Friday, August 26, 2016

Keunikan Dan Keistimewaan Burung Hantu

Burung hantu mempunyai keunikan tersendiri.

Burung hantu merupakan antara burung yang aktif pada waktu malam. Walaupun terdapat banyak haiwan lain yang aktif pada waktu malam, burung hantu merupakan pemburu seperti helang yang mempunyai pengelihatan yang tajam – walaupun di malam hari. Namun bukan setakat itu keistimewaan burung hantu. Manusia banyak mempelajari kelebihan burung hantu yang memberikan manfaat dalam kehidupan.

Burung hantu merupakan burung yang berada dalam order Strigiformes, di mana ia terdiri daripada lebih kurang 200 spesis kesemuanya. Walaupun kebanyakan burung hantu merupakan haiwan malam dan kebiasaannya bersendirian, terdapat burung hantu yang aktif pada waktu siang iaitu “northern hawk-owl”, manakala burung hantu “burrowing owl” pula lebih selesa tinggal berkumpulan. Burung hantu dapat dikenali dengan mudah kerana ia mempunyai muka yang leper, mata yang bulat dengan penglihatan yang tajam (binocular), pendengaran yang baik (binaural), kuku yang tajam, berdiri dalam kedudukan menegak dan juga mempunyai bulu untuk penerbangan yang senyap.

Menangkap rodent pada waktu malam bukanlah mudah.

Bulu halus pada sisi bulu kepak burung hantu.

Sebagai pemburu malam, burung hantu mempunyai kelebihan tertentu yang tiada pada burung-burung yang lain. Pendengaran yang tajam membolehkan ia mengesan pergerakan hidupan-hidupan kecil yang merayap di celah-celahan daun di lantai hutan. Ini diikuti dengan pengelihatan yang tajam membolehkan ia mengesan kedudukan mangsanya dengan tepat. Selain kuku yang tajam untuk memegang mangsanya, burung hantu turut dilengkapi dengan bulu istimewa untuk menjadikan ia terbang dengan lebih senyap. Oleh kerana pada waktu malam bunyi adalah lebih mudah untuk didengari, kesenyapan penerbangan burung hantu ini amat baik dan sukar dikesan haiwan yang amat sensitif dengan bunyi seperti tikus.

Bulu burung hantu dilengkapi dengan bulu-bulu halus menyerap bunyi udara yang terhasil dari kepakan sayapnya ketika terbang. Ini membolehkan ia terbang menangkap mangsanya pada waktu malam yang sunyi tanpa disedari oleh mangsanya. Ciri-ciri ini kurang pada burung hantu yang menjadikan ikan sebagai makanannya. Selain daripada penerbangan yang senyap, bulu burung hantu juga menyediakan penyamaran yang baik, dan kebiasaannya ia sukar dilihat.

Ciri-ciri inilah yang berpotensi digunakan untuk menghasilkan kenderaan yang lebih senyap pada masa hadapan terutamanya kapal terbang, kincir angin dan juga kapal selam. Ia merupakan antara kajian yang dilakukan oleh Dr. Justin Jaworski, pembantu professor di Lehigh University's Department of Mechanical Engineering and Mechanics. Beliau mengamati ciri-ciri istimewa pada sayap burung hantu untuk digunakan pada rekaan seperti yang disebutkan tadi.

Ciri-ciri bulu yang terdapat pada kepak burung hantu.

Burung hantu juga mempunyai warna seperti persekitrannya.

Selain daripada keistimewaan tersebut, burung hantu telah lama digunakan dalam pengawalan haiwan perosak seperti tikus di ladang-ladang kelapa sawit. Tidak seperti gagak, ia tetap tinggal di kawasan ladang-ladang ataupun jauh dari kawasan bandar. Rumah sarang untuk burung hantu boleh disediakan dengan mudah di tengah ladang. Manakala sebuah keluarga burung hantu boleh mamakan sehingga 3,000 ekor tikus dalam sekali musim membiak.

Walaupun kebanyakan masyarakat di dunia mengaitkan burung hantu sebagai tanda kematian atau kecelakaan. Terdapat juga masyarakat (barat moden) yang menganggapnya sebagai simbol kebijaksanaan dan ini berkait rapat dengan kepercayaan Greek di mana  tuhan kebijaksanaan Athena mempunyai simbol burung hantu. Begitu juga bagi Hindu yang menggambarkan burung ini bersama Dewi  Lakshmi.


Kepakan burung biasa menghasilkan bunyi yang jelas.

Mungkin itu semua bukanlah perkara yang sepatutnya diberikan tumpuan. Ini kerana burung hantu sendiri mempunyai fungsinya di dalam alam. Malah, seperti yang dapat diperhatikan banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan daripada burung ini. Adakah kerana kepercayaan tersebut maka kita tidak mengambil pelajaran yang membolehkan kita mendapat kebaikannya?





Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...