Ahad, 3 Julai 2016

Buah Yang Lebih Pelik, Buddha's Hand

Buah Buddha's Hand yang berbeza dari buah-buah yang lain.

Ya, saya pernah melihat buah ini dan amat tertarik mengenai kegunaannya. Bagaimana sesetengah orang tahu memanfaatkan buah ini? Kerana ia sangat berbeza dengan buah-buah yang lain bukan sahaja dari segi bentuknya malah banyak lagi.

Buddha's hand, Citrus medica var. sarcodactylis, atau juga dikenali sebagai fingered citron, kebiasaan nya menyerupai buah citron (Citrus medica) yang kemudiannya memecah membentuk rupa bentuk jari. Di Jepun ia juga dikenali sebagai “busshukan” (仏手柑 atau ブッシュカン).

Bahagian jejari yang memecah membentuk jejari ini juga berbeza-beza, ada yang merapat membentuk jari yang tertutup (tangan tertutup)dan ada pula yang mencapah dan membentuk jari yang terbuka (tangan terbuka) memberikan ianya ekspressi tersendiri. Ia dikatakan berasal di Timur Laut India atau China yang kemudiannya ditanam di merata kawasan di China, Jepun dan hari ini turut ditanam di California, USA.

Terdapat 6 jenis utama tumbuhan ini yang ditanam oleh petani-petani di China yang mempunyai kebun seluas 5,000 ekar di Selatan Shanghai. Ia mendapat permintaan yang tinggi dengan harga sehingga $24 bagi setiap pound. Buah ini juga adakalanya didapati dijual di pasaraya di Malaysia.

Bentuk dan warna buah yang amat menarik.


Mengapa Ia Pelik?

Buah yang tidak mempunyai isi ataupun biji.

Kebun buah Buddha's Hand di Vietnam.

Tidak seperti buah yang lain, buah Buddha's hand ini tidak mempunyai isi atau biji. Jadi apabila dibelah ianya hanyalah kulit dan bahagian dalam kulit putih yang menyerupai span. Jadi untuk menanamnya kaedah yang digunakan adalah secara tut atau cantuman tunas.

Ia digunakan terutamanya sebagai bahan bauan atau menaikkan aroma. Oleh kerana ia tidak mempunyai isi, bahagian yang digunakan adalah terdiri daripada keseluruhan buah tersebut yang memberikan bauan dan aroma yang menyegarkan. Ia sering digunakan sebagai bahan bau-bauan sebagai persembahan di rumah-rumah ibadah bagi orang Buddha.

Ia boleh digunakan untuk meningkatkan aroma minuman terutamanya minuman beralkohol seperti vodka dan cocktail. Namun minuman tidak beralkohol juga boleh menggunakannya kerana ia mengeluarkan bau dan aroma yang amat menyegarkan.

Buddha's Hand digunakan untuk membuat kek.

Sesuai untuk masakan kerana kulitnya tidak pahit.

Kulitnya tidak pahit dan amat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan makanan seperti halua atau dijadikan jem (marmalade). Bahan makanan yang dihasilkan menggunakan buah ini dikira istimewa kerana rasa dan baunya yang harum. Malah ianya diukir menjadi bentuk-bentuk yang menarik seperti burung atau bunga sebelum ianya disira dengan madu lebah untuk menghiasi bahagian tengah meja makan.

Bagi menyegarkan ruangan bilik atau almari pakaian juga merupakan antara kegunaan Buddha's hand yang popular. Malah caranya adalah amat mudah iaitu dengan hanya meletakkan buah ini ke dalam ruangan tersebut. Baunya juga dikatakan lebih harum daripada menggunakan potpourri. Selain untuk bilik, ia juga sering digunakan sebagai bahan campuran dalam cucian untuk memberikan kesegaran kepada pakaian. Pokoknya juga digunakan sebagai tanaman hiasan samada ditanam terus ke tanah ataupun di dalam pasu-pasu yang sesuai.


Terdapat pelbagai kaedah penggunaan buah dan pokok tumbuhan istimewa ini. Walaupun rupanya sedikit pelik, namun ia mempunyai pelbagai kegunaan dan menghasilkan bau yang amat istimewa pula. Sekiranya anda menjumpai buah ini nanti, janganlah rasa pelik lagi, sebaliknya gunakanlah ia bagi menggantikan bahan-bahan pewangi tiruan yang kita gunakan untuk bilik, kereta ataupun pakaian.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog