Thursday, June 8, 2017

10 Haiwan Yang Mempunyai Kebijaksanaan Luar Biasa

Gagak dikatakan antara haiwan (burung) terpaling bijak.

Kemampuan manusia untuk berfikir dan melakukan pelbagai perubahan menyebabkan manusia berbeza dengan hidupan-hidupan lain di dunia. Walaupun hidupan lain tidak mempunyai keupayaan yang menyamai manusia, namun jelas haiwan juga mampu berfikir dan menyelesaikan masalah. Inilah yang membantu haiwan-haiwan tersebut untuk menyesuaikan diri untuk hidup dalam perubahan alam di sekeliling mereka. Berikut adalah antara beberapa haiwan yang dikenal pasti mempunyai kebijaksanaan luar biasa.


1. Gagak

Gagak merupakan haiwan yang mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa. Kehebatan gagak ini sering menjadi kajian para pengkaji untuk mengukur sejauh mana keupayaan mereka. Kehebatan gagak mengatasi haiwan-haiwan lain termasuk chimpanzee dan juga dolphin yang juga termasuk di dalam kumpulan haiwan-haiwan bijak. Inilah yang membantu gagak untuk terus membiak dengan pantas di mana sahaja berbanding dengan haiwan lain di kawasan yang padat dihuni manusia.


2. Dolphin

Berbeza dengan gagak kebijaksanaan dolphin merangkumi kebijaksanaan emosi yang lebih mirip kepada manusia. Ini menjelaskan mengapa dolphin amat mudah berinteraksi dengan manusia yang dapat dilihat dengan jelas. Dolphin dikatakan mempunyai struktur otak yang lebih besar yang membolehkan ini mempunyai keupayaan ini.


3. Tikus

Walaupun dianggap sebagai haiwan yang kotor dan menyebarkan penyakit, tikus adalah haiwan yang bijak. Ini dapat dilihat dengan jelas dengan kemampuannya menyesuaikan diri dan membiak dengan pesat di mana sahaja bersama populasi manusia. Ini dijelaskan oleh pengkaji dari University of Guelph, Ontario sebagai bagaimana tikus dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang disediakan oleh para pengkaji melalui kaedah yang adakalanya tidak dijangka oleh manusia.


4. Khinzir

Khinzir mungkin merupakan haiwan peliharaan yang paling bijak. Melalui pelbagai ujian mendapati khinzir mampu menggunakan cermin untuk mendapatkan makanan mereka. Malah khinzir juga boleh menggunakan helah ke di antara sesama mereka untuk mendapatkan makanan yang lebih. Khinzir juga mudah menguasai teknik-teknik baru yang diajarkan kepadanya seperti melompat ke dalam gelungan sehinggalah kepada permainan video games menggunakan joysticks.


5. Bonobos

Bonobo merupakan spesies monyet yang hampir kepada chimpanzee yang juga merupakan haiwan bijak sangat popular. Bonobo merupakan spesies yang terancam dan hanya terdapat di bahagian tengah Afrika. Melalui kajian bonobo pernah diajarkan bahasa isyarat dan simbol. Bonobo bernama Kanzi itu mempunyai papan komunikasi bagi membolehkan ini berinteraksi bersama pengkajinya menggunakan simbol untuk menyampaikan pendapatnya.


6. Itik

Itik juga menunjukkan kemampuan untuk mengenali persekitaran melalui kajian-kajian yang dilakukan. Kajian perilaku ini dapat dikesan pada anak-anak itik sendiri dalam mengenali persekitaran mereka dan mengenal semula persekitaran yang sama pada set yang lain. Jadi anak-anak itik ini bukan sahaja mengikuti apa yang dilakukan oleh ibunya, tetapi mempunyai tindak balas sendiri mengikut persekitaran sama seperti haiwan-haiwan bijak yang lain (antaranya primate, gagak, kakak tua dan lain-lain). Ini membuktikan, itik juga mempunyai pemikiran terhadap persekitarannya.


7. Gajah

Kebijaksanaan gajah telah lama dikesan. Gajah menunjukkan kemahiran menggunakan peralatan seperti kayu untuk membuang kutu, atau pelepah palma untuk memukul lalat. Gajah mampu memikirkan beberapa kaedah penyelesaian kepada masalah dan merangka jalan penyelesaiannya. Ini tidak termasuk kecenderungan gajah seperti kehidupannya di dalam komuniti yang saling bantu-membantu.


8. Lembu

Walaupun lembu dilihat sebagai haiwan yang diam dan hanya sibuk dengan mengunyah rumput yang dimakannya. Lembu didapati mempunyai keupayaan memproses emosi yang lebih kompleks. Lembu-lembu mempunyai kecenderungan berkawan dan ada pula di antaranya menjadi musuhnya pula. Lembu-lembu juga akan menunjukkan perasaan seperti sakit, sedih dan kemurungan – ia juga dikatakan memikirkan apakah yang akan berlaku pada masa akan datang.


9. Lebah

Lebah lebih dikenali sebagai gerombolan bijak. Kebijaksanaan lebih ini dapat dilihat dalam sekumpulan lebah di dalam satu koloni yang besar. Lebah-lebah mempunyai kaedah berkomunikasi, menyusun atur kerja antara mereka malah, ia juga boleh memberikan reaksi di dalam kumpulan. Bagi lebih yang menunjukkan perasaan tidak bersetuju, ia akan melakukan tidak balas untuk menyatakan keputusan tersebut.


10. Tupai

Tupai juga merupakan antara haiwan yang bijak terutamanya dalam mendapatkan sumber makanan. Walaupun tupai sering dilihat melintas jalan tanpa mengetahui akan bahayanya. Tupai sebenarnya dapat mempelajari teknik-teknik baru, terutamanya teknik mencuri makanan daripada tempat makanan burung misalnya. Malah kemahiran ini turut dipindahkan kepada tupai-tupai lain. Comel dan bijak.

Itu adalah sebahagian daripada kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh haiwan-haiwan yang dikaji setakat ini. Namun begitu setiap haiwan mempunyai ciri-ciri keistimewaan masing-masing dan boleh dikatakan setiap haiwan mempunyai kebijaksanaan untuk berinteraksi dengan sekelilingnya. Sebagai manusia, perkara ini sepatutnya dapat membantu kita dalam menguruskan alam bagi menjaga kesejahteraan hidup antara manusia haiwan dan alam secara keseluruhannya.



Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Paparan Iklan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...