Thursday, June 1, 2017

Burung Burung Terbesar Di Dunia

'Argentavis magnificens' merupakan burung terbang terbesar yang telah pupus.

Burung merupakan antara haiwan yang diminati ramai. Selain boleh terbang kebanyakan burung-burung ini mempunyai bulu yang cantik, siulan yang merdu dengan aneka ragam pula. Namun begitu terdapat juga kumpulan burung-burung yang tidak boleh terbang dan kebanyakan burung-burung ini tergolong di dalam golongan burung-burung terbesar.

Bagi burung terbesar yang masih hidup hari ini adalah ‘burung unta’ atau ostrich (Struthio camelus) yang tinggal di kawasan padang-padang rumput di Afrika dan Arab. Saiz burung unta jantan dewasa boleh mencecah sehingga 2.8 m (9.2 ft.) dengan berat sehingga 156 kg (344 lb). Telur burung unta juga boleh mencecah sehingga 1.4 kg (3.1 lb.) dengan saiz 15 cm (6 in.) dan merupakan telur burung terbesar hari ini. Terdapat sehingga 60 biji telur di dalam sebuah sarang burung unta yang akan dieramkan secara bergilir-gilir oleh burung-burung unta tersebut selama 42 ke 46 hari.

Adapun burung terbesar yang telah pupus adalah ‘burung gajah’ atau elephant birds (Aepyornis maximus) yang dikatakan pupus pada abad ke-17 atau abad ke-18. Ia mendiami kawasan pendalaman di Kepulauan Madagascar. Walaupun bersaiz lebih besar daripada burung unta, burung gajah ini mempunyai kaitan yang lebih dekat dengan burung Kiwi dari New Zealand. Saiz burung gajah dikatakan mencapai sehingga 3 m (9.8 ft.) tinggi, dengan berat anggaran antara 350 kg sehingga 500 kg (770 lb. ke 1,100 lb.). Telur burung gajah pula mencapai ukuran sehingga 34 cm (13 in), yang juga merupakan saiz telur burung terbesar pernah dijumpai. Melalui saiz tersebut, telur burung ini merupakan 160 kali ganda lebih besar berbanding telur ayam.

Burung unta merupakan burung terbesar pada hari ini.

Elephant birds, burung gergasi yang tinggal di Kepulauan Madagascar.

'Pelagornis sandersi' merupakan satu lagi spesis burung gegasi terbang.

Bagi spesies burung yang boleh terbang pula Wandering Albatross (Diomedea exulans) merupakan burung yang mempunyai saiz bukaan sayap yang terpaling besar iaitu sehingga 3.65 m (12.0 ft.). Manakala ukuran panjangnya pula adalah sehingga 1.44 m (4.7 ft.). Walaupun ia mempunyai saiz bukaan sayap terbesar, burung albatross bukanlah mempunyai berat terbesar bagi burung-burung yang boleh terbang.

Bagi burung terbesar yang boleh terbang dan telah pupus pula Argentavis magnificens merupakan burung yang pernah diketahui. Malalui fosil yang dijumpai di Argentina burung ini mempunyai bukaan sayap sehingga 8.3 m (27 ft. ) dengan panjang sehingga 3.5 m (11 ft.), ketinggian sehingga 2 m (6.6 ft.) dan berat sehingga 80 kg (180 lb.). Antara burung terbang lain yang bersaiz besar pernah diketahui menyaingi Argentavis adalah Pelagornis sandersi, yang mempunyai bukaan sayap sehingga 24 ft.


Kumpulan burung terbesar termasuk yang telah pupus
Saintis mengukur kepak burung albatross.

Walaupun burung-burung terbesar ini diukur berdasarkan beberapa pengelasan iaitu dari segi saiz, ketinggian, bukaan sayap, kumpulan family dan sebagainya. Kesemua burung-burung ini sememangnya mempunyai saiz yang jauh lebih besar daripada burung-burung biasa yang lain. Berikut pula merupakan burung-burung yang dikelaskan mengikut berat pula;


Rank
Burung
Berat Purata
[kg (lb)]
Berat Maximum
[kg (lb)]
Panjang Purata
[cm (ft)]
1
Ostrich
104 (230)
156.8 (346)
210 (6.9)
2
Somali ostrich
90 (200)
130 (287)
200 (6.6)
3
Southern cassowary
45 (99)
85 (190)
155 (5.1)
4
Northern cassowary
44 (97)
75 (170)
149 (4.9)
5
Emu
33 (73)
70 (150)
153 (5)
6
Emperor penguin
31.5 (69)
46 (100)
114 (3.7)
7
Greater rhea
23 (51)
40 (88)
134 (4.4)
8
Dwarf cassowary
19.7 (43)
34 (75)
105 (3.4)
9
Lesser rhea
19.6 (43)
28.6 (63)
96 (3.2)
10
King penguin
13.6 (30)
20 (44)
92 (3)
11
Domesticated turkey
13.5 (29.8)
39 (86)
100 - 124.9 (3.3 – 4.1)
12
Kori bustard
11.4 (25.1)
20 (44.1)
150 (5)
13
Great bustard
10.6 (23.4)
21 (46)
115 (3.8)
14
Andean condor
8.1 - 14.9 (18-33)
14.9 (33)
100-130 (3.3-4.3)
15
Dalmatian Pelican
7.25–15 (16.0–33.1)
15 (33.1)
183 (6)

'Emperor penguin' tergolong dalam kumpulan burung terbesar dan merupakan burung penguin terbesar pula.

Walaupun terdapat kedudukan burung terbesar mengikut kumpulan burung masing-masing, gambaran di atas jelas menunjukkan kedudukan burung terbesar utama secara umum. Jadi burung yang terbesar dan masih hidup hingga ke hari ini merupakan burung yang tidak boleh terbang dan mendiami Benua Afrika.


Semoga dengan paparan kali ini, ia akan menarik minat para pembaca untuk terus mengenali dengan lebih dekat mengenai alam sekitar dan sama-sama pula kita mengendalikannya dengan baik. Banyak lagi perkara menarik mengenai dunia burung yang mungkin akan dipaparkan untuk masa-masa akan datang.




Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...