Isnin, 30 Mei 2016

Lego Permainan Pembinaan Paling Terkenal di Dunia

Kepingan-kepingan asas Lego yang membentuk pelbagai objek.

Lego merupakan permainan pembinaan yang paling terkenal di dunia kerana keunikannya berfungsi. Ia direka oleh seorang tukang kayu bernama Ole Kirk Christiansen (1891–1958) dari Billund, Denmark pada tahun 1932. Boleh dikatakan semua generasi hari ini mengenali Lego walaupun kebanyakan kita tidak pernah bermain dengan Lego yang sebenar.

Lego diminati oleh kerana keupayaannya berfungsi untuk menghasilkan pelbagai bentuk mengikut krativiti pemain. Walaupun hari ini terdapat keluaran yang hanya boleh membentuk model-model tertentu, kepingan lego asal, masih diminati dalam membentuk objek-objek tanpa had. Melalui pelbagai perubahan dalam bidang perniagaan permainan ini, Lego turut membuka taman temanya sendiri. Sehingga kini terdapat 6 taman tema di serata dunia dan satu daripadanya adalah di Nusajaya, Malaysia. Sehingga July 2015, kira-kira 600 billion bahagian Lego telah dihasilkan. Pada Februari 2015 juga Lego menggantikan Ferrari sebagai “jenama paling terkenal di dunia” oleh Brand Finance.

Lego berasal daripada permainan kayu yang mula dihasilkanpada tahun 1932 yang menggunakan nama asal  "Automatic Binding Bricks" dan di patentkan di United Kingdom pada tahun 1939 dan mula dipasarkan pada tahun 1947. Rekabentuk ini kemudiannya diubahsuai mengikut sample yang dihasilkan oleh pengeluaran menggunakan mesin ‘injection-molding’, yang kemudiannya dibeli oleh Lego. Kepingan Lego kemudiannya dihasilkan menggunakan ‘cellulose acetate’.

Hari ini Lego mempunyai bentuk yang pelbagai.

Lego boleh membentuk sebuah replika bandar.

Lego mempunyai moto yang amat menarik iaitu “det bedste er ikke for godt”, yang bermaksud “hanya yang terbaik adalah terbaik” atau boleh juga membawa maksud “yang terbaik masih belum terlalu baik”. Moto yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini diasaskan oleh Ole Kirk untuk menggalakkan para pekerjanya supaya tidak mengurangkan kualiti barangan mereka. Sehingga tahun 1951, barangan permainan plastik merupakan separuh daripada bahan yang dihasilkan oleh Lego yang pada masa itu barangan plastik dikira sebagai barangan yang kurang sesuai untuk peralatan permainan kanak-kanak.

Menjelang 1954, pengurusan Lego mula diambil alih oleh anak kepada  Christiansen iaitu  Godtfred yang juga merupakan bermulanya pengembangan empayar Lego ke pasaran luar. Beberapa pembaharuan dilakukan bagi menjadikan Lego lebih mudah untuk dipadankan (menjadi bentuk-bentuk yang lebih versatile). Pada tahun 1958, Lego mempunyai bentuk modennya namun ianya mengambil masa kira-kira 5 tahun lagi untuk Lego menggunakan material yang lebih baik iaitu polimer ABS (acrylonitrile butadiene styrene). Lego moden kemudiannya dipatentkan pada 28 Januari 1958.

Selain daripada itu Lego juga memperkenalkan Lego Duplo pada tahun 1969 iaitu dengan rekaan yang lebih besar sehingga 2 kali ganda saiz Lego asal untuk menyasarkan kepada golongan kanak-kanak yang masih kecil. Rekabentuk manusia kecil pula mula diperkenalkan pada tahun 1978 yang kemudiannya terus menjadi sebahagian daripada pelengkap kepada set-set Lego yang berikutnya.

Rivendell daripada Lego.

Antara model-model besar daripada Lego.

Lego dikenali kerana permainan ini membolehkan kanak-kanak menerokai potensi kemahiran mereka dalam bidang pembinaan, kreativiti, kognitif dan sebagainya. Boleh dikatakan kebanyakan dari kita mengenali Lego (walaupun ramai juga yang tidak pernah menyentuhnya). Lego bukan sahaja menjadi permainan kanak-kanak malah ia juga melangkaui fungsi asalnya dan menjadi sebahagian daripada kebanggaan masyarakat dunia.

Pada May 2011, Lego menyertai kapal angkasa  Space Shuttle Endeavour, misi STS-134 bersama 13 set Lego menuju ke International Space Station dalam mengkaji kesan mikro-graviti ke atas model yang dihasilkan. Keputusan kajian ini kemudiannya akan dikongsikan bersama dengan sekolah-sekolah sebagai salah sau program pendidikan.

Pada May 2013 pula model terbesar yang dihasilkan menggunakan Lego di pamerkan di New York menggunakan 5 juta Lego untuk menghasilkan saiz sebenar 1:1 model kapal  X-wing fighter. Selain daripada itu Lego juga pernah menghasilkan menara 112 kaki dan landasan keretapi sejauh 4 km (2.5 mi.).

Lego sentiasa menghasilkan keluaran-keluaran terbaru bersesuaian dengan peredaran masa. Malah Lego mempunyai kawalan mutu yang ketat di mana mesin yang menghasilkan kepingan-kepingan Lego hanya mempunyai kadar tolerans sebanyak ± 10 mikrometer sahaja. Ini adalah untuk memastikan setiap kepingan dapat dicantumkan dengan sempurna dan boleh pula ditanggalkan semula.

Perkembangan permainan Lego ini adalah kerana usaha berterusan Lego yang bukan sahaja menghasilkan kualiti barangan yang bermutu malah sentiasa menghasilkan barangan baru yang berdaya saing. Ia juga tidak memandang rendah kemampuan pesaing-pesaingnya. Lego mempunyai kakitangan rekabentuk seramai 120 orang yang terletak di beberapa kawasan seperti di UK, Spain, German dan Japan.

X wing figther yang dihasilkan menggunakan Lego.

Satu daripada 6 Legoland di dunia.

Selain daripada penghasilan permainan dan aktif dalam promosi penghasilan model-model terbesar dan sebagainya. Lego juga mempunyai filem-filem, video games, board games dan pelbagai lagi bidang yang menjadikan ia sentiasa dikenang. Malah hari ini Lego turut menghasilkan “theme park” nya sendiri di beberapa kawasan iaitu yang pertamanya di  Billund, Denmark; yang keduanya terletak di  Windsor, England; yang ketiga dibina di Günzburg, Germany; yang ke-empat adalah di Carlsbad, California; yang kelima pula adalah di  Winter Haven, Florida; dan yang ke-enam terletak di Nusajaya, Malaysia.


Begitulah seba sedikit mengenai keunikan sejarah mengenai permainan yang paling terkenal di dunia iaitu Lego. Bagi mereka yang mampu, bolehlah menjadikan Lego sebagai sebahagian permainan untuk anak-anak mereka atau sebahagian daripada aktiviti keluarga. Ia merupakan antara permainan yang terbukti memberikan banyak kebaikan kepada kanak-kanak dalam membentuk perkembangan yang positif.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog