Selasa, 20 September 2016

Tasik Gunung Berapi Terbesar di Indonesia - Danau Toba

Letusan kuat yang menukarkan Toba menjadi daya tarikan.

Indonesia merupakan daerah terkenal dengan gunung-gunung berapinya samada yang masih aktif, mahupun yang telah lama meninggalkan sejarah yang tidak boleh dilupakan kepada penghuninya sejak berzaman dahulu. Antara tinggalan yang paling meninggalkan kesan paling besar gunung berapi di Indonesia, adalah Gunung Berapi Toba.

Toba merupakan gunung berapi ‘supervolcano’, yang meletus kira-kira 75,000±900 tahun dahulu yang menghasilkan sebuah tasik terbesar di Sumatra.  Walaupun terdapat tasik-tasik lain yang dihasilkan daripada letusan gunung berapi seumpamanya iaitu Danau Maninjau dan Danau Singkarak, Danau Toba merupakan tasik terbesar yang boleh dilihat dengan jelas dari angkasa.

Namun begitu kejadian kawah terbesar ini dikatakan bukanlah berpunca daripada hanya sebuah gunung berapi namun sebaliknya daripada empat gunung berapi yang berlaku dalam beberapa tempoh yang berasingan dengan letusan pertama sekitar 78,8000±2,200 tahun dahulu. Namun begitu letusan Toba ini seperti juga letusan-letusan gunung berapi gergasi di Indonesia yang lain (seperti  Krakatoa dan Tambora) mampu menghasilkan letusan terkuat disepanjang tempoh 25 juta tahun yang lalu.

Pemandangan di persisir Danau Toba.

Bot dari Parapat membawa pelancong ke Pulau Samosir.

Muzium Kebudayaan di Pulau Samosir.

Persembahan tarian orang-orang Batak.

Danau Toba sehingga kini merupakan daya tarikan pengunjung ke Medan untuk melihat sendiri keunikan fenomena alam ini selain keunikan gaya hidup masyarakat Batak yang mendiami di sekitar tasik dan Pulau Samosir yang berada di tengah-tengah tasik tersebut. Melalui kunjungan para pelawat ini, Bandar Medan terus membangun menjadi antara bandar terpenting di Indonesia. Malah kini Medan terus dibangunkan dengan pelbagai tarikan istimewa bagi kemudahan pengunjung dengan pembangunan taman-taman tema baru seperti Hillpark Sibolangit dan juga Taman Simalem Resort.

Seperti juga bandar-bandar utama yang lain, Medan sememangnya mempunyai keunikan kebudayaan tersendiri daripada lakaran sejarahnya yang unik. Pembinaan bangunan-bangunan lama bersejarah di Bandar Medan sendiri merupakan tarikan yang digemari oleh para pengunjung. Ini menjadikan tarikan-tarikan asli seperti Air Terjun Sipisopiso dan Danau Toba sendiri lebih mudah untuk dikunjungi dengan adanya kemudahan pengangkutan dan penginapan yang cukup untuk para pengunjung.

Salah satu bangunan unik di Medan, Graha Maria Annai Velangkanni.

Aktiviti di sekitar Danau Toba.

Antara tarikan lain di sekitar Medan, Air Terjun Sipisopiso.

Danau Toba, merupakan satu lokasi lawatan yang penting penuh pelajaran dari segi geologi, arkeologi, budaya, ekonomi dan sebagainya bagi mereka yang peka. Sebagai antara lokasi yang terdekat dengan hub utama pengangkutan udara tambang murah terbaik dunia, AirAsia (Kuala Lumpur), Medan dan Danau Toba merupakan lokasi yang harus diberikan perhatian.

Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog