Friday, February 3, 2017

Taman-Taman Di Putrajaya Yang Harus Anda Lawati

Putrajaya lokasi menarik dipenuhi taman.

Putrajaya merupakan kawasan yang menarik untuk dikunjungi apatah lagi sekiranya anda tinggal di kawasan ini. Ia merupakan kawasan yang dibangunkan menjadi satu kawasan pentadbiran yang lebih terancang dan teratur. Selain fungsinya yang cukup penting ia juga dilengkapi dengan pelbagai tarikan untuk mereka yang tinggal di kawasan ini ataupun para pengunjung dari luar. Antaranya adalah taman-taman yang cantik dan sesuai untuk kunjungan seisi keluarga.

Terdapat beberapa taman yang telah sedia popular di Putrajaya yang sentiasa dikunjungi ramai dan mendapat perhatian yang lebih. Manakala taman-taman lain juga tidak kurang menariknya dan patut dikunjungi. Taman-taman ini mempunyai tema tersendiri yang perlu diterokai kerana kesemuanya mempunyai nilai pendidikan yang penting selain memberikan kerehatan semasa menjelajahinya. Berikut adalah beberapa taman yang terdapat di sana;

Taman Putra Perdana

Mercu Tanda di Taman Putra Perdana.

Taman ini terletak di atas bukit yang juga terletak di tengah-tengah lingkaran utama Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Precint 1. Bagi yang mengunjungi Putrajaya dari arah Kajang kebiasaannya akan menggunakan bulatan ini sebelum menuju ke Dataran Putra di mana terletaknya Masjid Putra yang menjadi antara tarikan utama di Putrajaya.

Oleh kerana lokasinya yang berada di kawasan tinggi anda boleh menyaksikan hampir keseluruhan kawasan Putrajaya dari Taman Putra Perdana. Taman yang juga ditanam dengan pelbagai tumbuhan dan bunga-bungaan ini turut dihiasi dengan binaan-binaan menarik seperti tugu dan air pancur yang menjadikan ianya lebih unik. Walaupun terdapat beberapa binaan yang semakin usang, ianya sentiasa diperbaiki bagi mengekalkan keindahan taman utama ini.

Ia perlu dikunjungi sekiranya anda ingin melihat keseluruhan kawasan di Putrajaya yang mana ianya turut menjadi pengenalan kepada keseluruhan kawasan ini sesuai dengan nama yang diberikan iaitu Taman Putra Perdana.


Laluan di Taman Botani dipenuhi tumbuhan hijau.

Taman Botani pula merupakan satu taman yang luas menempatkan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan. Sesuai untuk lawatan keluarga ataupun lawatan bercorak pendidikan. Di taman ini, kebanyakan spesis tumbuhan dilabel dengan baik untuk kemudahan mengenalpasti spesis-spesis tumbuhan tersebut. Ia juga dibahagikan kepada bahagian-bahagian tertentu mengikut family tumbuhan tersebut.

Bagi memudahkan para pengunjung kemudahan seperti ‘tram’ dan juga basikal turut disediakan. Anda juga berpeluang melihat sesetengah pokok dengan lebih dekat melalui jambatan khas yang dibina pada aras kanopi pokok bagi membolehkan anda mengenali daun, bunga dan buahnya. Di sini juga para pengunjung berpeluang mendapatkan anak benih sesetengah tumbuhan daripada pusat pelawat.

Taman yang luas ini terletak bersebelahan dengan Tasik Putrajaya manakala sebahagian besar lagi merupakan kawasan rendah dan berbukit. Ia diselenggara dengan baik (walaupun terdapat beberapa binaan yang terbengkalai). Namun begitu ia mengandungi sejumlah tumbuhan yang dapat memberikan anda banyak pengetahuan apabila mengunjuginya.

Taman Wetland

Wetland antara taman popular di Putrajaya.

Taman ini memberikan anda pengajaran tentang betapa pentingnya kawasan berpaya. Malah kawasan ini merupakan kawasan tapisan yang memastikan air Tasik Putrajaya berada dalam keadaan yang bersih. Kawasan berpaya ini bertindak sebagai tapisan dan memendapkan bahan terampai di dalam air. Segala tumbuhan dan haiwan di sini memainkan peranan penting dalam mengawal keseimbangan kawasan paya ini.

Seperti juga taman-taman lain, Taman Wetland turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung. Selain aktiviti lawatan, anda juga boleh menjalankan aktiviti perkhemahan, mengenalpasti haiwan dan tumbuhan di kawasan berpaya dan aktiviti-aktiviti lain di pusat lawatan di taman ini.

Walaupun ia memberikan tumpuan kepada kawasan berpaya, taman ini turut merangkumi sebahagian besar kawasan tanah yang dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan berkayu yang juga penting untuk dikenali. Pondok-pondok rehat dan pemerhati didirikan untuk kemudahan pengunjung mendapatkan kemudahan yang lebih baik semasa mengunjungi taman ini.


Taman Rimba Alam sesuai untuk rujukan tumbuh-tumbuhan.

Taman ini memberikan lebih tumpuan kepada tumbuhan-tumbuhan hutan terutamanya pokok-pokok yang mempunyai nilai penting untuk tujuan binaan. Anda mungkin pernah mendengar nama pelbagai jenis kayu yang digunakan untuk tujuan membina rumah atau perabot tetapi tidak pernah melihat pokom tersebut. Di taman ini anda mungkin berpeluang menemuinya.

Selain tumbuhan yang digunakan untuk tujuan binaan, tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan hasil makanan buah-buahan dan rempah juga terdapat di sini. Satu lagi kelebihan melihat tumbuhan di sini adalah ia lebih mudah dikenali kerana ditanam dan diselenggarakan dengan baik. Manakala di dalam hutan pokok-pokok ini berada dalam keadaan yang amat rapat dan sukar bagi anda untuk mengenalinya dengan mudah.

Selain daripada kayu binaan dan pokok yang menghasilkan bahan makanan, pokok-pokok yang digunakan untuk tujuan hiasan juga terdapat di sini. Malah pokok-pokok yang berasal dari sekitar Asia Tenggara juga ditanam di sini bagi memberi kesempatan kepada para pengunjung untuk mengenalinya.

Taman Warisan Pertanian

Pokok buah-buahan di Taman Warisan Pertanian.

Taman Warisan Pertanian lebih menjurus kepada tanaman-tanaman yang menjadi sumber pendapatan kepada penduduk Malaysia khususnya. Di sini kita dapat mengenali dengan lebih dekat pokok buah-buahan yang mungkin selama ini kita hanya mengenali buahnya sahaja. Malah sesetengah buah-buahan ini banyak juga yang tidak dikenali kerana tidak semuanya berjaya dipasarkan secara besar-besaran.

Bagi tanaman yang menjadi sumber ekonomi pula seperti getah, kelapa sawit dan koko; anda boleh mengenalinya dengan lebih dekat di sini. Terdapat juga sawah padi “mini” bagi para pengunjung mengenali lebih dekat tanaman padi yang menjadi sumber makanan utama penduduk Malaysia. Anda juga boleh mengetahui dengan lebih dekat bagaimana tanaman-tanaman ini diusahakan oleh para petani dalam menjana pendapatan mereka untuk menyara keluarga.

Taman Warisan Pertanian ini merupakan salah satu lagi taman yang penting untuk dilawati oleh orang ramai dalam usaha untuk mendidik orang ramai dalam mengenali perbezaan cara hidup para petani di negara kita. Malah kehidupan para pengusaha getah sendiri adalah jauh berbeza daripada mereka yang mengusahakan tanaman sawit. Jadi di sinilah kita boleh mengenali serba sedikit mengenai perbezaan cara hidup ini.

Taman Saujana Hijau

Suasana nyaman di Taman Saujana Hijau.

Taman Saujana Hijau pula merupakan sebuah taman yang menyamankan untuk anda merehatkan diri samada seorang diri, bersama rakan ataupun keluarga. Taman yang merangkumi keluasan 41 hektar ini merupakan kawasan berbukit yang menghasilkan sebuah taman yang cantik dengan beberapa tema menarik iaitu Taman Eropah, Taman Inggeris dan Taman Oriental.

Para pengunjung ke sini bukan sahaja untuk merehatkan diri, malah ada juga yang mengambil kesempatan untuk melakukan rakaman untuk gambar perkahwinan dan sebagainya. Ianya sebuah taman yang cukup indah dengan tanaman pokok-pokok yang unik daripada beberapa jenis pine, buluh-buluh, tanaman pokok-pokok daripada pelbagai spesis dan juga tumbuhan unik yang berasal dari negara-negara lain.

Setiap bahagian taman ditanam dengan tumbuhan bersesuaian dengan tema masing-masing, malah dilengkapi dengan gazebo yang bersesuaian dengan taman-taman tersebut. Anda mungkin akan megambil masa yang agak lama untuk menjelejah keseluruhan taman ini dalam sekali lawatan. Taman indah yang luas ini bagaimanapun tidak mengenakan sebarang bayaran untuk anda melawatinya.

Taman Wawasan

Taman Wawasan merangkumi kawasan luas berhampiran pusat pentadbiran Putrajaya.

Sebuah taman yang tidak popular seperti taman-taman lain namun ia mudah dikunjungi kerana terletak di Wisma Putra sehinggalah ke kawasan-kawasan berhampirannya. Jadi taman ini mungkin tidak dikenali namanya namun sering disinggahi oleh para pengunjung ke Putrajaya.

Taman ini turut menempat beberapa elemen menarik seperti kolam teratai yang juga membolehkan anda melihat serangga seperti pepatung air bermain di kawasan kolam ini. Selain itu kawasan seperti pantai kerikil pula memberikan suasana berbeza dengan teduhan dari pokok kelapa yang ditanam di sekitar kawasan tersebut.

Antara ciri-ciri menarik lain termasuklah taman bunga raya atau dikenali juga sebagai “Laman Bunga Raya”, sesuai sebagai bunga kebangsaan bagi Malaysia. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah laluan untuk trekking atau berjoging selain terdapat juga amphitheatre untuk sambutan majlis-majlis tertentu.

Taman Seri Ampangan

Jambatan unik di Taman Seri Ampangan.

Taman Seri Empangan pula bukanlah seperti taman bunga atau taman rimba, tetapi lebih kepada tempat berehat yang menempatkan kawasan gerai makan, surau dan kemudahan seperti tandas. Namun kawasan ini turut menjadi tumpuan terutamanya bagi para penduduk di sekitar Presint 5, Putrajaya untuk aktiviti-aktiviti riadah.

Taman ini mempunyai kawasan yang lebih terbuka untuk aktiviti seperti permainan layang-layang ataupun kapal terbang kawalan jauh. Disamping itu pemandangan di sekitar kawasan ini juga menarik untuk tujuan fotografi. Bagi yang berminat bolehlah mengunjungi taman ini nanti.


Selain daripada taman-taman yang dinyatakan, banyak lagi tempat-tempat yang menarik di sekitar Putrajaya yang boleh dilawati. Ini kerana ianya dibina bagi memenuhi keperluan orang ramai sesuai sebagai pusat pentadbiran, kediaman dan juga aktiviti-aktiviti harian. Jadi kemudahan ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh para penduduk di Putrajaya malah juga penduduk berhampiran dan orang ramai dari luar kawasan tersebut.


Free Download



No comments:

Post a Comment

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...