Jumaat, 15 Julai 2016

Jenis-Jenis Teleskop Pemantul (Reflecting Telescope)

Giant Magellan Telescope menggunakan asas rekaan Gregorian telescope.

Seperti yang kita sudah ketahui bahawa teleskop pemantul merupakan teleskop yang jauh lebih baik berbanding teleskop optik biasa yang mengalami ‘chromatic aberration’, yang berpunca daripada penggunaan kanta nya. Namun begitu terdapat beberapa variasi pada teleskop pemantul daripada beberapa rekaan utama – walaupun ianya selalu dikaitkan dengan rekaan Isaac Newton dan diberikan gelaran Newtonian telescope.

Secara kasarnya kesemua rekaan ini menghasilkan kualiti penglihatan yang baik, kerana ia menggunakan kaca pemantul berbanding kanta. Namun dari segi kedudukan pemantul dan jenis-jenis kaca yang digunakan memberikan kesan kepada saiz teleskop yang dihasilkan. Oleh sebab itu anda masih melihat varisasi yang ketara pada teleskop jenis ini kerana ia juga berasal daripada beberapa rekaan utama.

Gregorian Telescope

Ciri-ciri rekaan Gregorian telescope.

Gregorian telescope agak panjang dari teleskop pemantul jenis lain.

Teleskop jenis ini direka oleh ahli astronomi dan pakar matematik Scottish iaitu James Gregory pada tahun 1663 melalui bukunya Optica Promota. Rekaan beliau menggunakan dua kaca cembung yang digunakan untuk menumpukan cahaya kepada mata pemerhati. Kaca pemantul kedua diletakkan lebih jauh daripada titik fokus kaca pemantul pertama bagi menghasilkan imej menegak. Walaupun rekaan ini menghasilkan teleskop yang agak panjang, ia masih digunakan pada beberapa rekaan teleskop moden seperti Vatican Advanced Technology Telescope, Magellan telescopes, Large Binocular Telescope, dan Giant Magellan Telescope.

Newtonian Telescope

Ciri-ciri rekaan Newtonian telescope.

Newtonian telescope mempunyai kanta optik di bahagian tepi.

Walaupun pada umumnya teleskop pemantul dianggap sebagai Newtonian Telescope, namun rekaan teleskop jenis ini mempunyai rekaan yang lebih ringkas (anda boleh membinanya sendiri seperti di dalam artikel yang lepas;  membina teleskop). Ia dihasilkan kali pertama oleh Isaac Newton sendiri pada tahun 1668. Ia menggunakan satu kaca pemantul parabolik dengan nisbah fokus f/8 atau lebih tinggi untuk mendapatkan resolusi visual yang baik. Kaca pemantul kedua merupakan kaca pemantul yang rata untuk kegunaan pemerhati. Sebagai rekaan terpaling ringkas, teleskop ini mudah dibina sendiri sebagai hobi.

Cassegrain Telescope

Cassegrain telescope menghasilkan teleskop yang lebih pendek.

Teleskop Cassegrain lebih kompak.

Rekaan teleskop Cassegrain mempunyai ciri-ciri seperti teleskop Gregorian di mana kedudukan pemerhati terletak pada belakang kaca pemantul utama. Perbezaan ketara rekaan ini adalah kedudukan kaca pemantul kedua yang terletak di hadapan titik fokus kaca primer membolehkan rekaan yang dihasilkan jauh lebih pendek berbanding rekaan teleskop-teleskop yang lain. Kaca pemantul kedua juga adalah berbentuk cembung. Rekaan ini dihasilkan oleh Laurent Cassegrain pada tahun 1672.

Ketiga-tiga rekaan di atas merupakan antara rekaan utama teleskop pemantul. Namun rekaan teleskop tidak sekadar berhenti di situ. Banyak lagi rekaan lain dalam usaha memberbaiki kualiti pemerhatian objek-objek jauh di ruang angkasa. Rekaan baru ini sejajar dengan perkembangan teknologi bahan baru untuk menghasilkan kaca pemantul yang lebih baik dengan saiz yang lebih besar. Malah penggunaan teknologi komputer juga turut membantu pembinaan teleskop-teleskop moden bersaiz gergasi menggunakan konsep asas daripada rekaan asal ini. Beberapa rekaan lain adalah seperti berikut;

  • Ritchey–Chrétien telescope
  • Three-mirror anastigmat
  • Dall–Kirkham Cassegrain telescope
  • Herschelian telescope (Off-axis)
  • Schiefspiegler telescope (Off-axis)
  • Stevick-Paul telescope (Off-axis)
  • Yolo telescope (Off-axis)
  • Liquid mirror telescopes

Banyak sekali rekaan berkenaan dengan teleskop sahaja, semenjak ia mula direka beberapa ratus tahun dahulu dan ia tidak akan berhenti di situ sahaja. Teleskop-teleskop moden bukan sahaja mempunyai saiz kanta yang jauh lebih besar, malah menggunakan pelbagai teknologi untuk membolehkan kualiti imej yang lebih baik dan kuasa pembesaran yang jauh lebih tinggi. Sekiranya anda berminat dengan peralatan ini, ada mempunyai pilihan yang banyak selain daripada membinanya sendiri - mungkin juga anda mempunyai rekaan terbaru!


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog