Tuesday, March 21, 2017

Mengembalikan Kesuburan Loess Plateau, China

Loess Plateau sebelum dan selepas pemulihan semula.

Mungkin tidak semua pernah mendengar mengenai Loess Plateau atau Huangtu Plateau, iaitu sebuah kawasan seluas 640,000 km berada di hulu Sungai Huang He (Yellow River). Kawasan yang suatu masa dahulu amat subur ini bagaimanapun telah lama bertukar menjadi padang pasir dan menjadikan para penduduknya tinggal di dalam keadaan yang amat miskin. Sehinggalah pada tahun 1994 satu langkah drastik telah diambil yang menjadikan Loess Plateau kembali menghijau.

Loess Plateau merupakan satu kawasan yang amat subur suatu masa dahulu yang membolehkan banyak kerajaan lama didirikan di sekitar kawasan ini. Oleh kerana aktiviti pertanian dan penternakan yang tidak terkawal ia bagaimanapun bertukar menjadi tanah yang kering gersang. Hujan yang turun di kawasan ini hanya akan mengalirkan lumpur yang banyak ke dalam sungai dan menjadikan bencana di kawasan hilir sungai iaitu mendakan lumpur dan banjir.

Lokasi kedudukan Loess Plateau.

Kerja-kerja pemulihan yang dilakukan bersama.

Kehijauan yang kembali semula ke kawasan Loess Plateau.

Pada tahun 1994 satu usaha telah dijalankan dan dikenali sebagai “Loess Plateau Watershed Rehabilitation Project”, untuk mengurangkan kesan kegersangan ini. Langkah yang diambil oleh kerajaan ini dijalankan bersama dengan para penduduk yang mendiami kawasan Loess Plateau yang kurang memahami mengenai pertanian lestari (sustainable farming) menjadikan ia satu usaha yang kurang meyakinkan. Namun projek ini sendiri adalah untuk kebaikan para penduduk sendiri di mana tanah yang mereka usahakan menjadi tanah pertanian mereka sendiri pada masa akan datang.

Melalui pelbagai tahap pemulihan semula tanah termasuk membina empangan, kawasan tadahan air, teres-teres di lereng bukit dan penanaman pokok dalam skala yang besar, selain mengelakkan haiwan ternakan daripada berkeliaran bebas memakan anak-anak pokok yang baru tumbuh. Kawasan Loess Plateau yang gersang menampakkan perubahan dalam tempoh 10 tahun dan bertukar menjadi kawasan tanaman yang subur semula.

Penduduk yang meraikan hari perayaan.

Petani yang mengusahakan tanaman epal dengan hasilnya mampu menyara keluarga.

Kaum wanita yang dahulunya terpaksa mengangkut air dari jauh, kini mendapat bekalan air di hadapan rumah mereka.

Sehingga ke hari ini, kawasan Loess Plateau terus menjadi kawasan pertanian yang subur semula. Para petani yang suatu masa dahulu hidup dalam kesusahan berjaya mengeluarkan hasil tanaman yang menguntungkan. Ia merupakan satu perkara di luar jangkaan mereka. Ia antara lain menunjukkan bahawa alam sendiri dapat memberikan lebih baik apabila ianya terjaga dengan baik pula.

Berikutan dengan itu kawasan-kawasan gersang lain di dunia juga ingin mencontohi kejayaan ini. Ternyata, setiap kawasan di dunia mempunyai potensi untuk menjadi kawasan menghijau selagi ianya tidak digunakan dengan cara yang salah. Ini bukanlah bermakna tanah tersebut tidak boleh diusahakan untuk pertanian tetapi haruslah memahami mengenai keseimbangan kesuburan tanah dan mengelakkan ianya daripada terjejas.


Hari ini, dengan perkembangan teknologi manusia mempunyai lebih kemampuan untuk melaksanakan tujuan ini. Maka dengan itu, setiap tindakan perlulah diukur dengan lebih teliti kerana ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang dan boleh mengakibatkan kerugian pada diri sendiri dan generasi akan datang.








Free Download



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...