Friday, May 13, 2016

Memasak ‘Steak’ Lebih Mudah Dengan Sous Vide

Steak yang dimasak menggunakan kaedah sous-vide kelihatan lebih segar.

Steak merupakan antara makanan yang rumit untuk disediakan memandangkan adalah sukar untuk mengukur masa yang sesuai untuk penyediaannya. Apatah lagi sekiranya ianya jarang disediakan oleh anda. Hasil yang diperolehi mungkin terlebih masak di bahagian luar, namun dalamnya yang masih mentah, selain itu juga steak yang dimasak menggunaakan kaedah biasa adalah lebih kering.

Kaedah memasak ‘sous-vide’, berasal dari Perancis yang bermaksud “di bawah vakum”. Ia bukanlah kaedah baru dan selain digunakan untuk memasak ‘steak’, ia juga boleh digunakan untuk menyediakan hidangan-hidangan lain. Apakah istimewanya kaedah masakan ini?

Memasak dengan kaedah ini, bahan masakan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik yang telah di vakum kan. Ia kemudiannya dimasak di dalam air dengan suhu yang perlahan antara 55 ke 60 °C (131 ke 140 °F) untuk suatu tempoh yang cukup untuk bahan makanan tersebut masak sepenuhnya sehingga ke dalam. Bagi penyediaan ‘steak’, proses berikutnya adalah memanggangnya semula – untuk menjadikan bahagian luarnya lebih garing. Hasilnya, sangat menakjubkan.

Hasil masakan untuk jenis makanan yang berbeza.

Steak yang dimasak secara sous-vide.

Steak yang dimasak dengan kaedah biasa.

Kaedah masakan ini dikatakan bermula lebih awal dengan kaedah pertama diperkenalkan oleh Sir Benjamin Thompson (Count Rumford) pada tahun 1799 yang menggunakan udara panas sebagai medium pengalihan haba kepada makanan. Ia kemudiannya ditemui semula oleh jurutera Amerika dan Perancis pada pertengahan 1960-an sebagai kaedah pengawetan dalam industri makanan. Kaedah ini kemudiannya digunakan oleh Georges Pralus pada tahun 1974 untuk ‘Restaurant Troisgros’ di Roanne, France. Melalui kaedah ini, sejenis makanan yang dikenali sebagai ‘foie gras’, yang dihasilkan kelihatan lebih menarik, selain teksturnya juga lebih baik. Ini kemudiannya diikuti pula oleh beberapa tokoh lagi di dalam bidang masakan dan juga kajian sains.

Apa yang menarik melalui kaedah ini, bahan yang ingin dimasak akan disimpan di dalam bekas plastik dalam keadaan vakum. Keadaan ini membolehkan haba dialirkan dengan lebih baik kepada bahan makanan yang ingin dimasak tanpa mengeluarkan bahan yang terkandung di dalam bahan yang dimasak. Bahan yang dimasak juga tidak akan hangus walaupun ia dimasak dalam tempoh yang lama - ini kerana, ia tidak akan melebihi suhu air yang digunakan seperti yang dinyatakan di atas.

Pelbagai peralatan masakan sous-vide.

Peralatan sous-vide industri.

Kaedah ini adalah antara kaedah yang digunakan oleh chef-chef terkenal seperti; Heston Blumenthal, Paul Bocuse, Michael Carlson, Thomas Keller, Grant Achatz, Ferran Adrià, Joël Robuchon, Philippe Rochat, Alessandro Stratta, Charlie Trotter, Michael Mina, Joan Roca dan ramai lagi. Amtrak juga menggunakan kaedah ini untuk hidangan yang dihidangkan di dalam keretapinya termasuk Acela Express.

Hari ini peralatan memasak teknik ‘sous-vide’ banyak dihasilkan untuk memudahkan orang ramai menghasilkan makanan mereka menggunakan kaedah ini. Apa yang penting adalah kefahaman bagaimana teknik ini berfungsi kerana terdapat banyak sekali variasi peralatan memasak ‘sous-vide’ dihasilkan samada berbentuk ‘slow cooker’, ataupun sebagai alat pemanas sahaja. Dibantu pula dengan teknologi elektronik dan komputer peralatan ini turut dilengkapi dengan pelbagai fungsi tambahan.

Walaupun ia merupakan kaedah baik dalam masakan, namun bagi mereka yang ingin menyediakan makanan dengan teknik ini perlulah berhati-hati untuk tujuan keselamatan dalam memastikan bahan makanan selamat daripada organisma seperti bakteria dan sebagainya. Bagi mereka yang mempunyai masalah imuniti atau ibu-ibu yang mengandung perlu menyediakan makanan mereka dengan teknik ini dengan lebih behati-hati (kerana suhu yang digunakan adalah lebih rendah).

Tujuan kita kali ini adalah untuk melihat bagaimana sesetengah kaedah memasak perlu dilakukan dengan kaedah yang berbeza disamping mengenali peralatan-peralatan memasak moden yang dilengkapi dengan keistimewaan tertentu. Anda tentu tertanya bagaimana ‘steak’ yang tebal boleh dimasak dengan sempurna disamping mengekalkan teksturnya - melainkan ianya disediakan menggunakan teknik yang berbeza.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...