Selasa, 14 Jun 2016

Kaedah Penyediaan Kopi Yang Unik

Antara peralatan penyediaan kopi - Belgium Royal Cofee Siphon.

Masih lagi berkisar mengenai tajuk kopi memandangkan ianya adalah antara minuman kegemaran ramai. Kali ini kita melihat pula kaedah-kaedah beberapa penyediaan kopi yang unik, dari yang ringkas kepadalah yang agak ‘extreme’, dan mungkin tidak sesuai untuk kegunaan persendirian (selagi anda bukan peminat fanatik).

Penyediaan kopi yang paling kritikal adalah pada peringkat rendaman/rebusan (brewing) yang akan memindahkan aroma kopi kepada air yang akan digunakan untuk menyediakan kopi. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan di serata dunia mengikut masyarakat dan budaya. Ia juga mengikut kesesuaian keadaan dan hidangan kopi yang ingin disediakan. Jadi tanpa berlengah lagi mari kita lihat beberapa kaedah tersebut.

Turkish Cezve

Cezve digunakan untuk menyediakan Turkish Coffee.

Merupakan antara peralatan yang paling popular dalam menyediakan kopi Turkey (Turkish coffee) ringkas diperbuat daripada pelbagai bahan samada tembaga atau gangsa dan adakalanya turut diperbuat daripada perak dan emas. Cezve moden pula mungkin diperbuat daripada bahan-bahan yang lebih mudah seperti stainless steel, aluminium ataupun seramik. Ia berbentuk cawan dengan pemegang yang sedikit panjang bagi mengelakkan panas air dari minuman yang disediakan. Manakala Bosnia dan Herzegovina, Serbia, Croatia, Slovenia serta Czech Republic ianya merupakan teko bertangkai panjang yang dieja dengan ejaan "džezva". Di tempat-tempat lain pula ia dipanggil ‘ibrik’, seperti di US dan juga di Romania sebagai nama yang dipinjam dari perkataan Tengah Parsi yang bermaksud āb "air", dan riz "cawan".

French Press


French Press mudah digunakan (bahagian pada French Press).

Cara penggunaan French Press.

French Press merupakan satu lagi kaedah mudah penyediaan kopi kerana tidak memerlukan kerja-kerja yang rumit. Ia merupakan sebuah bekas yang mempunyai jejaring halus yang akan memerangkap kopi sebelum ia dihidangkan. Ia juga mempunyai nama-nama lain seperti cafetière, сafetière à piston, Cafeteria, press pot, coffee press, atau coffee plunger. French Press dipatenkan oleh pereka Itali, Attilio Calimani pada tahun 1929.

French Press masih bertahan sehingga ke hari ini kerana ia merupakan satu peralatan yang mudah digunakan. Hari ini ia diperbuat menggunakan kaca tahan panas dan bahan keluli tahan karat (stainless steel), yang memudahkan anda memerhatikan proses penyediaan kopi yang dilakukan. Ia sesuai untuk menyediakan kopi dalam jumlah yang kecil dan sederhana mengikut saiz bekas French Press tersebut.

Clever


Clever juga mudah digunakan untuk saiz penyediaan kecil.

Clever merupakan satu lagi contoh penyediaan kopi dengan kaedah yang ringkas. Clever secara kasarnya berfungsi seperti corong namun menyediakan kemudahan rendaman kopi sebelum ianya dituangkan ke dalam cawan ataupun teko hidangan. Cuma anda perlu menggunakan kertas tapisan untuk menapis serbuk kopi yang direndam di dalam clever. Ia juga sesuai untuk menyediakan kopi untuk pada jumlah yang kecil dan sederhana.

Vietnamese Filter


Vietnamese filter, mudah digunakan.

Sesuai sebagai antara pengeluar penting kopi, Vietnam mempunyai peralatan khas mereka sendiri yang dikenali sebagai Vietnamese Filter. Ia bagaikan sebuah bekas kecil yang berfungsi seperti juga ‘clever’, namun mempunyai alat penapisan sendiri. Vietnamese Filter ini biasanya diperbuat daripada logam seperti stainless steel ataupu loyang.

Kaedah menggunakannya juga adalah hampir menyamai ‘clever’, dimana ia akan diletakkan di atas cawan atau bekas menampung kopi yang telah siap. Kopi akan diletakkan di dalam ‘filter’ tersebut dan dituangkan air panas di dalamnya. Ia akan ditutup untuk memelihara panas air rendaman kopi. Air ini kemudiannya akan menitik turun ke dalam cawan atau bekas untuk menampung di bawahnya.

Siphon


Peralatan penyediaan kopi syphon.

Siphon juga merupakan sebahagian kaedah penyediaan kopi yang dikenali sebagai teknik vakum. Menggunakan dua bekas iaitu untuk air dan satu lagi untuk kopi di bahagian atasnya. Air dipanaskan di bahagian bawah akan naik ke atas dan melengkapkan proses rendaman kopi sebelum turun semula ke dalam bekas takungan di bawah apabila tekanan di dalam bekas takungan menurun.

Ia juga dikenali sebagai vac pot, siphon atau syphon coffee maker yang dicipta oleh Loeff dari Berlin pada tahun 1830-an. Namun ia mendapat sambutan dan bertahan agak lama kerana menghasilkan kopi yang baik (tiada serdak kopi) – namun ia juga bergantung kepada penapis yang digunakan diperbuat daripada jaring logam, kain, kertas atau nylon. Antara kelebihan menggunakan teknik ini adalah, air yang digunakan adalah betul-betul panas bagi membolehkan ia menghasilkan tekanan yang cukup untuk ditolak naik ke bahagian atas tangki rendaman.

AeroPress


Bahagian komponen Aeropress.

Kaedah peggunaan Aeropress.

Aeropress merupakan antara kaedah terbaru penyediaan kopi dan ianya juga amat mudah digunakan selain menghasilkan kopi yang boleh dipelbagaikan. Ia dihasilkan pada tahun 2005 oleh Presiden Aerobie iaitu Alan Adler. Seperti juga peralatan yang lain, ia juga menggunakan penapis dan apa yang berbeza adalah, kopi yang telah siap direndam akan ditekan sepertimana picagari (syringe) untuk menolaknya keluar dari bekas rendaman.

Ia menghasilkan kopi yang pekat (namun bergantung juga dengan penapis yang digunakan) dan anda boleh mencampurkannya dengan bahan campuran lain untuk menghasilkan kopi-kopi lain seperti Americano, macchiato, cappuccino, latte dan sebagainya. Aeropress juga merupakan satu lagi peralatan yang mudah digunakan untuk penyediaan kopi dalam jumlah yang kecil.


Terdapat beberapa lagi peralatan yang digunakan untuk menyediakan kopi untuk pengguna domestik yang mempunyai banyak persamaan dengan peralatan seperti yang disenaraikan di atas. Mungkin bagi kebanyakan kita, kaedah yang paling mudah adalah menggunakan penapis logam/nylon seperti juga dalam penyediaan teh. Namun begitu, mengetahui dan mempelajari kaedah baru juga mungkin dapat memberikan anda idea-idea mengapa kopi menjadi minuman yang popular atau begitu digemari. Anda juga mungkin ingin mengetahui lebih lanjut, resepi-resepi minuman kopi yang begitu popular. YA atau TIDAK?






Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog