Sunday, June 26, 2016

Mengenali Lebih Dekat Tumbuhan Wasabi

Daun dan batang wasabi segar.

Wasabi (Eutrema japonicum atau Wasabia japonica) amat terkenal sebagai gandingan makanan Jepun iaitu sushi. Namun begitu oleh kerana pekembangan idustri makanan ini yang begitu pesat, wasabi yang digunakan kebanyakannya bukanlah dari jenis yang asli melainkan bahan gantian yang diperbuat untuk menggantikan wasabi. Jadi bagaimanakah wasabi sebenarnya, dan mengapa ia tidak dihidangkan bersama dengan sushi yang kita nikmati?

Wasabi berasal dari famili tumbuhan Brassicaceae yang juga termasuk kobis, horseradish dan mustard. Wasabi juga sebenarnya dikenali sebagai Japanese horseradish. Horseradish merupakan tumbuhan yang berbeza daripada wasabi, namun ia juga merupakan bahan utama yang digunakan untuk menggantikan wasabi – dengan erti kata lain, wasabi yang kita gunakan untuk sushi di pasaran diperbuat daripada bahan ini. Kedua-dua bahan ini menghasilkan rasa sengit yang amat kuat sehingga meruap ke bahagian hidung berbanding mulut dan lidah seperti cili.

Mengapa Wasabi Sukar Diperolehi?

Wasabi tumbuh berhampiran kawasan anak-anak air dan sungai di kawasan-kawasan lembah di Jepun. Tidak seperti tumbuhan lain, penanaman wasabi perlu dilakukan berhampiran punca air, namun begitu ia tidak ditanam di dalam air seperti teratai. Penggunaan wasabi pada asalnya adalah bertujuan untuk mengelakkan keracunan makanan daripada memakan ikan mentah – dan bukan kerana rasanya yang pedas. Ia dikatakan mula digunakan di daerah “Nara prefecture”, terletak di Selatan Jepun.

Bahagian yang digunakan pada wasabi adalah batangnya walaupun ramai yang menyangka ianya  adalah bahagian akar atau rizom. Ini kerana kesan daun yang ditinggalkan pada batang tersebut dapat dilihat dengan jelas sebelum ianya digunakan.

Penggunaan wasabi segar hanya disediakan apabila ia akan digunakan (dimakan). Ini bermakna ia akan diparut dan digunakan dalam tempoh 15 minit. Rasanya akan berubah selepas tempoh tersebut. Jadi penggunaan wasabi segar bukanlah mudah dan salah satu cara untuk mengekalkan kesegarannya adalah meletakkannya di antara nasi dan ikan bagi megelakkannya daripada terdedah.

Ladang wasabi di Jepun.

Wasabi yang dijual di dalam tiub.
Wasabi di pasaran dihasilkan menggunakan horseradish.

Daun dan bunga horseradish.

Wasabi Tiruan

Wasabi merupakan tumbuhan yang sukar ditanam selain mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh sebab itu wasabi tiruan dihasilkan dengan menggunakan campuran horseradish, mustard, kanji dan bahan pewarna makanan – ia bagaimanapun tetap dilabelkan sebagai wasabi. Horseradish menghasilkan rasa sengit seperti juga wasabi kerana mengandungi bahan yang sama iaitu isothiocyanate. Perbezaan yang paling ketara antara kedua bahan ini adalah warnanya yang lebih terang berbanding wasabi yang mempunyai warna hijau semulajadi.

Wasabi Asli

Wasabi asli kini cuba ditanam di luar Jepun termasuklah di Amerika Utara seperti United States dan juga Canada. Usaha ini adalah kerana wasabi asli mempuyai nilai yang lebih tinggi, rasa yang lebih sedap dan daunnya juga boleh dimakan (dijadikan salad). Walaupun ianya berjaya ditanam, namun ia dikatakan sebagai antara tanaman yang paling sukar untuk ditanam secara komersial (terutama di luar habitat asalnya; Jepun). Harga wasabi segar boleh mencapai sehingga USD160 (£98) sekilogram pada harga borong – merupakan antara tanaman yang memberikan pulangan yang tinggi.

Menurut seorang penanam wasabi iaitu Mr Oates, yang berusaha selama beberapa tahun (6 tahun) hanya untuk mendapatkan benih wasabi yang boleh ditanam. Tumbuhan ini kemudiannya ditanam di dalam rumah hijau di University of British Columbia (UBC), Vancouver yang juga merupakan tempat dimana beliau bertugas.

Tanaman wasabi di Vancouver di dalam rumah hijau.

Wasabi segar mempunyai harga yang tinggi.

Daun wasabi juga enak dijadikan salad.

Cabaran menanam wasabi adalah ianya merupakan tumbuhan yang sensitif kepada kelembapan, penggunaan baja dan sebagainya. Tanaman ini boleh mati pada bila-bila peringkat dengan sebab-sebab yang sukar difahami. Malah ia juga mudah dijangkiti penyakit apabila ditanam dalam kuantiti yang besar. Sehingga hari ini, kaedah tanaman wasabi dapat dihasilkan dengan lebih baik tanpa masalah seperti sebelumnya.

Walaubagaimanapun penanaman wasabi juga memerlukan perbelanjaan yang besar sebelum ianya mendatangkan hasil. Namun begitu Mr Oates turut memberikan bantuan berkenaan dengan kaedah penanaman wasabi dengan pembelian lesen untuk mendapatkan kaedah tanaman ini pada harga $70,000. Manakala pebelanjaan tanaman ini pula adalah sekitar $700,000 untuk setiap ekar. Namun ianya merupakan satu pelaburan yang memberikan pulangan yang setimpal kerana bekalan wasabi amatlah sukar diperolehi.

Jadi sekarang anda tahu betapa pentingnya penggunaan teknologi dalam pertanian. Walaupun sukar ia tidak bermakna tidak boleh dilakukan. Cuma sejauh mana usaha anda menentukan samada ianya akan berjaya ataupun tidak. Bagi anda yang ingin merasai wasabi asli setakat ini mungkin perlu ke Jepun, kerana wasabi segar sukar didapati di luar negara tersebut. Bagi yang berminat cuba menanamnya pula, mulakanlah usaha anda; mungkin suatu hari nanti kita dapat merasa wasabi yang dihasilkan di Malaysia pula.






Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...