Rabu, 7 September 2016

Tempat-Tempat Lawatan Menarik di Sri Lanka

Sri Lanka menyimpan keunikan tersendiri.

Sri Lanka merupakan sebuah pulau yang terletak di Selatan India. Walaupun dipengaruhi oleh budaya dan adat dari India, Sri Lanka turut mempunyai keunikannya sendiri. Sri Lanka mempunyai kisah silam yang agak menarik terkandung di dalam kisah Ramayana selain mempunyai sejarah penjajahan dalam usaha Eropah untuk menguasai perdagangan rempah dari Asia. Oleh kerana ia adalah antara lokasi unik berdekatan SE Asia, ia patut diberi tumpuan sebagai lokasi lawatan yang berpotensi.

Bagi mengenali Sri Lanka dengan lebih baik, seperti biasa lokasi-lokasi yang perlu diberikan tumpuan adalah lokasi-lokasi yang disenaraikan oleh UNESCO sebagai “World Heritage Sites” di Sri Lanka. Lokasi-lokasi ini mempunyai pelbagai keunikan tersendiri selain nilai-nilai sejarah yang boleh membantu kita mengenali Sri Lanka dengan lebih dekat.

Terdapat 8 lokasi yang disenaraikan dengan 6 lokasi tergolong sebagai lokasi budaya dan 2 lokasi lagi adalah berkaitan alam semulajadi.

Ancient City of Polonnaruwa



Disenaraikan pada tahun (1982) merupakan bandar ke-2 terpenting di Sri Lanka selepas kemusnahan Anuradhapura pada tahun 993.  Ia merupakan lokasi bandar purba dengan tinggalan binaan-binaan mereka yang dibina oleh Parakramabahu di sekitar abad ke-12.

Ancient City of Sigiriya



Turut disenaraikan pada tahun (1982) Sigiriya terletak tidak berapa jauh dari Polonnaruwa dan merupakan bandar yang dibina lebih awal oleh Raja Kassapa I (477–95). Ia dibina di kawasan yang lebih tinggi di kawasan bebatuan sehingga 180m tinggi.

Golden Temple of Dambulla



Disenaraikan pada tahun (1991), juga berada di kawasan berhampiran dengan kedua-dua tapak lokasi penting sebelumnya. Apa yang berbeza, Dambulla merupakan kuil yang didirikan bagi penganut-penganut Buddha. Selain itu juga, ia merupakan kuil yang dibina di dalam gua di bawah batuan yang amat besar. Antara keunikan lain adalah lukisan mural yang merangkumi keluasan seluas 2,100 m2.

Old Town of Galle dan Kotanya



Kota yang dibina pada abad ke-16 ini merupakan kesan tinggalan penjajahan Portuguese di Sri Lanka. Kawasan kota lama ini mencapai kemuncaknya pada abad ke-18. Kota ini juga merupakan salah satu contoh terbaik kesan tinggalan Eropah, sepertimana di kawasan-kawasan Asia Tenggara yang lain. Antara lain ia juga memperlihatkan pertembungan seni bina Eropah dan Asia Tenggara.

Sacred City of Anuradhapura



Disenaraikan sebagai tapak warisan dunia padat tahun (1982), Anuradhapura merupakan antara binaan tertua di Sri Lanka yang masih kekal sehingga ke hari ini. Ia dibina di sekitar pohon yang ditanam daripada keratan batang pohon di mana Buddha bertapa, yang dibawa ke sini pada abad ke-3 B.C. oleh Sanghamitta. Ia merupakan bandar lama bagi Sri Lanka yang bertahan untuk tempoh 1,300 tahun sehinggalah ianya dicerobohi pada tahun 993. Setelah ditinggalkan, ia kekal sepi di dalam hutan belantara sehinggalah kini ianya dihidupkan kembali.

Sacred City of Kandy



Merupakan antara bandar purba terpenting di Sri Lanka dan disenaraikan pada tahun (1988). Ia juga dikenali sebagai Senkadagalapura. Antara lain keunikan ia juga menempatkan Kuil yang menyimpan gigi Buddha menjadikan ia antara tempat lawatan penting penganut-penganut Buddha. Bandar Kandi juga merupakan antara bandar yang paling lama bertahan di Sri Lanka iaitu selama 2,500 tahun sehinggalah ia dijajah oleh British pada tahun 1815.

Central Highlands of Sri Lanka



Kawasan hutan pergunungan ini hanya disenaraikan pada tahun (2010) merupakan kawasan hutan pergunungan yang mengandungi banyak spesies hidupan liar di Sri Lanka. Ketinggian kawasan pergunungan ini mencecah sehingga 2,500 meter dari aras laut dan menempatkan beberapa kawasan hutan simpan iaitu Peak Wilderness Protected Area, Horton Plains National Park dan juga Knuckles Conservation Forest.

Sinharaja Forest Reserve



Sinharaja merupakan kawasan hutan yang pertama disenaraikan di Sri Lanka iaitu pada tahun (1988), merupakan habitat bagi hidupan-hidupan yang unik kepada Sri Lanka sahaja. Oleh kerana ianya merupakan sebuah pulau, maka hidupan yang terdiri daripada haiwan dan tumbuhan ini hanya terdapat di sini sahaja. Ia terletak di bahagian Selatan Sri Lanka dan berada berhampiran dengan satu lagi kawasan penting di Sri Lanka iaitu Adam’s Peak.

Selain daripada kawasan-kawasan yang tersenarai sebagai “World Heritage Sites” ini, terdapat banyak lagi keunikan Sri Lanka yang perlu diterokai bagi para pelawat yang ingin melihat dengan lebih mendalam mengenai keunikan Sri Lanka. Seperti yang dikisahkan mengenai kisah lama Ramayana juga boleh menjejaki kesan-kesan tinggalan daripada kisah tersebut. Walaupun kisah tersebut merupakan mitos yang mendalam di dalam masyarakat di Asia Tenggara, namun ketika anda berada di Sri Lanka, mengapa tidak mengambil kesempatan untuk melihat kesan tinggalan tersebut.


Ya, setiap tempat ada keunikannya tersendiri dan anda hanya akan mengetahuinya apabila anda berada di tempat tersebut.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog