Monday, June 12, 2017

Herba-Herba Yang Boleh Ditanam Di Dalam Rumah


Penggunaan herba dalam masakan merupakan antara faktor utama menjadikan makanan menyelerakan. Sehubungan itu, penanaman herba di dalam rumah (di ruang dapur terutamanya) merupakan satu perkara yang bukan dikira asing lagi. Tambahan pula herba-herba ini dapat menyegarkan lagi ruangan dapur di samping sebagai sebahagian daripada hiasan ruangan dapur anda.

Herba-herba yang dipilih untuk tanaman dalaman adalah herba yang bersaiz kecil, memerlukan jumlah cahaya yang sederhana, dan penjagaan yang minimum. Namun begitu, ini tidak bermaksud ia tidak memerlukan penjagaan langsung. Kebiasaannya, pokok herba mengalami renjatan apabila dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain; jadi pastikan perubahan ini tidak terlalu drastik sewaktu anda mengalihkannya daripada tempat pembelian (nursery) dan apabila dibawa pulang ke rumah.

Adapun antara herba-herba yang sesuai untuk ditanam di dalam rumah adalah antaranya seperti berikut;


Pegaga - Pegaga (Centella asiatica) sesuai dijadikan ulam, selain boleh dimasak sebagai bahan campuran. Pegaga yang sihat mempunyai daun yang hijau dan ini menambahkan lagi seri di ruang dapur.


Daun Saderi - Daun saderi (Apium graveolens) mudah hidup apabila direndamkan di dalam air. Namun untuk membesar, ia perlu dialihkan ke dalam bekas yang mempunyai tanah dengan pembajaan yang cukup. Saderi dapat membangkitkan bauan makanan seperti sup dan ia sesuai juga dimakan mentah.


Pudina - Pudina (Mentha × piperita) memberikan rasa yang menyegarkan. Walaupun jarang digunakan dalam masakan Melayu, ia masih mudah diterima kerana pudina digunakan dalam banyak barangan seharian seperti; ubat gigi, ice-cream, gula-gula getah dan biskut. Malah anda boleh mencampurkan pudina ke dalam teh anda untuk merasai kesegaran teh pudina.


Kucai - Kucai (Allium tuberosum) tumbuhan bebawang namun bukanlah bawang. Bahagian yang biasa digunakan pada tumbuhan ini adalah daunnya. Kucai menaikkan aroma makanan dan sesuai untuk makanan goreng ataupun berkuah. Berasal daripada China, ia telah lama digunakan di dalam masakan banyak masyarakat di dunia.


Rosemary – Rosemary (Rosmarinus officinalis) merupakan herba yang berasal dari kawasan Mediterranean dan banyak digunakan dalam masakan-masakan Eropah dan Barat. Namun ia merupakan herba yang semakin diterima ramai. Ia boleh ditanam di kawasan beriklim tropika dengan penjagaan yang baik.


Kesum – Daun Kesum (Polygonum minus) kebiasaannya tumbuh di kawasan berair seperti tali air dan paya. Namun ia masih boleh ditanam di dalam bekas dengan penjagaan yang baik. Penggunaan kesum amat penting di dalam masakan seperti ‘asam pedas’ dan juga ‘laksa’. Ia juga merupakan tumbuhan yang mudah dijaga.


Kemangi – Juga dikenali sebagai selasih Thai (Ocimum basilicum) merupakan antara herba yang banyak digunakan di dalam masakan Thai dan Vietnam. Malah terdapat dari jenis selasih (basil) ini yang biasa ditanam di US. Selasih Thai merupakan ramuan penting dalam penyediaan masakan ‘kari merah’ dan ‘kari hijau’ Thai.


Tulasi - Tulasi juga dipanggil thulasi, atau holy basil (Ocimum tenuiflorum) dan di dalam masakan Thai ianya dikenali sebagai Thai holy basil; merupakan tumbuhan berbeza daripada kemangi (Ocimum basilicum). Selain untuk masakan Tulasi juga digunakan untuk merawat beberapa masalah kesihatan.


Thyme - Thyme (Thymus vulgaris) merupakan tumbuhan berusia pendek yang kecil. Ia bagaimanapun mudah ditanam dengan keratan batang ataupun biji benih. Thyme adalah herba yang mempunyai aroma yang lebih baik berbanding ‘oregano’ dan lebih manis berbanding ‘sage’.


Taragon - Taragon (Artemisia dracunculus) ditanam untuk fungsi utamanya sebagai herba kulinari terutamanya di dalam masakan Perancis. Taragon sesuai digunakan untuk masakan ayam, ikan dan juga telur. Malah ia juga digunakan untuk menghasilkan ‘cuka taragon’.


Daun Bawang – Bawang kecil dari pelbagai spesies (Allium cepa) paling mudah ditanam di dapur malah daunnya sesuai digunakan untuk menambah perisa sebarang makanan daripada telur goreng, nasi goreng, masakan ikan, ayam dan sebagainya. Jadi, daun bawang ini adalah herba pertama yang anda perlu tanam memandangkan peluang keberhasilan anda adalah 90%.

Banyak herba-herba yang mudah hidup di ruangan dapur. Bagi anda yang biasa ke dapur tentu arif dengan herba-herba yang biasa digunakan. Apa kata, setiap lebihan bahan tersebut direndamkan di dalam air. Sekiranya ia bercambah dan menunjukkan perkembangan yang positif, alihkan sahaja ke dalam bekas tanaman dengan kandungan tanah yang sesuai. Perkembangan tersebut menunjukkan ia berada dalam suasana yang sesuai.

Antara lain menanam herba di dapur dapat memastikan anda mendapat bekalan herba yang segar selain daripada bebas daripada penggunaan racun serangga atau bahan kimia lain (selagi anda tidak menggunakan ke atasnya). Ia juga dapat menjimatkan kerana anda akan mengambilnya terus mengikut sukatan yang diperlukan. Maka tiada pembaziran untuk lebihan herba yang perlu dibuang kerana ianya masih lagi berada pada pokoknya.


Tanaman sebegini antara lain melatih anda untuk berjinak-jinak dengan tanaman herba yang lebih besar untuk diusahakan di sekitar rumah pula. Maka dengan itu, bermula secara kecil-kecilan memberikan anda lebih kefahaman mengenai penjagaan pokok-pokok herba tersebut. Mungkin satu hari nanti anda boleh menjualnya pula.


Free Download




No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...