Wednesday, July 27, 2016

Jalan-jalan ke Muzium Perak, Taiping

Muzium Perak di Taiping, muzium penuh sejarah.

Muzium Perak terletak di Taiping kerana ia merupakan bandar tertua di Negeri Perak. Ia merupakan sebuah muzium yang sangat bersejarah di negara kita kerana ia merupakan muzium yang pertama didirikan di Malaysia pada tahun 1883 dengan saranan daripada Residen British di Perak pada ketika itu iaitu Sir Hugh Low. Semenjak dari pembinaannya, bangunan ini terus ditambah bagi memberikan ruang kepada ruang pameran yang lebih besar.

Semasa pembukaannya kurator yang ditugaskan untuk menjaga muzium ini adalah Leonard Wray Jr. yang merupakan seorang yang mahir dalam bidang botani dan geologi. Sebagai muzium yang pertama, ia menjadi satu contoh yang baik untuk penubuhan muzium-muzium yang berikutnya yang menyediakan bahan-bahan pendidikan bagi masyarakat setempat. Ia sedikit sebanyak mengajar masyarakat kita untuk menghargai kekayaan budaya, hasil bumi dan keunikan negara kita sendiri.

Muzium ini sedari asalnya lagi menumpukan koleksi yang berbentuk zoologi atau sejarah semulajadi di Negeri Perak. Spesimen-spesimen yang dikumpulkan adalah terdiri daripada haiwan-haiwan daripada sekecil sang kancil sehinggalah tulang haiwan sebesar gajah. Namun koleksi-koleksi ini juga merupakan permulaan yang baik bagi sebuah muzium kecil yang dibina lebih dari 100 tahun dahulu.

Koleksi tulang rangka di Muzium Perak.

Selain koleksi alam semulajadi Negeri Perak, kini muzium ini juga turut mempamerkan bahan sejarah kehidupan orang asli, bahan-bahan daripada zaman penjajah, kereta-kerata antik milik para pembesar di Negeri Perak di perkarangannya.

Anda juga berpeluang melihat sendiri perkembangan muzium ini daripada awal penubuhannya sehinggalah ke hari ini melalui gambar sejarah muzium ini sendiri. Jadi selain mempamerkan bahan-bahan sejarah, bangunan ini sendiri merupakan sebahagian bahan sejarah yang amat berharga kepada Negeri Perak dan negara kita Malaysia.

Awal penubuhan muzium pada tahun 1890 an.

Muzium Perak pada tahun 1905.

Muzium Perak pada sekitar 1990 an.

Bagi yang berminat untuk melawat ke muzium ini, maklumat penting mengenai muzium adalah seperti berikut:

Lokasi:

Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak

Masa lawatan:

Dibuka setiap hari dari 9:00 pagi hingga 6:00 petang.
Di buka pada setiap hari kecuali Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji

Bayaran masuk:

Dewasa (My Card): RM2.00
Kanak-kanak (My Kid): Percuma

Harga Biasa:

Dewasa : RM5.00

Kanak-kanak (6 - 12 tahun) : RM2.00


Free Download



Tuesday, July 26, 2016

Mengenali Peralatan Lacquerware

Lacquerware seindah seramik seringan kayu.

Peralatan lacquerware lazimnya peralatan yang diperbuat daripada kayu dan disaluti dengan lacquer yang berkilat. Laquer walaupun kelihatan seperti varnish, ia adalah sedikit berbeza dari segi komposisi dan juga proses pembuatannya. Sejarah peralatan lacquer bermula lebih awal di China dan kemudiannya merebak ke serata bahagian negara-negara Asia yang lain yang membentuk pelbagai variasi.

Lacquer memberikan perlindungan  kepada bahan yang digunakan untuk membuat sesuatu peralatan. Antara peralatan lacquer yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini dihasilkan daripada Dynasty Han yang ditemui di Mawangdui di China kira-kira abad ke-2 BC. Malah teknik penghasilan peralatan lacquer telahpun diperbaiki semenjak Dynasti Shang lagi (ca. 1600–1046 BC) yang menjadi salah satu hasil seni yang menarik. Jadi ia seharusnya bermula lebih awal dan terus berkembang ke negara-negara berdekatannya termasuk Jepun, Korea, Vietnam dan Myanmar. Ia turut dihasilkan di negara-negara lain seperti Thailand, India dan juga Timur Tengah.

Lacquerware daripada Dinasty Han.

Lacquerware China dengan tatahan 'mother of pearl'.

Perbezaan geografi dan tradisi memberikan impak kepada penghasilan barangan lacquerware ini. Ini turut memberi pengaruh kepada bahan utama untuk membuat lacquer daripada bahan-bahan yang terdapat di sesuatu kawasan tersebut. Seterusnya proses penghasilannya juga lebih dipengaruhi oleh bahan-bahan tempatan dengan teknik yang penghasilan yang lebih mengutamakan ciri-ciri budaya setempat. Barangan lacquerware di China dihasilkan dengan teknik yang lebih ‘sophisticated’ dengan penggunaan bahan-bahan hiasan termasuk emas dan ‘mother of pearl’ dengan bahan utamanya diperbuat daripada kayu. Manakala di Myanmar pula ianya lebih dihiasi dengan motif-motif lukisan tempatan yang menarik dengan bahan utamanya diperbuat daripada buluh.

Toxicodendron vernicifluum daun dan bunga.

Toxicodendron vernicifluum ditoreh untuk getahnya.

Melanorrhoea usitata juga dikenali sebagai Gluta usitata atau ringas.

Lacquer dihasilkan daripada getah pokok. Pokok-pokok yang digunakan pula adalah berbeza bagi lacquer yang dihasilkan di China, Korea dan Jepun iaitu Toxicodendron vernicifluum atau lebih dikenali sebagai ‘Chinese lacquer tree’, manakala di negara seperti Myanmar lacquer adalah dihasilkan daripada getah pokok Melanorrhoea usitata yang juga dikenali sebagai ‘Burmese lacquer’. Oleh kerana getah yang diperolehi ini berbeza, maka lacquer yang dihasilkan juga adalah sedikit berbeza, namun kedua-duanya mampu menghasilkan barangan lacquer yang cukup menarik. Namun lacquer turut dicampur bahan-bahan lain untuk menjadikannya lebih licin seperti di China, serbuk tanduk rusa digunakan, manakala di Myanmar pula serbuk dari tulang lembu pula digunakan.

Proses pembuatan barangan lacquer ini merupakan satu proses yang amat panjang, kerana ia memerlukan beberapa lapisan lacquer yang perlu disalutkan ke atas barangan yang dihasilkan. Ini diikuti dengan proses pengeringan selama beberapa hari, sebelum proses lapisan berikutnya boleh dilakukan. Bagi barangan yang mempunyai lukisan berwarna pula lapisan lacquer akan dikenakan untuk setipa warna yang dikenakan dan proses yang sama akan dilakukan secara berulang-ulang. Ini bermakna keseluruhan proses boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan lamanya untuk menyiapkan satu barangan lacquer.


Barangan yang dihasilkan dengan penuh teliti.

Koleksi yang amat cantik.

Ianya bukan tembikar tetapi lacquerware.

Japan lacquerware, menambilkan ciri-ciri budaya yang unik.

Melihat kepada ketelitian dan masa yang diambil untuk menghasilkan barangan ini, maka tidak hairanlah mengapa harganya dijual agak tinggi. Namun begitu, barangan lacquer bukan sahaja cantik tetapi dapat digunakan untuk tempoh masa yang lebih lama. Selain daripada barangan seramik, barangan lacquer merupakan antara barangan unik yang berasal dari China yang kemudiannya dimajukan lagi ke negara-negara lain.






Free Download



Sunday, July 24, 2016

Keunikan Rekaan Tepak Sireh (Betel Set) dan Peralatan Lain

Bekas kapur sireh yang diperbuat daripada tulang yang diukir berasal dari Sumatra.

Bagi mereka yang lahir sebelum tahun 90-an mungkin dapat melihat lebih banyak berkenaan budaya memakan sireh. Walaupun ia sudah lama ditinggalkan oleh masyarakat di negara kita, namun budaya  memakan sireh amat terkenal di serata Asia Tenggara dan juga negara-negara lain seperti India, Bangladesh, Sri Lanka dan mungkin juga beberapa negara berhampiran.

Kepentingan pemakanan ini dapat dilihat daripada peralatan yang dihasilkan untuk menyimpan sireh dan juga bahan-bahan lain seperti pinang, gambir, kapur dan lain-lain (mungkin tembakau dan rempah). Oleh itu peralatan seperti tepak sireh diperbuat daripada pelbagai bahan dan diukir dengan begitu cantik ; bagi menggambarkan kepentingannya.

Peralatan tepak sireh digunakan dalam pelbagai majlis, dan untuk tujuan istiadat sudah tentu tepak sireh yang diperbuat daripada bahan yang lebih baik beserta ukiran halus digunakan. Anda mungkin tidak menyangka bahawa terdapat banyak sekali rekaan tepak sireh menggunakan pelbagai bahan daripada pelbagai negara yang popular dengan sireh ini.

Mungkin kita tidak perlu mengamalkan lagi budaya memakan sireh, namun keunikan budaya ini melambangkan kehalusan dan ketelitian adat budaya kita dalam bermasyarakat. Bersama-sama ini kita akan melihat sebahagian daripada peralatan tersebut.

Bekas Sireh dari Tembaga Parsi

Bekas sireh yang diperbuat daripada tembaga.

Bekas yang diperbuat daripada tembaga ini nampak kukuh dan kelihatan amat lama. Ia diperkatakan berasal dari tahun 1800-an dari India. Walaupun bekas ini sama seperti bekas-bekas yang lain, ia mungkin digunakan untuk menyimpan daun sireh dan bahan-bahan makanan sireh yang lain. Rekaannya adalah lebih ringkas, namun ia tetap melambangkan betapa pentingnya bahan yang disimpan di dalam bekas tersebut.


Bekas Pinang Daripada Perak

Bekas ini pula diukir dan diperbuat daripada perak.

Bekas pinang daripada perak ini adalah antara peralatan yang diperbuat daripada tahun 1940 adalah daripada hasil rekaan Cina Peranakan. Sama seperti rekaan pertama di atas, bekas ini tidak mempunyai bahagian-bahagian di dalamnya. Motif yang diukir di permukaan kotak ini pula jelas menunjukkan figura Cina dengan motif-motif bunga yang lain.


Bekas Sireh “Burmese Lacquer” (Kun-it)

Kun-it, amat cantik kerana ia diukir dan berkilat.

Lacquerware merupakan sebahagian hasil kepakaran masyarakt Burma sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah sekiranya bekas sireh ini juga dihasilkan sebahagian daripada hasil kraft menggunakan lacquer. Ia diperbuat daripada buluh yang diukir dengan morif-motif yang menarik, diwarnai dan dilapisi dengan lacquer yang menambahkan lagi kecantikan bekas sireh ini. Ia juga merupakan sebahagian hasil berasal dari Daerah Bagan, di Myanmar.


Tepak Sireh Perak, Batavia, Dutch East Indies

Set tepak sireh pembesar Belanda di Indonesia.

Ianya merupakan tepak sireh yang digunakan pembesar-pembesar belanda yang menduduki kawasan jajahan seperti Inonesia yang menjadikan budaya memakan sireh sebagai satu elemen penting di dalam kemasyarakatan. Tepak sireh ini dikatakan diperbuat pada awal 1900 dan masih dalam keadaan yang baik. Tepak sireh yang diperbuat dari bahan perak/emas dan batu beharga ini, adalah lazimnya digunakan oleh para pembesar sahaja.


Tepak Sireh Perak, Peranakan

Antara tepak sireh yang ekslusif dan sukar ditemui.

Satu lagi contoh tepak sireh yang diperbuat daripada perak dengan ukiran yang halus. Set penuh seperti ini dilengkapi dengan bekas sireh, kapur, pinang, kacip dan beberapa bekas yang lain. Tepak sireh ini adalah dari jenis rekaan yang lebih baru sekitar 1900. Namun begitu sekarang rekaan ini sukar didapati.

Tepak Sireh Buah Manggis

Tepak sireh ini boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Tepak sireh ini saya berikan nama sebagai buah manggis kerana ia mempunyai bekas yang menyerupai buah manggis. Ia boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur dan tidak dinyatakan tahun dan maklumat lebih jelas mengenai rekaan tepak sireh ini. Ia mempunyai jumlah set yag cukup termasuk, kacip, pemegang sireh, bekas pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Set-set seperti ini bukanlah digunakan oleh orang-orang biasa atau untuk kegunaan harian. Selain daripada rekaannya yang unik, ia juga diperbuat dengan penuh kehalusan.

Tepak Sireh, Rajastan India

Tepak sireh kegunaan harian dari Rajastan, India.

Ini mungkin direka untuk kegunaan harian. Jelas menunjukkan ianya digunakan dengan kerap sehingga permukaan kayu ini haus. Namun begitu ia jelas menunjukkan bahagian-bahgian tertentu untuk hidangan sireh yang lengkap. Tepak sireh kegunaan harian seperti ini sememangnya akan direka seringkas mungkin kerana ianya akan mudah rosak (akibat pemakaian yang kerap). Walaupun begitu, tepak sireh ini tetap kelihatan unik.


Itu hanyalah sedikit daripada banyak lagi perkara-perkara berkaitan dengan budaya pemakanan sireh yang mungkin anda begitu kagum mengenainya. Walaupun kita tidak lagi mengamalkan pemakanan sireh, tidak sepatutnya ianya dilupakan kerana ia merupakan antara keunikan budaya kita yang amat berharga. Jadi sekiranya anda berpeluang, cari-carilah lebih banyak berkara berkaitan dengan sireh dan tepak sireh ini.


Free Download



Kenali Ikan Sturgeon Yang Menghasilkan Karviar (Caviar)

Beluga sturgeon menghasilkan kaviar yang terpaling baik.

Anda mungkin pernah mendengar salah satu daripada keduanya, namun mungkin karviar lebih popular memandangkan ia adalah sejenis makanan yang dianggap mewah dihasilkan daripada telur-telur ikan sturgeon. Ikan ini dianggap sebagai ikan purba yang masih terdapat sehingga ke hari ini dengan bilangan yang semakin sedikit dan diancam kepupusan.

Ikan sturgeon merupakan ikan yang mendiami perairan air tawar dan juga air payau (brackish water). Manakala sesetengah spesis adalah merupakan spesis air tawar sepenuhnya. Terdapat 27 spesis kesemuanya yang terbahagi kepada 4 genus (genera) iaitu; Acipenser, Huso, Scaphirhynchus dan Pseudoscaphirhynchus. Terdapat 4 spesis yang dikatakan telah pupus sepenuhnya. Ikan ini dikesan telah wujud semenjak zaman Triassic lagi iaitu 245 ke 208 juta tahun dahulu. Ia adalah antara spesis yang tidak mengalami banyak perubahan semenjak penemuan rekod fosil yang dilakukan.

Ikan ini kurang dikenali di bahagian tropika kerana mendiami perairan sub-tropika dan juga sub-artik di Amerika Utara dan Eurasia. Di bahagian Amerika Utara ia terdapat di sepanjang perairan Atlantik daripada Teluk Mexico sehinggalah ke Newfoundland, termasuk di Great Lakes dan di St. Lawrence, Missouri dan Mississippi. Di bahagian Barat pula ia boleh didapati di sungai-sungai utama di California, Idaho sehinggalah ke British Columbia. Begitu juga sebahagiannya lagi terdapat di bahagian Laut Atlatik di Eropah termasuk lembangan Mediterranean, terutamanya di Laut Adriatic dan sungai-sungai di Utara Itali. Sungai-sungai yang mengalir ke Caspian, sungai sungai di Asia tengah (Amu Darya dan Syr Darya) dan Tasik Baikal. Bagi Lautan Pasifik pula, ia boleh didapati di Sungai Amur sepanjang persepadanan Russia-China, Pulai Sakhalin dan Yangtze dan sungai-sungai lain di Timur Laut China.

Sturgeon bersaiz besar ditangkap di Russia.

Sturgeon merupakan ikan dasar dengan mulutnya terletak di bahagian bawah.

Beluga kaviar.

Sturgeon merupakan ikan yang hidup untuk jangka masa yang panjang selain memakan masa yang lama untuk mencapai kematangan. Ia mempunyai ciri-ciri yang mudah dikenali dengan sirip atas menyerupai ikan jerung dan permukaan kulit yang licin namun keras dan membentuk seperi perisai. Ia juga boleh mencapai saiz yang besar iaitu sehingga 7 – 12 kaki (2 – 3 ½ m) panjang. Rekod ikan sturgeon terbesar adalah dari jenis Beluga yang ditangkap di Volga estuary pada tahun 1827, iaitu mencapai berat 1,571 kg (3,463 lb) dan 7.2 m (24 ft) panjang. Ikan-ikan sturgeon merupakan ikan dasar yang akan mudik ke hulu sungai untuk bertelur dan dimasa-masa yang lain akan menghabiskan masanya di lembangan dan kuala sungai.

Secara tradisinya kaviar (caviar) merujuk kepada telur-telur ikan yang  dihasilkan daripada sturgeon liar dari Caspian dan Black Sea (Beluga, Ossetra dan Sevruga caviars). Namun ada juga yang menggunakan istilah caviar yang merujuk kepada telur-telur ikan yang lain termasuk salmon, steelheat, trout, lumpfish, whitefish, carp dan ikan-ikan sturgeon yang lain.

Proses pemprosesan kaviar tidak banyak berubah dan mengekalkan kaedah pemprosesan yang klasik sejak seabad yang lalu. Telur-telur ikan akan diasingkan daripada ikan sturgeon yang telahpun diberikan pelali (sedated) dan ditapis untuk mengasingkan telur-telur tersebut. Namun dahulunya, ikan terpaksa dibunuh untuk mendapatkan telur-telurnya. Telur-telur kemudiannya diasingkan sebelum garam ditambahkan untuk menambahkan rasa dan bertindak sebagai pengawet. Telur-telur ini kemudiannya akan ditinkan atau sedia untuk dipasarkan.

Kaviar dihasilkan dari Russia dan Iran.

Telur Salmon dan Sturgeon menggunakan sudu kaviar.

Kaviar daripada telur ikan kap.

Kaviar mudah rosak dan perlu disimpan sejuk sehingga dihidangkan. Bagaimanapun bagi kaviar yang di pasteurized adalah lebih tahan dan tidak rosak dengan mudah seperti kaviar biasa; namun ia dianggap sebagai kaviar yang kurang berkualiti. Malah sudu khas digunakan untuk menghidangan kaviar diperbuat daripada “mother of pearl” atau juga dikenali sebagai nacre, iaitu bahan seperti mutiara yang terdapat pada hidupan bercengkerang seperti siput dan tiram. Antara bahan lain yang digunakan untuk sudu kaviar adalah emas, tanduk haiwan dan kayu.


Keenakan kaviar mungkin digembar-gemburkan dan bukan merupakan selera bagi semua. Namun permintaan terhadap kaviar menyebabkan spesis-spesis ikan sturgeon semakin terancam. Selain itu juga, kaviar merupakan makanan yang mengandungi kandugan garam yang tinggi dan mungkin tidak sesuai untuk sesetengah orang. Apapun spesis ikan sturgeon amatlah unik dan usaha untuk memelihara ikan ini perlu diberikan sokongan oleh semua. Begitu juga dengan spesis-spesis ikan yang terdapat di perairan kita, semoga ia akan dapat dikekalkan dan digunakan oleh generasi-generasi akan datang.

Beluga sturgeon diternak di US.


Free Download



Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...