-bahan ini merupakan antara bahan penting digunakan dalam pelbagai industri, termasuk agar yang biasa kita gunakan juga untuk menghasilkan jeli (lebih dikenali sebagai agar-agar).

Toothed Wrack (fucus serratus).

Rumpai laut pelbagai warna.

Penggunaannya sebagai makanan pula lebih terkenal seperti makanan yang digunakan dari Jepun, Korea dan China. Penggunaannya selain daripada digunakan untuk menyediakan sup, ia juga digunankan untuk membalut sushi, snek rumpai laut kering atau sebagai bahan campuran dalam penyediaan makanan. Ia juga turut popular di Philippines dengan menghasilkan sejenis mee dikenali sebagai pancit daripada rumpai laut dan dipelbagaikan kepada pancit canton, pancit luglug, spaghetti atau carbonara dengan pelbagai kebaikan antaranya daripada kandungan kalsium dan magnesium serta iodine.

Rumpai laut telah lama menjadi antara bahan yang digunakan oleh manusia untuk merawat goiter sejak lebih daripada 5000 tahun dahulu. Paavo Airola iaitu penulis buku “Are You Confused?”, menyenaraikan kelp (sejenis rumpai laut) sebagai 1 daripada 10 tumbuhan yang membantu kelenjar badan mencapai tahap fungsinya yang terbaik. Kelebihan ini didapati hampir dalam kesemua rumpai laut iaitu nisbah potassium chloride (iaitu sejenis garam) dan bagi berat kering rumpai laut (kelp), 30% daripadanya adalah potassium chloride.

Bagi melihat contoh kandungan khasiat yang lebih di dalam 100 grams dulse (sejenis lagi rumpai laut) ianya mengandungi; 3.2 grams lemak, 296 miligrams kalsium, 267 miligrams phosphorus, 2,085 milligrams sodium dan 8,060 milligrams potassium. Manakala bagi 100 grams Irish moss (Chondrus crispus) pula mengandungi, 1.8 grams lemak, 2.1 grams serat, 17.6 grams abu (ash), 885 milligrams kalsium, 157 milligrams phosphorus, 8.9 milligrams zat besi, 2,892 milligrams sodium, dan 2,844 milligrams potassium. Seterusnya 100 grams kelp (Phaeophyceae) pula mengandungi, 1,093 milligrams kalsium, 240 milligrams phosphorus, 3,000 milligrams sodium dan  5,273 milligrams potassium.

Itu adalah hanya antara beberapa jenis rumpai laut yang dijadikan contoh daripada banyak jenis lagi rumpai laut yang dijadikan sebagai makanan kepada manusia. Ia sangat kaya dengan mineral-mineral penting yang menjadikan ia salah satu makanan unik untuk kebaikan manusia. Antara rumpai-rumpai laut yang lain adalah;
  • Arame (Eisenia bicyclis)
  • Badderlocks (Alaria esculenta)
  • Bladderwrack (Fucus vesiculosus)
  • Carola (various species of Callophyllis)
  • Carrageen moss (Mastocarpus stellatus)
  • Channelled wrack (Pelvetia canaliculata)
  • Chlorella (Chlorella sp.)
  • Cochayuyo (Durvillaea antarctica)
  • Dulse (Palmaria palmata)
  • Ecklonia cava (Ecklonia cava)
  • Eucheuma
    • Eucheuma spinosum
    • Eucheuma cottonii
  • Gutweed (Enteromorpha intestinalis)
  • Gelidiella (Gelidiella acerosa)
  • Gracilaria
    • Gracilaria edulis
    • Gracilaria corticata
  • Hijiki or Hiziki (Sargassum fusiforme)
  • Hypnea order Gigartinales
  • Irish moss (Chondrus crispus)
  • Kombu (Saccharina japonica)
  • Laver (Porphyra laciniata/Porphyra umbilicalis)
  • Limu Kala (Sargassum echinocarpum)
  • Mozuku (Cladosiphon okamuranus)
  • Nori (Porphyra)
  • Oarweed (Laminaria digitata)
  • Ogonori (Gracilaria)
  • Sugar kelp (Saccharina latissima)
  • Sea grapes or green caviar (Caulerpa lentillifera)
  • Sargassum
    • Sargassum cinetum
    • Sargassum vulgare
    • Sargassum swartzii
    • Sargassum myriocysum
  • Sea lettuce (various species of the genus Ulva)
  • Spiral wrack (Fucus spiralis)
  • Thongweed (Himanthalia elongata)
  • Wakame (Undaria pinnatifida) & Hiromi (Undaria undarioides)


Hidangan pelbagai rumpai laut.

Lagi salad daripada rumpai laut.
Nori, rumpai laut kering yang mudah didapati.

Jadi hari ini walaupun kita tidak tinggal berhampiran pantai dan mengenali rumpai-rumpai laut ini, ianya boleh didapati dengan mudah dalam bentuk yang sedia untuk dimakan. Samada dalam bentuk yang sedia dimakan seperti sup, sushi dan makanan kering. Melalui pengenalan ini bolehlah kita membuat carian lanjut mengenai rumpai-rumpai laut yang boleh dimanfaatkan sebagai salah satu sumber makanan berkhasiat.


Free Download



Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...