Friday, June 3, 2016

Mengenali Siput Dengan Lebih Dekat

Siput, banyak lagi yang perlu kita ketahui.

Siput sejenis haiwan yang bergerak perlahan dan tidak mempunyai kaki dan mempunyai cengkerang. Siput terdiri daripada sekumpulan hidupan yang besar merangkumi siput darat, siput air tawar dan juga siput air masin. Kumpulan ini menjadi lebih besar sekiranya ianya merangkumi kumpulan besarnya yang dikenali sebagai Gastropoda iaitu salah satu daripada kumpulan di dalam kumpulan Moluska (molluscs). Walaupun siput adakalanya dianggap sebagai haiwan perosak, namun siput juga mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan manusia.

Siput merupakan antara sumber makanan penting kepada manusia sejak zaman dahulu lagi daripada tinggalan yang ditemui di gua-gua. Siput sungai dan sebahagian lagi siput paya bakau dan juga siput laut menjadi sebahagian sumber makanan manusia sehingga ke hari ini. Selain daripada menjadi sumber makanan, siput juga adakalanya menjadi sebagai matawang dan sebagai barang perhiasan.

Terdapat pelbagai jenis siput yang tidak kita kenali.

Giant African Snail, siput darat terbesar.

Syrinx aruanus, siput yang paling besar.

Walaupun kebiasaannya hanya siput-siput air yang menjadi makanan, siput-siput juga turut menjadi sumber makanan di beberapa negara lain. Makanan berasaskan siput ini paling terkenal di Perancis dan antara hidangan terkenal adalah Escargot à la Bourguignonne. Malah siput-siput untuk tujuan makanan ini adalah diternak bagi memastikan ianya dapat membesar dengan baik selain mengelakkan siput daripada tercemar (dengan bahan makanan beracun ataupun jangkitan). Selain dari Perancis, siput darat juga terkenal sebagai hidangan di Philippines, Morocco, Nigeria, Algeria, Cameroon, Italy, Portugal, Greece, Bulgaria, Belgium, Vietnam, Laos, Cambodia, Cyprus, Ghana, Malta, Nepal, Barat Daya China, Timur Laut India di Manipur, Tripura dan beberapa bahagian di United States. Siput darat juga menjadi hidangan di beberapa bahagian di Indonesia samada digoreng sebagai satay atau masakan yang dikenali sebagai sate kakul.

Selain daripada sebagai makanan, siput juga berguna di dalam penghasilan krim penjagaan kulit. Siput dari jenis Cornu aspersum menghasilkan cecair yang mempunyai nilai perubatan dalam merawat beberapa masalah kulit seperti kedutan, parut, kulit kering dan juga acne. Ini kerana cecair yang dihasilkan oleh siput ini mengandungi aktiviti anti-oksidan seperti Superoxide dismutase dan Glutathione S-transferase (GSTs). Krim daripada siput ini semakin mendapat perhatian di beberapa bahagian dunia samada di Barat (US) mahupun Timur (Korea).

Terdapat banyak spesis siput dan di Australia sahaja terdapat sekitar 3,000 jenis siput darat dan jumlah ini tentu lebih besar sekiranya digabungakan dengan jenis-jenis siput dari kawasan lain. Selain makanan siput juga turut dijadikan sebagai haiwan kesayangan seperti Giant African Snail. Manakala siput cowrie pula terkenal dijadikan sebagai matawang dan juga sebagai sebahagian bahan hiasan kerana mempunyai kulit yang cantik dan berkilat.

Rawatan kecantikan menggunakan siput.

Masakan Perancis daripada siput.

Makanan siput dari Asia.

Namun disebalik pergerakan siput yang perlahan, sejenis siput yang dikenali sebagai siput ‘cone’ adalah sangat beracun dan mampu membunuh manusia melalui sengatnya. Dari kumpulan siput cone sahaja terdapat lebih daripada 600 spesis yang terdapat di sekitar kawasan Barat Indo-Pacific, dan beberapa spesis lagi di sekitar Afrika Selatan, Medditerranean dan juga Selatan California.

Manakala siput terbesar pula adalah Syrinx aruanus atau lebih dikenali sebagai Australian trumpet atau false trumpet yang merupakan sejenis siput laut yang mampu menjangkau saiz sehingga 91 cm panjang dan berat sehingga 18 kilogram. Walaupun ia terkenal kerana saiznya yang besar, sifat sebenar siput ini masih lagi kurang difahami kerana kurang penyelidikan dilakukan ke atasnya.

Walaupun siput merupakan haiwan perosak, namun banyak lagi perkara yang masih kurang difahami mengenainya. Siput yang dikenali oleh kita adalah terlalu sedikit berbanding jumlahnya yang terlalu banyak. Maka banyak lagi kebaikan siput yang masih belum kita terokai dan tidak sepatutnya kita abaikan. Semoga dengan ini kita akan mempunyai pandangan berbeza terhadap hidupan unik ini dan mengelakkan ianya mengalami kepupusan.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...