Saturday, August 20, 2016

Perkara Menarik Mengenai Kacang Kelo - Moringa Oleifera

Moringa oleifera atau kacang kelo - bunga dan daunnya.

Kacang kelo (Moringa oleifera) atau lebih dikenali sebagai “murungai” di dalam bahasa Malayalam di mana ianya banyak tumbuh juga merupakan satu lagi tanaman yang menjadi sumber makanan penting kepada masyarakat tempatan. Walaupun ianya lebih popular di kalangan masyarakat India, namun apabila anda mengenalinya, anda juga mungkin tertarik untuk mencuba sayuran daripada daun ataupun buahnya nanti.

Kacang kelo mempunyai pelbagai nama di mana sahaja ianya tumbuh kerana ia merupakan sumber makanan penting. Jadi ia mempunyai lebih daripada 400 nama di seluruh dunia. Pokoknya yang mudah ditanam dan tahan cuaca ini menjadikan ia sebagai tanaman yang sesuai samada untuk tujuan hiasan, teduhan ataupun sekadar untuk megelakkan hakisan. Namun begitu, kacang kelo tumbuh di kawasan di mana penduduknya amat memerlukan sumber manakan yang berkhasiat, dan sememangnya tumbuhan ini mempunyai khasiat yang amat diperlukan.


Kawasan di mana moriga tumbuh.

Ia boleh ditanam membentuk pagar di sekeliling rumah.

Secara kasarnya khasiat tumbuhan ini sebagai sumber makanan adalah seperti berikut;
  • Ia mengandungi 7 kali ganda Vitamin C berbanding oren.
  • Ia mengandungi 4 kali ganda Vitamin A berbanding lobak merah (carrots).
  • Ia mengandungi 4 kali ganda Kalsium berbanding susu lembu.
  • Ia mengandungi 3 kali ganda Potassium berbanding pisang.
  • Ia mengandungi 2 kali ganda Protein berbanding yogurt.

Sudah semestinya ia turut mengandungi pelbagai lagi khasiat pemakan dalam kuantiti-kuantiti yang banyak. Walaupun ia bukanlah tumbuhan ‘magik’, tapi sebagai sumber makanan di kawasan di mana ia tumbuh, sudah sememangnya ia perlu digunakan sebaik mungkin sebagai sumber khasiat.


Pokok ini tidaklah bersaiz terlalu besar dan  mudah dijaga.

Kacang moringa yang dijual di pasar.

Kacangnya dari dekat.

Bahagian-bahagian tumbuhan ini yang digunakan sebagai makanan adalah daun dan buahnya. Setiap masyarakat mempunyai kaedah masing-masing menyediakan makanan daripada daun dan buahnya ini. Sebagai contoh di India ia digunakan di dalam kari sepertimana kacang dal ataupun sebagai sebahagian campuran bersama-sama dal. Di Myanmar juga ia digunakan dalam masakan yang berkuah seperti sup dikenali sebagai “dunt-dalun chin-yei”, yang menggunakan buahnya. Buahnya juga popular sebagai masakan di negara-negara lain seperti Indonesia, Philippines, Thailand dan Cambodia. Malah di negara-negara lain juga ia turut digunakan sebagai makanan.

Selain sebagai makanan, buahnya juga digunakan untuk menghasilkan minyak yang dikenali sebagai “ben oil”, yang mana dulunya digunakan sebagai asas dalam pembuatan minyak wangi. Minyak ini digunakan bukan sahaja kerana ia tidak mempuyai bau yang kuat, malah boleh disimpan untuk tempoh yang lama.

Hampas daripada perahan buahnya ini masih boleh digunakan untuk tujuan merawat air selain digunakan seabgai baja. Hampas daripada buahnya membantu kotoran di dalam air untuk menggumpal dan memudahkan proses penapisan atau membentuk mendakan.


Maskan “dunt-dalun chin-yei” dari Myanmar.

Masakan yang menggunakan daun moringa.

Pokoknya juga adakalanya ditanam untuk tujuan mengelakkan hakisan seperti di Haiti. Manakala di Taiwan pula ianya ditanam di  World Vegetable Center, sebagai kajian untuk tumbuh-tumbuhan yang dijadikan makanan. Manakala bagi penduduk di Odisha di Selatan India, tumbuhan ini ditanam sebagai pagar rumah, dalam masa yang sama turut membekalkan sumber makanan.


Jadi sekarang tahulah kita betapa istimewanya tumbuhan ini. Sekiranya anda mempunyai kawasan rumah yang masih boleh ditanam dengan pokok, bolehlah dilapangkan sedikit untuk membolehkan pokok ini ditanam. Ini kerana masih terdapat pelbagai lagi kebaikan pokok ini yang tidak dapat dimuatkan di sini. Maka sekiranya anda berminat bolehlah mencarinya sendiri melalui internet, ataupun boleh ajukan sebarang pertanyaan untuk dimuatkan ke dalam artikel yang berikutnya.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...