Rabu, 27 Julai 2016

Jalan-jalan ke Muzium Perak, Taiping

Muzium Perak di Taiping, muzium penuh sejarah.

Muzium Perak terletak di Taiping kerana ia merupakan bandar tertua di Negeri Perak. Ia merupakan sebuah muzium yang sangat bersejarah di negara kita kerana ia merupakan muzium yang pertama didirikan di Malaysia pada tahun 1883 dengan saranan daripada Residen British di Perak pada ketika itu iaitu Sir Hugh Low. Semenjak dari pembinaannya, bangunan ini terus ditambah bagi memberikan ruang kepada ruang pameran yang lebih besar.

Semasa pembukaannya kurator yang ditugaskan untuk menjaga muzium ini adalah Leonard Wray Jr. yang merupakan seorang yang mahir dalam bidang botani dan geologi. Sebagai muzium yang pertama, ia menjadi satu contoh yang baik untuk penubuhan muzium-muzium yang berikutnya yang menyediakan bahan-bahan pendidikan bagi masyarakat setempat. Ia sedikit sebanyak mengajar masyarakat kita untuk menghargai kekayaan budaya, hasil bumi dan keunikan negara kita sendiri.

Muzium ini sedari asalnya lagi menumpukan koleksi yang berbentuk zoologi atau sejarah semulajadi di Negeri Perak. Spesimen-spesimen yang dikumpulkan adalah terdiri daripada haiwan-haiwan daripada sekecil sang kancil sehinggalah tulang haiwan sebesar gajah. Namun koleksi-koleksi ini juga merupakan permulaan yang baik bagi sebuah muzium kecil yang dibina lebih dari 100 tahun dahulu.

Koleksi tulang rangka di Muzium Perak.

Selain koleksi alam semulajadi Negeri Perak, kini muzium ini juga turut mempamerkan bahan sejarah kehidupan orang asli, bahan-bahan daripada zaman penjajah, kereta-kerata antik milik para pembesar di Negeri Perak di perkarangannya.

Anda juga berpeluang melihat sendiri perkembangan muzium ini daripada awal penubuhannya sehinggalah ke hari ini melalui gambar sejarah muzium ini sendiri. Jadi selain mempamerkan bahan-bahan sejarah, bangunan ini sendiri merupakan sebahagian bahan sejarah yang amat berharga kepada Negeri Perak dan negara kita Malaysia.

Awal penubuhan muzium pada tahun 1890 an.

Muzium Perak pada tahun 1905.

Muzium Perak pada sekitar 1990 an.

Bagi yang berminat untuk melawat ke muzium ini, maklumat penting mengenai muzium adalah seperti berikut:

Lokasi:

Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak

Masa lawatan:

Dibuka setiap hari dari 9:00 pagi hingga 6:00 petang.
Di buka pada setiap hari kecuali Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji

Bayaran masuk:

Dewasa (My Card): RM2.00
Kanak-kanak (My Kid): Percuma

Harga Biasa:

Dewasa : RM5.00

Kanak-kanak (6 - 12 tahun) : RM2.00


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog